Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Isnin, 16 Julai 2012

1 Hari 1 Ayat - PELIHARALAH ALLAH, ALLAH PELIHARA KITA

Abdullah bin Abas berkata: "  Saya pernah berada di belakang Nabi s.a.w pada suatu hari. Baginda bersabda : " Wahai anak, saya hendak mengajarimu beberapa kalimat, jagalah Allah nescaya Allah menjagamu, jagalah Allah nescaya engkau mendapatiNya bersamamu, jika engkau meminta, mintalah kepada Allah, jika engkau meminta tolong mintalah kepada Allah. Ketahuilah bahawasanya jika umat manusia bersatu untuk memberimu manafaat dengan sesuatu mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu dan jika mereka bersatu untuk mencelakakanmu dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah mengering (tintanya)." (HR TIRMIZI)

Maksud memelihara Allah di dalam hadis ini ialah memelihara hukum-hakam Allah, hak Allah, perintah Allah dan larangan Allah. Iaitu dengan mengerjakan segala suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Amalan wajib yang paling utama untuk dipelihara ialah ibadah solat kerana solat itu adalah merupakan tiang agama. Begitu juga dengan ibadat-ibadat fardu yang lain.

Memelihara Allah juga bermaksud memelihara anggota zahir dan batin daripada melakukan perbuatan dosa. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: " Barangsiapa yang memelihara apa yang terdapat  di antara dua janggutnya (iaitu mulutnya) dan apa yang terdapat di antara dua kakinya (iaitu kemaluannya) maka dia akan masuk syurga." (HADIS ABI HURAIRAH)

Sekiranya kita inginkan tubuh badan kekal sihat di hari tua maka hendaklah kita memelihara seluruh anggota badan kita dari melakukan perbuatan dosa dan maksiat. Hindari tangan dari perbuatan mencuri dan sebagainya, nescaya Allah akan pelihara tangan kita hingga ke akhir hayat.

Jagalah mata kita daripada memandang perkara-perkara maksiat, memelihara lidah dari berkata-kata perkara yang tidak baik, begitu juga dengan akal fikiran hendaklah digunakan untuk memikirkan perkara-perkara kebaikan. Makan dan minum juga hendaklah dari sumber yang halal.

Allah memelihara anggota badan para wali Allah contohnya Asma' binti Abu Bakar, anak kepada Sayidina Abu Bakar yang berusia 100 tahun tetapi tiada satupun giginya yang patah dan rapuh, akalnya cerdas dan tidak nyanyuk. Begitu juga Muhid at-Tabari yang berusia lebih daripada 70 tahun masih gagah mendayung sampan. Bila ditanya tentang fizikalnya yang masih gagah melebihi usianya, jawab Muhid, " Kalau kamu pelihara anggota tubuh badan kamu ketika di waktu muda, Allah akan pelihara tubuh badan kamu di waktu tua.

Allah juga akan memelihara harta benda kita sekiranya kita menjaganya dengan memperolehinya  dari sumber yang halal. Kenderaan yang kita miliki hendaklah digunakan untuk kebaikan dan bukannya ke jalan yang mungkar, begitu juga rumah kediaman, barang kemas, perabot dan lain-lain lagi hendaklah diperolehi dengan cara yang halal dan jauh dari perkara-perkara subhah dan haram.

MUSIBAH DAN MUHASABAH

Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya begitu juga dengan musibah yang menimpa dalam hidup kita. Musibah adalah ujian untuk menguji kesabaran, menaikkan darjat dan juga sebagai kifarat atas kesalahan dosa yang dilakukan. Apabila berlaku sesuatu musibah seperti kemalangan kereta, kecurian harta benda dan sebagainya janganlah kita sesali berlebih-lebihan sebaliknya hendaklah kita muhasabah diri, adakah kenderaan yang kita naiki ini digunakan untuk tujuan kebaikan atau adakah untuk tujuan maksiat, begitu juga harta yang kita miliki adakah berpunca dari sumber yang meragukan atau adakah ada hak orang lain yang kita ambil tanpa kita sedari dan sebagainya.

Memelihara Allah juga bermakna kita menjaga dan memelihara hukum hakam yang bersangkutan denagn amalan anggota zahir. Termasuk dalam perkara ini ialah menjaga batas-batas agama dalam kehidupan seharian kita seperti menutup aurat, berbuat amal kebajikan, bermuamalt cara yang digariskan syariat dan melakukan aktiviti yang berfaedah serta menjauhi sebarang perkara yang maksiat dan dosa.

Hati adalah perkara yang paling penting untuk dijaga kerana hati merupakan penentu tindakan seseorang sama ada bertindak secara rasional atau tidak. Sama ada segala tindakan yang dilakukan itu merupakan satu tindakan yang menjurus ke jalan yang diredhai Allah atau sebaliknya.

Hati juga adalah raja dalam kerajaan diri. Tanyalah diri kita adakah segala kebaikan yang dilakukan selama ini dikuasai oleh hati yang mengikut telunjuk syaitan ataupun hati yang benar-benar ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah. Betapa sukarnya mendidik hati yang sentiasa menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan ini. Oleh itu kita hendaklah sentiasa menjaga amalan-amalan hati seperti keimanan (akidah), keikhlasan, rasa takut, cinta, harap dan sebagainya. Begitu juga memelihara hati daripada segala jenis penyakitnya seperti riak, takbur, sombong dan sebagainya.

Sekiranya kita memelihara Allah sebagaimana maksud di atas maka kita bukan saja akan mendapat pemeliharaan daripadaNya malahan Allah akan sentiasa berada di sisi kita di mana saja kita berada. Allah akan sentiasa menolong, mengawal, memperkuatkan hatinya serta menunjukkan kita ke jalan yang lurus.

Memelihara Allah bererti memelihara agamanya. Memelihara agama bererti menjadi orang yang menuruti hukumnya dan mengikuti peraturannya. Dan itu tidak mungkin dapat dilakukan tanpa amal bakti, usaha dan ikhtiar. Melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. Orang yang mendapati Allah bersertanya akan selalu merasa tenang, gembira, kuat dan tidak ada perkara yang ditakutinya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...