Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers
Memaparkan catatan dengan label BERTAUBAT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BERTAUBAT. Papar semua catatan

Khamis, 12 Jun 2014

1 HARI 1 AYAT - BUKAN TAUBAT JIKA TIADA AZAM BAIKI DIRI

Bertaubat kepada Allah SWT adalah tuntutan Islam. Dalam al-Quran, Allah menggesa dan menyuruh hambaNya supaya bertaubat atas segala perbuatan dosa kerana Dia bersifat Maha Pengampun. Tidak sukar bagi Allah memberi atau menerima taubat seseorang kerana Allah sendiri adalah penerima taubat. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat) lagi Maha Mengasihani."(Surah al-Baqarah: 37)

Malah Allah SWT sangat mencintai orang-orang yang bertaubat seperti firmanNya bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat."(Surah a-Baqarah: 222). Rasulullah SAW yang juga kekasih Allah dan bersifat maksum menunjukkan contoh kepada umatnya bahawa Baginda memohon ampun (beristighfar) dalam sehari  sebanyak 100 kali."(Riwayat Muslim).

Penegasan Allah yang berjanji menerima taubat hambaNya memberikan harapan yang tinggi kepada Mukmin agar sentiasa memohon keampunan Allah setiap masa atas segala dosa diperbuat. Allah Maha Mengetahui kelemahan hambaNya yang tidak terlepas daripada berbuat kesalahan. Sebesar manapun dosa dilakukan tetap diberi Allah keampunan selagi tidak melakukan syirik kepadaNya.

Rasululalh SAW menyebutkan bahawa betapa Allah SWT sangat gembira apabila hambaNya mahu bertaubat secara tulus seperti terkandung dalam firman Allah dalam hadis qudsi bermaksud: "Sungguh Allah sangat berbahagia atas permohonan taubat hambaNya lebih berbahagia daripada bahagianya salah seorang kamu yang kehilangan untanya lalu menemuinya kembali."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Seseorang yang kehilangan sesuatu barang berharga sama ada kerana kecurian, tercicir dan sebagainya, maka dia akan berasa sangat gembira jika menemui semula kerana barang berkenaan sangat bernilai dan bererti kepadanya. Akan tetapi taubat seorang Mukmin lebih disukai Allah melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan semula barang berharga yang hilang. Namun kemurahan Allah menerima taubat itu tidaklah bermakna menjadi 'lampu hijau'kepada seorang Mukmin berbuat maksiat dan dosa terus menerus yakni apabila berbuat dosa lalu menyesal dan bertaubat kemudian mengulangi lagi, dan selepas itu bertaubat kembali kerana mengingati Allah itu Maha Pengampun. Taubat yang dijanjikan Allah akan diterimaNya ialah taubat yang lahir dari hati Mukmin yang tulus dan mencukupi syarat yang disebut sebagai taubat nasuha.

Ucapan istighfar walaupun diulang 100 ribu kali sedangkan hati masih berazam untuk mengulangi maksiat tidak dinamakan taubat. Ia lebih seperti melakukan persendaan terhadap hukum Allah, peluang dan rahmatNya. Terjatuh ke dalam maksiat dan dosa adalah kebiasaan manusia yang lemah. Manusia terbaik bukanlah manusia terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah berbuat dosa sama sekali akan tetapi manusia terbaik adalah manusia yang apabila berbuat kesalahan langsung dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. 

Mukmin sebenar sentiasa bersikap atau berpendirian untuk mengelak daripada terjerumus ke lembah dosa. Islam menagajar umatnya untuk tidak berputus asa tetapi diajar untuk kembali kepada kebenaran dan bertaubat. Hanya orang yang tidak beriman memilih jalan-jalan yang lain yang membinasakan diri mereka sendiri. Tidak dinafikan bahawa seseoarng Mukmin yang telah sungguh-sungguh bertaubat kadangkala kembali terjatuh ke dalam kesalahan yang serupa.

Mukmin yang pada mulanya sudah benar-benar insaf dan bertaubat tetapi disebabkan kelemahan iman dan kuatnya pengaruh hawa nafsu selain tergoda dengan hasutan syaitan menyebabkan dia berulang kali terjatuh ke lembah dosa. Jika terjadi demikian bukanlah bermakna taubatnya yang terdahulu tidak ikhlas. Maka dia hendaklah mengulangi taubatnya dan jangan berputus asa dari rahmat Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Seorang melakukan satu dosa lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wajalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa bahawa baginya tuhan yang boleh mengampunkan dan menghukumnya dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan boleh mengampun dan menghukumnya dalam riwayat ditambah: Aku ampunkan dosanya, lalu ia melakukan dosa ampunilah dosa. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya maka Aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang engkau mahu Aku ampunkan engkau."(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Jumaat, 18 April 2014

1 HARI 1 AYAT - USAH TUNGGU USIA SENJA UNTUK BERTAUBAT

Sedarkah kita betapa rahmat dan maghfirah Allah amat luas kepada semua makhlukNya. Malah ketika mula menciptakan sekelain makhluk, Allah SWT menyediakan limpahan rahmat yang meliputi semua makhluknya. RahmatNya sentiasa mendahului kemurkaanNya. Inilah yang dinyatakan dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: "Tatkala Allah SWT mentakdirkan penciptaan makhlukNya, dia mencatatkan di dalam kitabNya yang berada di sisiNya di atas Arasy: Bahawa sesungguhnya RahmatKu meliputi kemurkaanKu.

Subhanallah, lihatlah betapa besarnya kasih Allah SWT sehingga Dia memperuntukkan rahmatNya mengatasi kemurkaanNya kepada hamba-hambaNya. Semua ini diperutukkan supaya ruang keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat terbuka luas untuk kita. Ini membolehkan hambaNya yang terlanjur melakukan dosa dan maksiat dapat membersihkan dirinya semula dengan bertaubat serta beristighfar. Sesungguhnya semua perlakuan dosa pastinya akan mengundang rasa resah dan gelisah dalam jiwa, hilang ketenangan akibat setiap titik hitam yang memalit noda.

Maka rahmatNya juga Allah SWT menjanjikan pengampunan segala jenis dosa bertujuan untuk mengembalikan kebahagian hambaNya di dunia dan kesejahteraan di akhirat kelak. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga ang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi."(Surah az-Zumar: 53)

Di sebalik rahmat dan pengampunan Allah SWT yang luas ini apakah pasti termasuk dalam kalangan hamba yang mendapat rahmatNya. Ramai yang gagal menghayati kurniaan ini menyebabkan mereka terus melakukan dosa di samping mengharapkan keampunan. Taubat sering ditangguh dan akhirnya dilupakan terus. Ada beranggapan taubat hanya perlu dilakukan apabila menjelang usia senja. Persoalannya apakah ada jaminan setiap kita hanya akan mati setelah menjangkau tua? Bukankah saban hari kita mendapat berita tentang kematian?.

Ingatlah tanggapan sebeginilah pasti mengundang kecelakaan. Kelalaian dan maksiat dilakukan secara berterusan sepanjang hidup dan akhirnya mati dalam keadaan yang sangat menyedihkan tanpa sempat bertaubat. Tambah malang tidak mendapat pengampunanNya. Bayangkanlah apakah akibat yang akan ditanggung oleh seseorang itu jika menemui ajal dalam keadaan begini?

Sebenarnya luas pengampunan dan rahmat Allah ini bertujuan memberi peluang kepada kita untuk selalu kembali kepadaNya kita untuk selalu kembali kepadaNya dengan bertaubat di atas segala dosa yang dilakukan. Dia juga melarang kita berputus asa daripada rahmatNya. Apa juga dosa dan maksiat yang kita lakukan Allah sudi memberikan pengampunan. Ingatlah selagi kita masih bernafas, peluang dan pilihan sentiasa berada di tangan kita. Hargailah kurniaan Allah yang Maha Pengasih ini.

Bersegeralah bertaubat daripada segala dosa tanpa bertangguh. Meskipun ruang pengampunan ini luas namun ia tetap ada hadnya. Gunakanlah kesempatan masa yang ada ini dengan sebaiknya. Imam Al-Tirmizi meriwayatkan, rasulullah SAW bersabda, "sesungguhnya Allah masih menerima taubat hambaNya selagi nyawanya belum sampai di kerongkong."

Kita harus memenuhi semua syarat taubat iaitu tinggalkan segera perbuatan dosa, menyesali kesilapan lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya. Jika berkaitan dengan hak manusia, kembalikan hak mereka. Semua ini perlu dilakukan untuk menjamin keampunan Allah SWT dan memberikan ketenangan di jiwa kita. Haruslah yakin dengan rahmat Allah SWT janjikan. Jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Allah kerana ia adalah pintu utama syaitan membisikkan kekecewaan yang mendorong manusia terus kekal bergelumang dengan dosa tanpa bertaubat.

Isnin, 14 April 2014

1 HARI 1 AYAT - JANGAN SOMBONG MALU UNTUK BERTAUBAT

Kehidupan di dunia yang penuh dugaan dan cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu yang tidak baik. Hasad dengki membelenggu hati sehingga tidak dapat menerima kelebihan orang lain, dendam kesumat beraja dalam hati hingga bertarung mempertahankan iman. Sungguh dunia ini penuh dengan permainan yang melalaikan walau cuba mengawal mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga. Apa lagi jika balasannya lambat tiba, tidak terasa janji Allah SWT itu akan sampai akhirnya.

Sudah namanya manusia sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada yang disengajakan, ada pula yang tidak disedari tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali ada yang suka mempersenda hukum Ilahi hingga terlupa bahawa hidup tidaklah kekal abadi.

Apabila tiba masanya kita perlu berserah kepada Pemiliknya dan kala itu usah berasa terlambat kerana kita sememangnya ketinggalan daripada orang lain yang puas memungut rahmat serta berkat kehidupan untuk dibawa bekalan kemudian hari.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah al-An'am: 32).

Akal yang dikurniakan Allah SWT adalah untuk berfikir supaya kita tidak mengulangi kesalahan serupa sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba. Mana yang hak dan batil, usahlah kita sendiri memilihnya manakala tidak boleh berkompromi antara halal dengan haram. Walaupun berusaha menjadi hamba baik dan taat, ada kala kita lalai dan terlupa. Justeru segala keterlanjuran terhadap Yang Esa hendaklah kita bertaubat supaya di akhirat kelak kita selamat.

Menyesali dosa yang telah dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu yang akan mendorong melakukan kemaksiatan sebaliknya jadikan pengajaran supaya kesalahan tidak berulang. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.")Surah at-Tahriim: 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi dosa dan kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mestilah menyesali dosa telah dilakukan dan bertekad tidak mengulanginya lagi. Inilah yang dikatakan menyucikan diri iaitu menghilangkan segala kotoran di hati untuk mendorong kepada pembersihan jiwa yang sebenar.

Segala bentuk maksiat dan ingkar terhadap perintah Allah SWT hendaklah dipohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, walau apa juga bentuknya perlu disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil. Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika ia harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan.

Usahlah ditangguh peluang kerana ajal juga bila-bila masa akan datang dan syukurlah jika kita sempat menyedari dosa dan kejahilan pernah dilakukan kerana kita tidak akan melakukannya berulang-ulang. Mengingati bahawa hidup ini hanya sementara maka kita perlulah berhati-hati apabila berbuat dan berkata. Bukan mudah meminta ampun atas segala dosa kerana hati yang disakiti lukanya sukar untuk sembuh. Sungguhpun begitu selagi ada usia selagi itulah pintu taubat akan sentiasa terbuka. Jangan sombong dan malu untuk memohon ampun dan maaf daripada sesiapa bahkan Allah SWT Maha Pengampun terhadap hambanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...