Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Khamis, 5 Julai 2012

1 Hari 1 Ayat - PERLUNYA KEBERKATAN REZEKI

Dalam hidup ini amat penting untuk mencari keberkatan sama ada ketika mencari rezeki atau mendapat rezeki. Begitu juga di dalam segala perbuatan yang kita lakukan carilah berkat. Seterusnya kita mencari berkat di dalam ibadah-ibadah yang dikerjakan.

Istilah berkat ini sering kita dengar tetapi apakah yang dimaksudkan dengan berkat ini? Berkat ialah sesuatu yang Allah redhai, sesuatu yang Allah rahmati hingga perkara-perkara ini membawa kepada manfaat-manfaat lain atau melahirkan kebaikan-kebaikan lain.

Ketika berdoa kita sering memohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan rezeki yang berkat. Begitu juga ibu bapa sentiasa mendoakan agar mereka dan anak-anak sentiasa dikurniakan rezeki yang berkat dan halal. Maksud rezeki yang penuh berkat ini ialah:

1. HALAL
Jika rezeki itu didapati daripada hasil perbuatan haram hasil daripada penipuan, hasil kerana menganiaya orang lain dan sebagainya, ini merupakan unsur-unsur rezeki yang tidak berkat. Tetapi jika mendapat rezeki yang halal sekalipun sedikit, rezeki yang melimpah ruah satu hari ini. Perkara ini kita perlu serahkan kepada Allah s.w.t kerana ini adalah urusanNya.

2. REZEKI YANG KITA TERIMA DENGAN PENUH SYUKUR
Apabila kita menerima rezeki dengan syukur kita tidak lupa dan tidak lekang melafazkan ALHAMDULILLAH walaupun rezeki yang dikurniakan sedikit, ini juga merupakan rezeki yang berkat. Sebaliknya jika menerima rezeki yang banyak tetapi tidak pernah bersyukur bahkan meraikan atau menghabiskannya di tempat-tempat maksiat, ini menampakkan rezeki itu tidak berkat kerana membawa kepada tindakan yang tidak betul kepada orang yang menerima itu.

3. REZEKI ITU DITERIMA DAN MENDATANGKAN PERUBAHAN YANG BURUK KEPADA TINGKAH LAKU.
Misalnya apabila kita menerima rezeki itu, perangai kita tidak berubah buruk, tidak angkuh, tidak menjadi orang yang gila kebendaan dan sebagainya. Ini menunjukkan rezeki yang diterima itu berkat.

4. REZEKI YANG DIUSAHAKAN DENGAN GIGIH, REZEKI YANG BEBAS DARIPADA UNSUR-UNSUR HARAM DAN REZEKI YANG APABILA KITA TERIMA KITA BERNIAT UNTUK MEMBAYAR ZAKAT APABILA SYARAT-SYARAT MEMBAYAR ZAKAT TELAH SEMPURNA DAN SEBAGAINYA.
Atau rezeki yang kita terima kita berniat hendak berkongsi dengan pihak-pihak lain yang telah mendoakan kita. Ini juga antara rezeki-rezeki yang berkat. Contohnya jika suami berniat hendak berkongsi dengan isteri, si anak berniat hendak berkongsikan dengan ibu bapanya, seorang yang berniat hendak berkongsi dengan orang alim dan sebagainya.

Terdapat satu kisah benar yang berlaku kepada sepasang suami isteri. Satu ketika si suami telah menerima rezeki durian runtuh yang berjuta-juta nilainya. Apabila tiba masanya wang yang banyak sampai ke tangan, dia menjadi tamak. Dia terlupa kepada janji bahawa wang itu akan dikongsikan bersama isterinya.

Tidak sedikit pun di dalam hatinya untuk memberikan kesenangan kepada isteri yang dikatakan terlalu disayangi. Dia terlupa pengorbanan isteri yang turut berusaha membantu dalam merealitikan impiannya. Semenjak hari itu si suami ini akhirnya telah bertukar menjadi insan yang gila kepada kebendaan. Dia membeli barang-barang yang begitu mewah untuk memuaskan keperluan nafsunya. Cara hidupnya bertukar menjadi liar. Jika dahulu dia hanya pergi kepada isterinya seorang, kini dia sudah pandai bertukar-tukar pasangan. Apabila si isteri melihat perubahan yang buruk kepada suaminya itu, hatinya sungguh menderita. Tertanya-tanya di dalam diri bagaimana suaminya boleh berubah sebegitu rupa? Perubahan itu ketara semenjak suaminya menerima durian runtuh. Akhirnya pada satu keheningan malam si isteri bangun malam untuk menunaikan solat tahajjud. Dia merintih-merintih sambil menangis memohon kepada Allah s.w.t tentang suaminya. Dia menyerahkan nasibnya bulat-bulat kepada Allah s.w.t dan berdoa, " Ya Allah ya tuhan ku, Jika sekiranya durian runtuh ini menyebabkan rumah tanggaku retak, ambillah semula rezeki ini." Si isteri ini berdoa bersungguh-sungguh kerana melihatkan si suami bukannya menjadi manusia yang lebih baik, malah menjadi manusia yang sebaliknya setelah menerima durian runtuh tersebut.

Dengan izin Allah s.w.t ketika negara kita dilanda kegawatan ekonomi si suami ini hampir-hampir muflis. Mungkin ada di antara kita menganggap suami ini muflis disebabkan keadaan ekonomi tetapi Allah s.w.t lebih mengetahui. Mengapa orang lain yang juga mendapat durian runtuh tidak juga muflis? Ini akibatnya apabila si suami ini melupakan rahsia dia (janji dia) dengan Allah s.w.t, dia runtuh dan hampir muflis.

Di sinilah pentingnya untuk kita memerhatikan setiap apa yang kita terima, biarlah berkat. Ini kerana apabila rezeki yang kita terima itu mempunyai berkat, Insya Allah, pemeliharaan Allah terhadap rezeki kita lebuh kuat, padu dan mantap daripada apa-apa keselamatan yang boleh diberikan oleh institusi kewangan termasuk bank. Tetapi jika sesuatu itu tidak berkat dan kita menerimanya secara tidak berkat, letaklah peti keselamatan yang paling canggih sekalipun, jika Allah s.w.t hendak mengambilnya balik, Allah mudah melakukannya dengan cara yang kita tidak boleh bayangkan.

Marilah bersama-sama menilai diri kita sama ada rezeki, ibadah dan segala tindak tanduk mempunyai berkat atau tidak. Semoga Allah s.w.t menjadikan kita insan yang diberkati.

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” Surah Ibrahim : ayat 7

“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”. Surah Saba’ : ayat 39

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...