Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Memaparkan catatan dengan label PUASA RAMADAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PUASA RAMADAN. Papar semua catatan

Selasa, 8 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - TAMBAH NILAI PUASA DENGAN AMALAN SUNAH

Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, peluang ummah menggilap kembali hati-hati yang hitam kerana dicemari dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Berpuasa dalam keadaan hati yang bersih dan suci adalah jalan untuk menuju takwa kepada Allah SWT. Ramadan bukan sekadar untuk dilalui tetapi juga perlu dihayati. Sesungguhnya orang yang mendapat ramadan tetapi mereka melaluinya tanpa sebarang penghayatan maka mereka adalah orang yang tidak mendapat keuntungan dalam bulan yang mulai ini.


Kesempatan beribadah dan meningkatkan amalan sunah Rasulullah SAW sepanjang bulan Ramadan dan ini hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menambahkan nilai puasa kita. Antara amalan yang dituntut untuk dihayati pada bulan Ramadan dan ini adalah memperbanyakkan infaq fisabilillah (bersedekah ke jalan Allah) sebagaimana yang sering dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW.


Baginda terkenal seorang yang pemurah dan dermawan dan apabila berada pada Ramadan Baginda SAW akan menjadi lebih pemurah. sesiapa saja yang datang meminta pertolongan kepadanya pasti akan dibantu oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 215, mafhumnya, " Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? katakanlah: " Apa juga harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua-dua ibubapamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan ingatlah, apa juga yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)"


Hakikatnya bersedekah pada bulan Ramadan bukan saja dapat membantu golongan fakir miskin bahkan ia juga dapat membantu diri kita dalam mencapai matlamat takwa daripada ibadah puasa kita. Amalan bersedekah akan dapat menghidarkan diri kita daripada mazmumah seperti bakhil kedekut tamak haloba. Sedekah juga pada hakikatnya tidak akan mengurangi harta yang kita miliki sebaliknya Allah SWT menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. 


Perkara ini pernah diperingatkan oleh Rasulullah SAW bahawa setiap hari ada antara malaikat yang datang mendoakan penambahan rezeki dan gantian bagi hamba Allah pemurah manakala ada yang mendoakan kehancuran dan kemusnahan terhadap hamba Allah yang bersikap kedekut. Selain bersedekah, tilawah al-Quran pada bulan Ramadan juga adalah amalan yang sering dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW semasa hayatnya. Dalam hal ini, Ibnu Abbas pernah meriwayatkan bahawa Jibrail menemui Nabi Muhammad SAW pada setiap malam pada bulan Ramadan pada bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu dan pada setiap kali pertemuan itu Nabi Muhammad SAW memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya.


Riwayat tersebut jelas menunjukkan betapa Rasulullah SAW sering bertadarus al-Quran bersama Jibrail sepanjang bulan Ramadan. Begitu juga dengan sahabat dan tabiín sudah menjadi kelaziman bagi mereka untuk mengkhatamkan al-Quran beberapa kali pada bulan Ramadan. Sebagai umatnya, kita juga mestilah mengikut jejak langkah Baginda dengan menghidupkan amalan bertadarus al-Quran sama ada bersama jemaah di masjid, di surau mahupun bersama ahli keluarga di rumah.


Ramadan ini harus kita pergunakan dengan sebaiknya untuk mengkhatamkan al-Quran seberapa banyak yang kita mampu di samping berusaha memahami serta mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita. Amalan yang paling utama selain daripada solat dan puasa yang difardhukan ialah seperti solat sunat tarawih hendaklah dilakukan dalam 20 rakaat seperti mengikut Mazhab Syafie dan diamalkan oleh ulama mukthabar sejak dulu lagi. Begitu juga seperti diamalkan oleh ulama di Masjid Nabawi dan Masjidilharam di Makkah. Hadis daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, " Barang siapa yang berdiri (menunaikan solat dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."(Riwayat al-Bukhari).


Seterusnya amalan yang tidak kurang penting juga untuk kita menghayati dan melaksanakannya pada bulan yang mulia ini adalah beriktikaf di masjid terutama pada 10 amlam terakhir bulan Ramadan. Ini kerana di dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatulqadar ini seharusnya dapat dijadikan sebagai satu motivasi untuk kita memperbanyakkan lagi iktikaf pada bulan Ramadan ini.


Rasulullah SAW sendiri pun tidak pernah meninggalkan amalan beriktikaf di masjid sepanjang hayatnya apatah lagi pada 10 malam yang terakhir. Perkara ini diakui oleh Saidatina Aisyah bahawa katanya "sesengguhnya Nabi SAW selalunya beriktikaf pada 10 hari terakhir dari bulan ramadan sehingga meninggal dunia kemudian isteri-isteri Baginda Rasulullah SAW beriktikaf sesudahnya."(Muttafaqun alaih). Kesimpulannya Ramadan ini mempunyai banyak rahsia dan keistimewaannya yang tersendiri. Apabila manusia dapat mengahyati dan mengetahui keistimewaan tersebut, nescaya mereka menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadan.




Isnin, 7 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - BERSAHUR AMALAN SUNAH BAIK UNTUK KESIHATAN

Jika kita perhatikan masyarakat sekeliling, ramai daripada kalangan kita yang masih tidak mengambil berat akan kepentingan bersahur pada bulan Ramadan. Segelintir mereka menganggap sahur bukanlah perkara wajib yang akan menjadi syarat diterimanya amalan puasa di sisi Allah.


Malah yang bagi bersahur suatu perkara yang sangat berat kerana perlu bangkit pada awal pagi bagi menyediakan juadah sahur di samping bersengkang mata dan melawan rasa mengantuk demi menelan makanan pada waktu penghujung malam. Sedar atau tidak bila tibanya waktu tengahari, kudrat mereka menjadi semakin lemah. Ini disebabkan sikap mereka yang sambil lewa akan pengambilan sahur sehingga menyebabkan aktiviti mereka menjadi tidak produktif dan hanya diisi dengan tidur sementara menunggu masuknya waktu berbuka.


Nabi SAW bersabda, "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Bersahur adalah satu amalan penting dan ia termasuk dari sunnah Rasulullah SAW yang perlu dicontohi. Apakah maksud keberkatan di sini. Ia bermaksud rahmat, keberkatan serta memperolehi restu daripada Allah SWT. Jika kita bekerja keras dan mendapat bonus daripada majikan maka kita akan gembira, bayangkan jika kita mendapat restu dan rahmat daripada Allah SWT.


Islam menggalakkan amalan bersahur di samping dapat melatih diri supaya bangkit awal padi, ia adalah peluang kepada hambanya untuk memohon keampunan dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT kerana waktu sahur adalah antara waktu mustajab doa seperti firman Allah ketika memuji orang Mukmin, "Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristghfar". (Az-Zariyyat: 18)


Rasulullah SAW bersahur sekalipun makanan yang ada hanyalah buah kurma. Jika tiada kurma, Baginda hanya akan bersahur dengan hanya meminum air. Inikan pula zaman kita yang mempunyai lebihan makanan sehingga lauk berbuka dan moreh malamnya masih berbaki di atas meja. Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa. (Riwayat Ahmad).


Jika kita semua berfikir secara logik, apakah kebaikan melewatkatkan sahur ini? Melewatkah sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh. Berdasarkan riwayat daripada Zaid bin Thabit, beliau berkata, "Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami terus bangun untuk melakukan solat Subuh." Ini kerana hikmah berashur pada waktu sedemikian adalah seolah-olah kita mengambil sarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

Inilah hikmahnya Islam mengajar umatnya agar bersahur di samping ada keberkatan juga menjamin kesihatan tubuh badan. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua agar dapat bangkit pada setiap pagi hari di bulan Ramadan supaya dapat mengukit sunnah Baginda SAW iaitu bersahur, memohon istighfar dan menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid.

Khamis, 3 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - IBADAH RAMADAN MERAWAT PENYAKIT

Setiap Mukmin menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini, Allah menawarkan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan sepanjang Ramadan. Masjid dan surau mengatur pelbagai program seperti melantik hafiz al-Quran untuk membimbing solat tarawih, mengadakan tadarus al-Quran berkelompok, berbuka puasa beranai-ramai, ceramah fadilat Ramadan, qiamullail dan sebagainya untuk jemaah. Mereka yang jarang ke masjid dan surau turut menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadan, Mungkin ini juga yang dikatakan tarikan bulan yang penuh keberkatan dan melembutkan hati sesiapa sahaja yang ikhlas mencari kebajikan dan pahala.


Secara umumnya kesan positif puasa sering menjadi tumpuan kajian. Doktor perubatan menjadikan sebagai amalan kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit moden yang sukar dirawat dengan perubatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan. Kalangan  pengamal perubatan moden menganggap ia penemuan ia penemuan terapi baru. Keajaiban puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan suapya rakan pesakinya agar berpuasa sepanjang 48 jam.


Bagaimanapun puasa difardhukan kepada setiap umat islam yang baligh tidaklah seberat yang dicadangkan oleh Mark Twain itu. Ramadan melatih mereka yang berpuasa menjaga kesihatan. Hasil daripada kalian yang dilakukan oleh ahli perubatan dan sains makanan kita boleh menyenarai pendek beberapa kesan yang dianggap sungguh dramatik dalam kalangan saintis.


Antaranya puasa dapat:-

1. Mendatangkan kecergasan fizikal dan mental seseorang dengan memberi kesegaran pada otot menyebabkan rasa lebih segar dan bertenaga.

2. Membantu menurunkan kadar racun dan kotoran dalam badan dengan membatasi kalori masuk sehingga menghasilkan enzim antioksida berfungsi membersihkan zat bersifat racun dalam badan.

3. Memberi keseimbangan dalam darah dan menurunkan tekanan darah tinggi. Memulihkan hormon, meremajakan sel tubuh dan menambahkan sel darah putih untuk meningkatkan kekebalan tubuh dari penyakit.

4. Menyelesaikan masalah berat badan (obesiti) disebabkan lemak berlebihan.

5. Mengatur kadar gula dalam darah untuk mengelakkan penyakit kencing manis.

6. Menyihatkan dan merehatkan sistem pencernaan kerana bekerja sepanjang tahun tanpa berhenti.


Sebenarnya Imam Al-Ghazali lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya Ihya Ulumuddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut. Beliau menyatakan pengambilan berlebihan akan menghilangkan kecergasan serta akan hilang kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal. Perspektif al-Ghazali menjawab kesalahan tanggapan umum dengan mengambil makanan banyak ketika lapar akan mnambahkan tenaga terutama ketika berbuka puasa. 


Secara amalinya Rasululalh SAW memberi panduan umum ketika menjamu selera iaitu, satu pertiga diisi dengan makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan. Tetapi di bawah tekanan rasa lapar, ramai orang gagal menagtasinya kerana dorongan ingin " balas dendam" disebabkan berlapar sepanjang hari. Lebih-lebih lagi pasar Ramadan menawarkan beraneka juadah makanan tradisi dan moden, kadangkala membuatkan hilang pertimbangan ketika membelinya kerana desakan perut kosong dan dahaga.


Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulihkan kehilangan tenaga melalui gula tulen dan serat buah. Selain itu Ramadan juga menekankan ketetapan pengurusan masa termasuklah melewatkan waktu sahur dan berbuka pada awal waktunya. Pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang tarawih berjemaah dan membanyakkan membaca al-Quran. Sebenarnya semua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredaan Allah dan pahala yang berlipat ganda.

Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadan harus diperbetulkan. Sekiranya kita menghadapi cabaran puasa hanya menahan lapar dan dahaga tetapi generasi awal Islam menghadapinya dalam suasana genting tetapi cemerlang ketika Ramadan. Ketabahan dan kesabaran yang benar-benar teruji apabila hidup dalam suasana negara yang huru-hara dan ketegangan di dalam negara sendiri seperti di Iraq, Libya, Mesir dan Syria hari ini.


Kesan latihan puasa tidaklah hanya terfokus keapda faedah fisiologi untuk kesihatan fizikal saja malah merangkumi pengukuhan rohani dan intelektual manusia berlandaskan ibadah. Amalan berpuasa pada bulan ini adalah latihan amali yang paling mujarab untuk mengikis penyakit rohani, krisis mental dan penyakit fizikal manusia akibat mengejar nilai kebendaan yang tiada kesudahan.

Isnin, 30 Jun 2014

1 HARI 1 AYAT - 4 PERKARA JAMIN PUASA BERKUALITI

Ramadan menjelma. Inilah antara anugerah paling bermakna dikurniakan Allah SWT kepada hambaNya. Ia bonus kepada orang yang beriman. Kerinduan terhadapnya pasti terubat dengan pertemuan ini. Betapa besarnya ganjaran pahala ibadah dalam bulan ini melebihi seluruh isi dunia.


Yakinlah orang yang beriman pasti gembira menerima bulan Ramadan kerana ketibaannya membawa seluas-luas rahmat Allah SWT, keberkatan dan peluang diampunkan segala dosa telah lalu. Mereka pasti berazam meraih kelebihan dengan melakukan amalan soleh dan meninggalkan merugikan. Malang pula bagi orang yang lemah imannya, mereka merasakan begitu berat untuk mengharungi ibadah puasa dan ibadah lain, bahkan mereka tidak merasakan manisnya keberkatan serta kelebihan dalam bulan Ramadan.


Mereka mengabaikan tanggungjawab untuk mempertingkatkan kualiti ibadah dalam bulan ini dan tidak pula berusaha meninggalkan amalan buruk. Alangkah ruginya jika kita tidak dapat merasai kemanisannya sedangkan kita diberi peluang dan kesempatan untuk memperolehinya. Marilah kita bermuhasabah adakah kita termasuk dalam golongan yang gembira atau golongan yang sebaliknya untuk menerima kedatangan Ramadan? Bukankah Alalh SWT telah mengkhabarkan ganjaran amat bernilai.


Firman Allah SWT yang bermaksud: " Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan Mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untk mereka keampunan dan pahala yang besar."(Surah al-Ahzab: 35).


Sabda Rasulullah SAW: " Barang siapa yang berqiam Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan reda dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)


Dalil ini adalah janji Allah SWT dan Rasulullah SAW bagi mereka yang berjaya melaksanakan segala tuntutan pada bulan Ramadan. Jelasnya, kenikmatan yang tidak ternilai harganya menanti bagi sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul. Bukan sekadar ganjaran di akhirat yang bakal diperoleh bahkan hikmah berniali akan dinikmati oleh mereka yang berjaya menjalani ibadah dengan tekun pada bulan Ramadan. Antaranya ialah kesihatan tubuh badan, kelapangan masa serta jalinan ukhuwah sesama muslim bertambah erat. Menghidupkan Ramadan mestilah dengan persediaan yang betul supaya Ramadan ini tidak berlalu dengan sia-sia antaranya:


1. PERSEDIAAN ILMU

Ibadah tanpa ilmu adalah sia-sia. Dengan ilmu kita akan kita akan terpimpin melaksanakan ibadah dengan betul dan jauh daripada perkara yang boleh menghilangkan pahala ibadah. Oleh itu persiapkan diri dengan ilmu sebelum hadirnya Ramadan, berusahalah untuk memahami ibadah yang diutamakan dalam bulan ini.


2. PERSEDIAAN HATI

Letaknya niat itu di hati kerana hati yang mudah berbolak-balik perlu diawasi dengan mengukuhkan niat dan azam dalam melaksanakan ibadah. Jika Ramadan sebelum ini kita gagal memanfaatkannya sebaik mungkin maka inilah masanya kita menetapkan niat dan azam untuk memenuhkan Ramadan dengan pengisian ibadah lebih berkualiti.


3. PERSEDIAAN JASMANI

Puasa memerlukan kekuatan tubuh badan yang sihat untuk mengharungi cabaran dan dugaan menahan lapar serta dahaga. Dalam tempoh masa itu tubuh badan yang kuat akan menentukan kelangsungan mengharungi dugaan. Justeru itu peliharalah kesihatan dari masa ke semasa.


4. PERSEDIAAN IMAN

Setelah selesai mengharungi Ramadan yang lalu, pastinya ramai kembali melakukan dosa. Selama tempoh itu iman sudah dicalari dan dikotori pelbagai maksiat sehingga sinarnya hmapir malap. Justeru gilap kembali iman sebelum hadirnya Ramadan.

Lepaskan maksiat satu-persatu daripada tubuh dan hati dengan bertaubat nasuha kepada Allah SWT serta kembalilah mempergiatkan amal soleh supaya hati ini akan tenang dalam dakapan rahmat Allah SWT.

Jadikanlah Ramadan sebagai pesta ibadah dengan memfokuskan ibadah khusus yang mungkin sukar atau tidak dibuat pada bulan lain. Amat besar kenikmatan yang bakal dinikmati oleh mereka yang berjaya mengharungi Ramadan dengan keimanan dan ketakwaan.

Jumaat, 27 Jun 2014

1 HARI 1 AYAT - PUASA SEMAI KEJUJURAN DALAM DIRI

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sepertimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."(Surah al-Baqarah: 183). Sheikh Tantawi dalam tafsir al-Wasit berkata, Allah SWT menyebut kewajipan berpuasa pernah disyariatkan kepada orang yang terdahulu dengan beberapa tujuan, pertama ialah keperluan mengambil berat ibadah puasa diwajibkan kepada pengikut Nabi Muhammad SAW dan pengikut nabi sebelum Baginda berdakwa di jalan Alah SWT.


Puasa dapat menimbulkan azam dan kekuatan dalam melaksanakan ibadah supaya umat islam tidak menjadi umat yang cuai bahkan wajib ke atas mereka menunaikannya kerana umat islam adalah umat terbaik atau khaira ummah yang dilahirkan.


Antara ciri umat terbaik ialah cergas dan bersemangat melakukan ibadah. Kewajipan berpuasa bukanlah sesuatu yang baru dalam syariat Allah SWT kerana hikmah dan kelebihannya terlalu besar. Allah SWT mewajibkan berpuasa dengan matlamat mealhirkan ketakwaan kepadaNya. Takwa itulah yang bersemarak dalam hati kerana seseorang yang melaksanakan ibadah puasa menjunjung perintah Allah SWT dan mengutamakan keredaanNya. Takwa itulah yang mengawal hati daripada merosakkan ibadah puasa dengan maksiat.


Persiapan takwa boleh dicapai melalui pelbagai cara antaranya meninggalkan keinginan nafsu yang halal bagi mematuhi perintahNya dan kemampuan serta tekad seseorang meninggalkan dorongan hawa nafsu yang haram serta bersabar menentang sesuatu dilarang. Sabda Rasulullah SAW: "Puasa itu separuh daripada kesabaran."(Riwayat Tarmizi).


Membiasakan seseorang itu takut kepada Allah SWT sama ada dalam keadaan sembunyi atau terang kerana Allah SWT sama ada dalam keadaan sembunyi atau terang kerana orang yang berpuasa berasakan tidak diawasi melainkan dirinya diawasi oleh Allah SWT. Kesan dari itu seseorang tidak mungkin melakukan penipuan dan pembohongan atau kemaksiatan. Sekiranya melakukan kesalahan dia bersegera kembali kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang bertakwa apabila disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)."(Surah al-A'raf: 201)


Menanam rasa kasih sayang yang menggerakkan jiwa kepada sikap suka memberi dan menginfak, ini kerana ketika berada dalam kelaparan seseorang mula mengingati mereka yang miskin betapa susahnya untuk mendapatkan sesuap nasi. Menjadikan diri lebih sihat dengan pengurangan makanan sehingga dapat menghilangkan bahan mendapan dalam tubuh dan membersuhkan pencernaan daripada racun yang terkumpul. Sabda Rasulullah SAW: "Berpuasalah kamu nescaya kamu menjadi sihat." (Riwayat At-Tabrani)


Dalam kemajuan kebendaan menguasai dunia, puasa adalah ibadah yang dipandang asing dan aneh. Inilah bentuk peradaban yang hanya mempercayai roh, mempercayai kehidupan dunia, sama sekali tidak menagmbil berat serta perhatian kepada hari akhirat. Justeru lahirlah kelompok manusia yang tidak gemar kepada ibadah yang mengukat keinginan nafsu walaupun dalam waktu singkat dan terbatas. Al-Imam Syah Waliyullah Al-Dihlawi menyebut dalam kitab Hujattullah al-Baligahah bahawa puasa suatu kebaikan yang memperkuatkan sifat malaikat dan melemahkan sifat haiwan. Tidak ada yang setanding dengannya untuk menggilap permukaan roh dan menguasai tabiat.


Kebanyakan manusia di dunia hari ini hanya memberi fokus untuk mengumpul kekayaan dan meningkatkan taraf kehidupan seperti diingikan nafsunya hingga tidak muncul keinginana menjadikan dunia sebagai jambatan akhirat. Kenyataan ini tidaklah bermaksud Islam menyeru kepada kemiskinann dan pengabaian kekuatan fizikal kerana kekayaan serta kesihatan adalah dua jalan yang boleh memberi laluan untuk berbakti kepada Allah.


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka akan minum seperti mana binatang ternak makan minum sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka."(Surah Muhammad: 12). Sheikh Muhamamd al-Ghazali dalam bukunya Miatu Sual an Islam berpendapat antara sebab kemenangan pasukan islam ketika menentang tentera Parsi dan Rome adalah kerana kemampuan mereka menahan keinginan hawa nafsu.


Ada antara mereka meletakkan hanya beberapa biji kuma dalam poket baju lalu bergerak ke medan perang. Sementara pasukan Parsi dan Rome pula memiliki gerobok penuh makanan, bila tidak ada bekalan makanan mereka tidak mampu meneruskan peperangan. Puasa mengembalikan jiwa kepada sedikit yang cukup dan menjauhkannya daripada banyak yang mudarat.



Jumaat, 5 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - PENGHAYATAN DI SEBALIK IBADAH PUASA

Jika diizinkan Allah SWT, kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadan untuk kesekian kalinya. Justeru sewajarnya bagi kita berazam untuk meningkatkan amal ibadah dalam pelbagai aspek berdasarkan peluang Allah berikan. Ramadan adalah madrasah bertujuan melatih umat islam bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi. Menurut Yusuff al-Qaradawi dalam bukunya Al-Ibadah fil-Islam, madrasah Ramadan menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan persedian berjihad.
 
 
MELAHIRKAN INSAN BERTAKWA
 
Menurut professor Dr Wahbah Zuhaili dalam 'Fiqh al-Islam wa adillatuh bertujuan melahirkan insan bertakwa berlandaskan firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan berpuasa ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa ."(Surah al-Baqarah:183). Menurut Dr. Wahbah Zuhaili lagi, berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan bersembunyi atau terbuka, mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri, membina cetusan naluri yang peka dan sensitive serta memulihkan kekuatan struktur dalaman tubuh badan.
 
Dr. Mustaffa Sibaí menerusi bukunya Äkhámu Syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). Selain itu madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri atau tazkiyah, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilaii unggul yang dinamakan takwa.
 
Dari aspek psikologi manusia terdiri daripada empat kompenan utama iaitu fizikal, kognitif, emosi dan spiritual. Berdasarkan kompenon itu madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi kearah kebaikan dituntut islam. Falsafahnya mudah jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu sudah pasti ia mampu mengatasi masalah serta cabaran hidup dengan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.
 
Umat islam daripada yang kecil hingga tua menanam tekad untuk menyempurnakan puasa bermula saat memasang niat kepada tibanya waktu berbuka. Kesungguhan itu membuktikan kesediaan berdepan dugaan menahan lapar serta dahaga. Kecintaan kepada agama memberi semangat kepada tentera islam berdepan musuh dalam peperangan Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun ke dua hijrah. Kesabaran serta ketakwaan tentera islam menunjukkan sifat tawakal kepada Allah SWT. Madrasah Ramadan mendidik diri menghayati konsep hablun min Allah (hubungan dengan Allah) dan konsep hablun minannas (hubungan sesama manusia). Hubungan itu terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan diharap diteruskan selepas Ramadan.
 
Selain meningkatkan ibadah keapda Allah SWT puasa juga mendidik jiwa insan untuk berkongsi nikmat dikurniakan dengan memperbanyakkan amalan sedekah yang mampu membersihkan jiwa daripada perasaan sombong. Kesedian berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan juga melahirkan sifat tawaduk serta sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT.
 
 
GANJARAN LAILATUL QADAR
 
 
Dalam latihan madrasah Ramadan pasti ada cemerlang. Mereka akan menerima ganjaran iaitu Lailatul Qadar malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Begitu juga yang menamatkan ibadah Ramadan dengan sempurna, ketibaan Syawal pasti disambut penuh kegembiraan.
 
Sabda Rasululalh SAW: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang lalu."(Riwayat Bukhari dan Muslim). Anugerah lain turut diberikan kepada individu yang melalui latihan dengan baik melalui ganjaran pahala untuk melalui pintu syurga ar-Rayan. Sabda Rasulullah SAW: "Di dalam syurga ada pintu yang dinamakan ar-Rayan. Orang yang berpuasa masuk melalui pintu ini pada hari kiamat."(Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Mereka yang Berjaya melalui madrasah Ramadan dengan jayanya menerima ganjaran pahala yang diberikan oleh Allah serta pengikhtirafan "takwa"yang menjadi matlamat ibadah puasa. Lebih baik jika semangat itu diteruskan pada Syawal dengan melaksanakan puasa sunat Syawal. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan disusuli dengan puasa bulan Syawal ganjarannya seolah-olah berpuasa setahun."(Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
 
 
Sumber Rujukan : Berita Harian 4 Julai 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...