Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Jumaat, 13 Julai 2012

1 Hari 1 Ayat - SEMPURNAKAN WUDUKMU

Allah sangat kasih akan hamba-hambaNya. Dia megetahui bahawa hambaNya sering melakukan kesilapan. Akan tetapi Allah menyediakan ruang yang sangat  banyak untuk kita menghapuskan dosa-dosa yang kita lakukan. Antaranya ialah menerusi wuduk. Wuduk bukanlah setakat syarat wajib sebelum kita menunaikan solat. Bahkan kelebihan yang Allah sediakan bagi mereka yang berwuduk adalah sangat luas.

GUGUR DOSA DENGAN BERWUDUK

Antara kelebihan wuduk ialah menggugurkan dosa-dosa yang dilakukan oleh anggota wuduk seperti mana gugurnya air wuduk dari anggotanya itu. Janji-janji Allah ini tersimpul di dalam sebuah hadis baginda s.a.w.
" Jika seseorang Muslim atau Mukmin itu berwuduk lalu membasuh mukanya maka semua dosa yang dia lakukan dari pandangan matanya akan gugur bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Jika dia membasuh kedua-dua tangannya maka semua dosa yang diakibatkan oleh kedua-dua tangannya akan gugur bersama air yang terakhir. Dengan yang demikian akhirnya dia akan menjadi bersih dari segala dosa." (HR BUKHARI DAN MUSLIM)

Hadis ini adalah merupakan seruan baginda Rasul s.a.w untuk melakukan ketaatan kepada Allah dengan penuh ikhlas. Wuduk dengan sempurna adalah lambang kebersihan batin. Setiap kali wuduk diperbaharui setiap kali itulah kebersihan diperbaharui. Dan setiap kali itulah redha dan maghfirah Allah diperoleh.

Air wuduk membersihkan dosa seperti ia membersihkan kotoran. Seandainya lima kali ia berwuduk dalam sehari maka lima kalilah dirinya dibersihkan. Akan gugurlah dosa-dosa yang dilakukan oleh anggota wuduk bersama jatuhnya titisan-titisan air wuduknya.

Dosa yang dimaksukan di sini adalah dosa kecil. Namun janganlah kita memandang ringan dengan dosa kecil kerana jika dosa-dosa kecil itu dibiarkan ia akan menjadi dosa besar. Ibarat menjaga kebersihan zahir juga. Kiranya kotoran yang sedikit dibiarkan lama tanpa dibersihkan, kekotoran itu akan melekat di situ dan sukar untuk dihilangkan.

Kerana itulah jiwa berasa tenang selepas berwuduk. Rupa-rupanya diri kita ringan kerana bebanan dosa yang ditanggung oleh badan telah pergi bersama-sama wuduk yang kita lakukan. Kerana itulah kita melihat kesan orang yang berwuduk itu jelas di wajahnya. Wajahnya berseri dan tenang. Kerana hikmah itu jugalah baginda s.a.w menyarankan kepada mereka yang sedang marah supaya meredakan kemarahan dengan berwuduk.

CAHAYA WUDUK

Antara perkara yang dilakukan oleh baginda s.a.w ketika berwuduk ialah melebihkan had yang diwajibkan pada anggota wuduk. Had yang diwajibkan ketika membasuh tangan ialah hingga ke siku dan kaki hingga ke buku lali. Akan tetapi perbuatan baginda Rasul menunjukkan ia boleh dilakukan lebih dari itu.

Seperti mana yang diceritakan dari Nu'aim bahawa beliau melihat Abu Hurairah r.a membasuh muka dan memperelok basuhnya, membasuh kedua-dua tangannya hingga ke lengan, mengusap kepala dan membasuk kedua-dua kakinya hingga ke betis. Kemudian Abu Hurairah berkata; " Aku melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti ini." (HR MUSLIM)

Hakikatnya baginda s.a.w tidak melakukan demikian tanpa sia-sia. Ia bukanlah bentuk pembaziran namun di sebaliknya ada kelebihan yang Allah sediakan. Rasulullah s.a.w bersabda; " Kalian pada hari kiamat akan bersinar kerana sempurnanya wuduk. Maka sesiapa dari kalian boleh memanjangkan cahaya sinarnya hendaklah ia lakukan.

Maksud Rasulullah s.a.w dari memanjangkan cahaya sinarnya ialah meluaskan kawasan basuhan anggota wuduk seperti mana yang dilakukan oleh Abu Hurairah di dalam hadis di atas. Bukan setakat itu baginda s.a.w juga telah mengkhabarkan bahawa umat baginda s.a.w akan diseru pada hari akhirat nanti dalam keadaan yang putih bersinar-sinar sebagai kesan wuduknya. Tanda ini khusus untuk umat baginda s.a.w yang tidak ada pada umat yang lain. Sabda baginda  s.a.w, " Kalian memiliki tanda yang tidak dimiliki oleh umat-umat selainnya. Kalian muncul kepadaku dalam keadaan putih bersinar disebabkan bekas air wuduk." (HR MUSLIM)

Inilah kelebihan wuduk yang Allah sediakan untuk umat Nabi Muhammad s.a.w pada hari akhirat kelak. Hakikatnya baginda s.a.w telah menceritakan kepada kita beberapa perkara ghaib yang akan berlaku pada hari akhirat kelak. Gambaran bahawa umatnya yang berwuduk dengan sempurna akan mendapat keistimewaan pada hari tersebut. Untuk itu marilah sama-sama kita memperelok wuduk kita. Hanya wuduk yang sempurna mendapat kelebihan-kelebihan tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda s.a.w; " Sesiapa yang berwuduk dan melaksanakannya dengan sempurna maka dosa-dosa akan gugur daripada jasadnya hingga keluar dari bawah kukunya." (HR MUSLIM)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...