Jika suatu hari kita ditakdirkan Allah s.w.t jatuh miskin, sakit berasa tidak selamat dan ditimpa bala atau bencana, ingat 5 perkara ini. Semoga ia boleh menimbulkan kesyukuran pula, di sebalik bala atau kesusahan itu.
1. Setiap bala, bencana atau penyakit yang dihidapi tidak harus dianggap lebih besar berbanding yang dialami orang lain. Sesungguhnya takdir Allah tidak terbatas. Bersyukurlah Dia tidak menggandakan atau melebihkan bencana itu daripada apa yang sedang anda hadapi. Jika tidak, anda mungkin tidak mampu menanggung, menolak atau menghalanginya.
2. Mungkin bala yang menimpa anda itu ada kaitan dengan urusan agama, kalau tidak maka seharusnya anda mensyukuri Allah s.w.t Rasulullah s.aw. pernah berdoa: " Ya Allah, ya Tuhanku. Janganlah timpakan bencana kepada kami atas urusan agama kami.
3. Mungkin anda patut menerima bala itu sekarang ( di dunia), jika tidak dikhuatiri anda menerimanya di akhirat. Bersyukurlah kerana betapa berat sekali pun bencana di dunia, ia jauh lebih ringan berbanding bencana yang ditanggung di akhirat. Bersyukur juga kerana Allah s.w.t mungkin tidak mahu menangguhkan balasan seksanya hingga ke akhirat dan didahulukan balasan di dunia.
4. Bahawa bala itu telah sedia tercatat dalam ummil kitab (buku catatan) dan memang tidak boleh dielak. Bersyukurlah ia sudah berlaku dan selesai dan anda boleh menarik nafas lega kerana sesetengah bala itu telah dapat anda hadapi dengan sabar.
5. Pahala menanggung bala itu adalah lebih besar daripada bencana itu sendiri. Ingatlah bala di dunia ini adalah sebagai jalan menuju kepada kebahagiaan akhirat. Walaupun ia seperti ubat pahit yang rasanya tidak disenangi sekarang tapi manfaatnya akan dirasai pada masa akan datang. Maka syukuri ubat yang pahit ini, hanya orang yang tidak mengenal nikmat dalam bala serta bencana saja tidak mengucapkan syukur. Ini kerana kesyukuran itu timbul jika adanya kesedaran terhadap nikmat. Sebab itu juga mereka tidak percaya bahawa pahala menanggung bala itu sendiri, tidak akan mensyukuri Allah atas bala yang diterimanya.
" Hanya orang-orang yang bersabar itu akan diberikan balasannya tanpa terkira." (Az-Zumar: 10)
Walaupun terdapat juga nikmat di sebalik bala. Rasulullah s.a.w sering memohon perlindungan Allah s.w.t agar terhindar Allah s.w.t agar terhindar daripada segala bala bencana dunia dan seksaan akhirat. Baginda berlindung kepada Allah agar musuh-musuh tidak berasa gembira atas bencana yang menimpa dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w berdoa: " Keselamatan yang Engkau kurniakan itu adalah lebih aku utamakan."
BENCANA DALAM NIKMAT
Dalam nikmat dunia, ada di antaranya adalah bencana, di samping sifatnya sebagai suatu nikmat. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menjadikan sesuatu perkara melainkan ada padanya hikmah dan nikmat. Contohnya bala yang diturunkanNYA kadang-kadang merupakan nikmat bagi orang yang ditimpakan bala itu atau terhadap oarng lain.
Sebab itu wajib bagi seseorang itu mengamalkan sifat sabar dan mengucapkan syukur sekali gus apabila berhadapan bala atau bencana. Jika ditakdirkan hidup kita miskin, melarat, berpenyakit atau menghadapi pelbagai bala lain, anggaplah ia baik bagi kita. Kerana jika kita kaya, sihat dan diberi pelbagai kenikmatan lagi, kita mungkin akan menjadi manusia yang lupa dan mengingkari perintah Allah s.w.t.
Fikirkanlah ayat-ayat ini:
" Dan jika Allah murahkan rezeki kepada hamba-hambaNya nescaya mereka akan melampau batas di muka bumi tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakiNya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hambaNya lagi Maha Melihat." (As-Syura: 27)
" Ketahuilah sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas kerana dia melihat dirinya serba cukup." (Al-Alaq: 6-7)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan