Pada zaman Nabi Musa a.s pernah berlaku musim kemarau yang panjang kepada bani Israel. Lantaran itu mereka berhasrat untuk berkumpul dan menemui Nabi Musa a.s dan Nabi Harun. Mereka merayu kepada ketua mereka dengan berkata: " Wahai Nabi Allah yang merupakan kalamNya tolonglah mohon kepada tuhanmu agar Dia berkenan menurunkan hujan untuk kami." Kemudian Nabi Musa a.s bersama-sama kaumnya berangkat menuju ke kawasan lapang. Menurut suatu pendapat seperti yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah dalam al-Tawwabin, bilangan mereka pada waktu itu lebih kurang 70 ribu orang.
Setelah mereka sampai di tempat yang dituju maka Nabi Musa a.s mula berdoa agar diturunkan hujan (al-istisqa). Antara isi doa tersebut adalah: " Tuhanku siramlah kami dengan air hujanMu, taburkanlah kepada kami rahmatMu dan kasihanilah kami terutama bagi anak-anak kecil yang masih menyusu, haiwan ternak yang memerlukan rumput dan orang tua yang sudah bongkok. Sebagaimana yang kami saksikan pada saat ini langit sangat cerah dan cuaca semakin panas." Allah swt telah menurunkan firmanNya yang bermaksud " Aku tidak merendahkan kedudukanmu di sisiKu kamu mempunyai kedudukan yang tinggi.Cuma dalam kalangan umatmu ini ada seorang yang melakukan perbuatan maksiat selama 40 tahun. Selagi dia masih berada dalam kumpulan umatmu ini maka dia menjadi penyebab terhalang turunnya hujan untuk kamu semua."
Nabi Musa a.s kembali berkata:" Wahai Tuhanku, aku adalah hambaMu yang lemah, suaraku juga lemah apakah mungkin suaraku ini akan dapat didengarinya dalam lingkungan jumlah manusia yang melebihi 70 ribu orang ini?" Allah swt berfirman yang bermaksud: " Wahai Musa kamulah yang memanggil dan Akulah yang akan menyampaikannya kepada mereka!" Mentaati dengan apa yang diperintahkan oleh Allah maka Nabi Musa as segera berdiri dan berseru kepada kaumnya: " Wahai seorang hamba yang derhaka kepada Tuhannya sudah lama engkau melakukan dosa kepada Allah swt. Keluarlah kamu dari tempat ini kerana kewujudanmu menghalang hujan daripada diturunkan oleh Allah swt kepada kami semuanya."
Mendengar seruan daripada Nabi Musa as maka orang derhaka yang dimaksudkan itu berasa sangat serba salah. Dia melihat ke kanan dan ke kiri, namun dia tidak melihat seorang pun yang keluar. Dengan demikian yakinlah dia bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi Musa as itu ialah dirinya sendiri. Dalam hatinya timbullah penyesalan yang amat mendalam. Dia berkata dalam dirinya: " Jika aku keluar daripada kumpulan ini nescaya akan terbukalah segala kejahatan yang telah aku lakukan selama ini. Di manakah akan diletakkan maruah dan kemuliaan keluargaku? Tentulah mereka akan dipandang hina keranaku. Akan tetapi jika aku tetap bersama mereka pasti hujan tidak akan diturunkan oleh Allah swt. Ya Allah, Kesalnya aku, malunya aku. Terimalah taubatku, aku berjanji tidak akan mengulangi maksiat-maksiat itu lagi. Ya Allah sesungguhnya aku telah derhaka kepadaMu selama lebih 40 tahun, walaupun demikian Engkau masih memberikan kesempatan kepadaku dan sekarang aku datang kepadaMu dengan ketaatan maka terimalah taubatku ini. Jangan dibuka keaibanku di hadapan ramainya hamba-hambaMu dan nabi-nabiMu." Akhirnya lelaki itu bertekad menundukkan kepalanya kerana bimbang dilihat oleh orang ramai yang mencari-cari siapa sebenarnya pesalah yang dikehendaki itu. Beberapa detik selepas itu kelihatan awan berkumpul di langit seiring dengan itu hujan pun turun dengan lebatnya.
Melihat keadaan demikian maka Nabi Musa as berkata: " Tuhanku mengapakah Engkau mengurniakan nikmat dan rahmat hujan kepada kami sedangkan pesalah belum lagi menyerah diri?" Allah swt berfirman yang bermaksud: " Wahai Musa, aku menurunkan hujan ini juga disebabkan oleh orang tersebut yang dahulunya menjadi sebab Aku tidak menurunkan hujan kepada kamu." Nabi Musa as berkata: Tuhanku lihatkanlah kepadaku siapa sebenarnya hambaMu yang dimaksudkan itu?" Allah swt berfirman maksudnya: " Wahai Musa dahulu ketika dia melakukan maksiat dan derhaka kepadaKu, Aku tidak pernah membuka aibnya. Apakah sekarang Aku akan membuka aibnya itu ketika dia kembali melakukan ketaatan kepadaKu?"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan