Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Selasa, 31 Julai 2012

TERAPI MINDA - TAUBAT SETELAH 40 TAHUN BERGELUMANG DOSA

Pada zaman Nabi Musa a.s pernah berlaku musim kemarau yang panjang kepada bani Israel. Lantaran itu mereka berhasrat untuk berkumpul dan menemui Nabi Musa a.s dan Nabi Harun. Mereka merayu kepada ketua mereka dengan berkata: " Wahai Nabi Allah yang merupakan kalamNya tolonglah mohon kepada tuhanmu agar Dia berkenan menurunkan hujan untuk kami." Kemudian Nabi Musa a.s bersama-sama kaumnya berangkat menuju ke kawasan lapang. Menurut suatu pendapat seperti yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah dalam al-Tawwabin, bilangan mereka pada waktu itu lebih kurang 70 ribu orang.

Setelah mereka sampai di tempat yang dituju maka Nabi Musa a.s mula berdoa agar diturunkan hujan (al-istisqa). Antara isi doa tersebut adalah: " Tuhanku siramlah kami dengan air hujanMu, taburkanlah kepada kami rahmatMu dan kasihanilah kami terutama bagi anak-anak kecil yang masih menyusu, haiwan ternak yang memerlukan rumput dan orang tua yang sudah bongkok. Sebagaimana yang kami saksikan pada saat ini langit sangat cerah dan cuaca semakin panas." Allah swt telah menurunkan firmanNya yang bermaksud " Aku tidak merendahkan kedudukanmu di sisiKu kamu mempunyai kedudukan yang tinggi.Cuma dalam kalangan umatmu ini ada seorang yang melakukan perbuatan maksiat selama 40 tahun. Selagi dia masih berada dalam kumpulan umatmu ini maka dia menjadi penyebab terhalang turunnya hujan untuk kamu semua."

Nabi Musa a.s kembali berkata:" Wahai Tuhanku, aku adalah hambaMu yang lemah, suaraku juga lemah apakah mungkin suaraku ini akan dapat didengarinya dalam lingkungan jumlah manusia yang melebihi 70 ribu orang ini?" Allah swt berfirman yang bermaksud: " Wahai Musa kamulah yang memanggil dan Akulah yang akan menyampaikannya kepada mereka!" Mentaati dengan apa yang diperintahkan oleh Allah maka Nabi Musa as segera berdiri dan berseru kepada kaumnya: " Wahai seorang hamba yang derhaka kepada Tuhannya sudah lama engkau melakukan dosa kepada Allah swt. Keluarlah kamu dari tempat ini kerana kewujudanmu menghalang hujan daripada diturunkan oleh Allah swt kepada kami semuanya."

Mendengar seruan daripada Nabi Musa as maka orang derhaka yang dimaksudkan itu berasa sangat serba salah. Dia melihat ke kanan dan ke kiri, namun dia tidak melihat seorang pun yang keluar. Dengan demikian yakinlah dia bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi Musa as itu ialah dirinya sendiri. Dalam hatinya timbullah penyesalan yang amat mendalam. Dia berkata dalam dirinya: " Jika aku keluar daripada kumpulan ini nescaya akan terbukalah segala kejahatan yang telah aku lakukan selama ini. Di manakah akan diletakkan maruah dan kemuliaan keluargaku? Tentulah mereka akan dipandang hina keranaku. Akan tetapi jika aku tetap bersama mereka pasti hujan tidak akan diturunkan oleh Allah swt. Ya Allah, Kesalnya aku, malunya aku. Terimalah taubatku, aku berjanji tidak akan mengulangi maksiat-maksiat itu lagi. Ya Allah sesungguhnya aku telah derhaka kepadaMu selama lebih 40 tahun, walaupun demikian Engkau masih memberikan kesempatan kepadaku dan sekarang aku datang kepadaMu dengan ketaatan maka terimalah taubatku ini. Jangan dibuka keaibanku di hadapan ramainya hamba-hambaMu dan nabi-nabiMu." Akhirnya lelaki itu bertekad menundukkan kepalanya kerana bimbang dilihat oleh orang ramai yang mencari-cari siapa sebenarnya pesalah yang dikehendaki itu. Beberapa detik selepas itu kelihatan awan berkumpul di langit seiring dengan itu hujan pun turun dengan lebatnya.

Melihat keadaan demikian maka Nabi Musa as berkata: " Tuhanku mengapakah Engkau mengurniakan nikmat dan rahmat hujan kepada kami sedangkan pesalah belum lagi menyerah diri?" Allah swt berfirman yang bermaksud: " Wahai Musa, aku menurunkan hujan ini juga disebabkan oleh orang tersebut yang dahulunya menjadi sebab Aku tidak menurunkan hujan kepada kamu." Nabi Musa as berkata: Tuhanku lihatkanlah kepadaku siapa sebenarnya hambaMu yang dimaksudkan itu?" Allah swt berfirman maksudnya: " Wahai Musa dahulu ketika dia melakukan maksiat dan derhaka kepadaKu, Aku tidak pernah membuka aibnya. Apakah sekarang Aku akan membuka aibnya itu ketika dia kembali melakukan ketaatan kepadaKu?"

1 Hari 1 Ayat - RAHSIA PERUBATAN RASULULLAH SAW

Dalam dunia ini juga terdapat dua bentuk penyakit iaitu penyakit lahir dan batin. Apabila jasad lahir kita sakit, maka ubat untuk menyembuhkannya terdiri daripada unsur tanah juga seperti kalsium, sulfur, zat besi, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Namun apabila jasad batin atau roh yang sakit ia tidak boleh diubati dengan kaedah lahir. Oleh sebab roh urusan Allah s.w.t maka untuk menyembuhkannya kita perlulah sentiasa ingat kepadaNya. Misalnya dengan membaca aya-ayat suci Al-Quran, berwirid, berdoa dan munajat kepadaNya. Allah s.w.t telah berfirman:
" Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah sahaja hati akan tenang." (SURAH AR-RA'DU:28)

Bagi penyakit lahir Allah s.w.t menetapkan peraturan atau sunnatullah. setiap penyakit yang menimpa manusia terdapat ubatnya sebagaimana sabda Rasulullah saw:
" Setiap penyakit ada ubatnya, diketahui oleh orang yang berilmu dan tidak diketahui oleh orang yang tidak berilmu kecuali tua dan mati."

Namun mengapa penawar bagi penyakit kronik misalnya barah, AIDS dan SARS masih sukar ditemui sedangkan Allah swt menjamin setiap penyakit ada ubatnya? Terdapat penyakit-penyakit yang menimpa merupakan bala keatas manusia disebabkan oleh dosa-dosa manusia sendiri. Memang tiada ubat untuk menyembuhkannya melainkan bertaubat. dengan bertaubat serta kembali kepada Al-Quran boleh dijadikan penawar sebagaimana firman Allah swt:
" Dan kami turunkan daripada Al-Quran sesuatu untuk menjadi ubat dan rahmat bagi orang yang beriman dan bagi orang yang zalim tetap bertambah rugi."

Namun pada zaman Rasulullah saw, masyarakat islam ketika itu jarang mendapat penyakit yang pelik. Rasulullah saw mempunyai kaedah tersendiri dalam mengawal dan mengubati penyakit. kaedah ini terbukti sewaktu baginda mengutus seorang sahabat bernama Hatib bin Batlaah menyampaikan risalah islam kepada Maharaja Mesir, Muqauqis. Maharaja Mesir menyambut baik kedatangan utusan baginda Rasul. Sebelum utusan itu pulang Maharaja mengirimkan hadiah kepada Rasulullah saw. Antara hadiah tersebut ialah beberapa orang wanita cantik (termasuk Mariahtul Qibtiah) seorang doktor yang bijak dan beberapa hadiah lain. Rasulullah menerima ke semua hadiah maharaja kecuali doktor yang dikembalikan semula. Baginda menolak dengan baik dengan berkata:
" Kami adalah umat yang makan hanya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang."

Inilah salah satu rahsia perubatan Rasulullah saw. Kita perlu makan apabila lapar sahaja dan berhenti sebelum perut penuh dengan makanan. Apakah rasionalnya " makan hanya ketika lapar, berhenti sebelum kenyang" ini? Pakar-pakar diet sering memberi nasihat yang hampir sama " Jangan mengambil makanan berlebihan. Elakkan daripada tidak mengambil makanan langsung. Biarlah kerap makan tetapi kadar yang sedikit." Sebenarnya nasihat-nasihat atau kaedah ini (formula yang ditemui melalui pengalaman atau kaedah saintifik) telah disarankan lebih 1400 tahun dahulu oleh Rasulullah saw. Apa yang berlaku sekarang kebanyakkan kita makan bukan kerana lapar tetapi kerana nafsu! nafsu hendak merasa makanan yang pelbagai, nafsu hendak menikmati walaupun perut tidak merasa lapar. Ada yang terlalu sibuk dengan tugas menangguhkan masa makan walaupun ketika itu perut tersangat lapar. sebenarnya tindakan ini boleh seseorang itu berpenyakit juga.

Jika kita memegang konsep " makan mesti kenyang", apa akan jadi? Kita akan mengambil makanan dalam kadar yang banyak atau terlebih daripada yang disyorkan oleh pakar diet. Amalan ini pula terus menjadi tabiat bertahun-tahun lamanya . Oleh sebab itu kita dapati ramai orang mendapat berbagai-bagai penyakit berbeza dengan para sahabat yang jarang sakit. Banyak penyakit yang berpunca daripada sisa makanan di dalam perut. Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung, buah pinggang rosak dan sebagainya banyak menyerang mereka yang banyak berbelanja untuk makan minum sahaja. Andainya kekenyangan kerana makan makanan yang halal pun menjadi punca penyakit lahir dan penyakit batin bagaimana pula jika kekenyangan kerana makan makanan yang haram? Si pemakan mendapat 2 bala, mendapat dosa dan penyakit.

Kebanyakan penyakit berpunca daripada makanan. Orang yang banyak makan lebih tinggi risikonya untuk mendapat penyakit daripada orang yang kurang makan. Anjuran berpuasa sunat isnin dan khamis itu sebenarnya dapat merehatkan perut daripada bekerja dan menurunkan nafsu makan. Perut yang kosong akan menyebabkan lemah gerakan darah pada jantung manusia. Denyutan jantung akan berkurang dan tertutuplah segala saluran dan pembuluh darah termasuk urat nadi tempat iblis biasa masuk ke tubuh manusia dan tempat mengalirnya nafsu syahwatnya. Imam Al-Ghazali pernah berkata: " Makanlah mengikut kadar yang diperlukan". Orang-orang yang bekerja menggunakan tulang empat kerat sepenuhnya boleh makan lebih sedikit berbanding dengan orang yang bekerja di pejabat. Dan niat kita makan ialah untuk menguatkan anggota tubuh agar dapat bekerja dan beribadah kepada Allah swt. Mari kita lihat kelebihan berlapar dan keburukan akibat kekenyangan serta kesannya kepada jasad lahir dan batin kita.


KELEBIHAN BERLAPAR
* Membersihkan hati dan menyinarkan akal
* Menghilangkan penyakit malas dan mengurangkan tidur
* Memudahkan diri untuk beribadah kepada Allah swt dan tekun bekerja
* Menyihatkan badan dan menolak penyakit


KEBURUKAN AKIBAT KEKENYANGAN
* Hati menjadi buta dan mewarisi kebodohan
* Timbul penyakit malas dan banyak tidur
* Nafsu lebih kuat untuk memikirkan dunia dan bercita-cita untuk berbuat maksiat
* Perut sentiasa berhutang, " Apakah yang kamu akan makan pada hari ini?"
* Kedekut
* Lupa kepada orang lapar dan susah

Isnin, 30 Julai 2012

1 Hari 1 Ayat - BAGAIMANA MEMIKAT KEREDAAN ALLAH

Apabila seorang lelaki sudah tertarik dengan seorang wanita pastinya pelbagai strategi digunakan bagi memancing perhatian wanita tersebut supaya perasaannya berbalas. Dalam hal ini si lelaki akan berusaha apa sahaja asalkan wanita yang disukainya itu dapat dimiliki. Mungkin si lelaki akan memberi jambangan bunga, hadiah, ungkapan-ungkapan indah atau apa sahaja yang dirasakan perlu supaya wanita tersebut menerima dan menyayanginya.

Itu dalam konteks memikat wanita. Namun bagaimana pula perasaan kita kepada Allah s.w.t. Sekiranya kita inginkan kasih sayang Allah s.w.t  maka kita juga perlu memikat keredaanNya supaya Allah s.w.t sentiasa menyayangi kita. Cukupkah sekadar melafazkan kalimah cinta dan menagkui bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang selayaknya  di sembah maka itu sudah memadai untuk memikat keredaan Allah?

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Shauqi Othman antara cara mendapatkan keredaan Allah s.w.t adalah dengan melaksanakan setiap suruhanNya dengan rela hati bukan kerana terpaksa dan meninggalkan segala larangan tanpa berbelah bagi. Tambahannya tidak sukar untuk mencari keredaan Allah s.w.t. Sebagai hamba kita hanya perlu melakukan setiap ibadah dan amal kebajikan yang disuruh dengan tidak meninggalkan sebarang ibadah yang telah difardukan seperti solat 5 waktu, berzakat, puasa, menutup aurat dan lain-lain lagi.

Selain itu sebagai hamba yang beriman kita juga hendaklah melaksanakan perkara-perkara yang sunat. Ini kerana setiap perkara yang sunat itu sebenarnya bertindak sebagai penambahbaik kepada setiap elemen ibadah fardhu yang dilakukan," ujarnya. Tegasnya lagi sekalipun kita telah melakukan ibadah yang fardhu dan ditambah dengan ibadah sunat, namun ia masih tidak mencukupi sekiranya, setiap perkara yang Allah haramkan tidak dijauhi. Ini kerana perkara yang haram itu sudah termaktub sebagai perkara yang menjadi kemukaan Allah s.w.t.

Kemurkaan Allah s.w.t kepada Allah yang melanggar larangannya termaktub dalam surah an-Nisa ayat 47 yang bermaksud, " Wahai orang yang telah diberi kitab berimanlah kamu kepada apa yang telah kami turunkan  (al-Quran) yang membenarkan al-Kitab yang ada pada kamu sebelum kami mengubah bentuk-bentuk wajah kamu. Lalu kami putar ke belakang atau kami melaknat orang yang berbuat maksiat pada hari Sabtu. Dan ketetapan Allah pasti berlaku." Justeru janganlah kita sesekali melakukan perkara tersebut kerana bukan keredaan Allah yang akan kita nikmati tetapi kemurkaanNya yang akan menanti. Setiap amalan yang dilakukan juga hendaklah dengan niat ikhlas semata-semata kerana Allah s.w.t dan bukan kerana perkara-perkara yang lain. Ini kerana setiap amalan yang berlandaskan kepada LILLAHI TAALA itulah yang akan dikira. Surah al-Bayyinah ayat 5 mengungkapkan, " Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama yang lurus." Ujarnya Dr. Shauqi mendampingi orang-orang yang soleh atau alim ulama juga mampu memikat keredaan Alalh s.w.t kerana orang yang soleh merupakan kekasih Allah s.w.t. Apabila kita mendampingi orang yang soleh ini, pastinya akan menjadi kita, lebih mengingati Allah kerana orang yang soleh ini banyak ibadahnya. Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda ulama merupakan waris sebenar para nabi.

Oleh itu dampingilah mereka sebagaimana sabda baginda s.a.w lagi, " Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat perumpamaannya seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembuskan bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi kamu sebahagian atau kamu membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya kamu mendapat baunya juga. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju kamu terbakar atau kamu mendapat bau yang busuk." (HR ABU DAUD)

Menurut At-Tirmizi terdapat tujuh cara bagaiman memikat keredaan Allah iaitu:

1. BERTAUBAT KEPADA ALLAH S.W.T
Taubat jalan utama  bagi manusia meraih keredaan Allah s.w.t. Taubat satu bentuk penyucian jiwa dan menjernihkan hati dari sebarang dosa. Allah sangat menyukai orang yang bertaubat sebagaimana firmannya dalam surah al-Baqarah ayat 222 bermaksud " Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri."

2. HIDUP DALAM KEADAAN ZUHUD.
Rasulullah s.a.w menyatakan zuhud pada dunia bukan bererti mengharamkan yang halal dan tidak mahu menambah harta. Akan tetapi zuhud pada dunia kamu tidak lebih yakin dengan apa yang di tanganmu daripada apa yang ada di tangan Allah. Menurut ibn Taymiyah pula zuhud bererti meninggalkan segala sesuatu yang tidak memberi manfaat untuk akhirat.

3. BERUSAHA MELAWAN HAWA NAFSU.
Dari Abu Dardai, Rasulullah s.a.w bersabda," Rasa cinta pada sesuatu boleh membutakan dan menulikan. Dunia ini lawan akhirat. Oleh itu sesiapa sahaja yang mencintai dunia bererti telah buta tuli dari akhirat. Sebaliknya sesiapa sahaja yang mencintai akhirat bererti telah buta dan tuli dari dunia. Nafsu itu lawan dari Tuhannya. Hawa nafsu mengajak manusia untuk mentaatinya. Sesiapa sahaja yang mencintai hawa nafsu bererti telah buta dan tuli daripada Allah s.w.t. Sebaliknya sesiapa yang mencintai Allah bererti telah buat dan tuli dari hawa nafsu."

4. MENCINTAI ALLAH LEBIH DARI SEGALANYA.
Surah Ali-Imran ayat 31 menyatakan, " Katakanlah! Kalau benar-benar mencintai Allah ikutlah aku nescaya kamu akan dicintai Allah."

5. MENGEKANG HAWA NAFSU
"Siapa sahaja yang datang kepada Tuhannya sebagai orang yang beriman dan bersungguh-sungguh melakukan amal soleh nescaya akan memperolehi pangkat yang tinggi iaitu syurga Addin yang di dalamnya mengalir sungai-sungai. Mereka kekal di sana. Itulah ganjaran bagi orang yang suci." Surah Thaha ayat 75 dan 76. 

6. TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T.
Surah az-Zumar ayat 23 menyatakan " Allah menurunkan pemberitaan yang terbaik iaitu Kitab (Al-Quran) yang berupa ayat-ayat al-Quran. Tubuh orang-orang yang takut kepada Tuhannya dilihat gementar kerana kitab tersebut."

7. MENDEKATI ALLAH S.W.T
Memperbanyakkan sujud kerana menurut Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah s.a.w bersabda, " Tempat yang paling hampir seorang hamba dengan Allah adalah ketika bersujud. Maka banyakkanlah doa." (HR MUSLIM & DAUD).




1 Hari 1 Ayat - 7 RAHSIA ALLAH

Asy-Syeikh Al-Imamul-Ajallu Abu Nashr Muhammad bin Abdurrohman Alhamdaani, semoga rahmat Allah berlimpah ke atasnya (ketahuilah) bahawa Zat Pencipta, Yang sangat besar kekuasaanNya dan sangat tinggi kalimatNya serta bersinambungan nikmatNya telah menghiasi tujuh perkara dengan tujuh perkara dan menghiasinya pula bagi tiap-tiap yang tujuh perkara itu dengan tujuh perkara lainnya untuk memberitahukan kepada orang-orang yang berilmu bahawasanya angka tujuh itu mempunyai rahsia yang sangat besar dan kedudukan yang agung di sisi Allah, Maharaja yang memiliki kemudharatan dan kemanfaatan.

PERTAMA
Allah menghiasi udara dengan tujuh lapis langit. FirmanNya yang bermaksud: Dan kami bina di atas kamu tujuh buah (langit) yang kukuh. (AN-NABA:12). Kemudian Allah Allah menghiasi dengan tujuh bintang, firmanNya yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang di langit dan Kami telah menghiasinya (langit itu) bagi orang-orang yang memandangnya. (Q.S AL-HIJR:16)

KEDUA
Allah telah menghiasi padang yang lapang dengan tujuh lapis bumi. Firman Allah yang bermaksud: Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu juga bumi (QS ATH-THALAAQ:12). Kemudian Allah menghiasi bumi ini dengan tujuh lautan sebagaimana firmanNya yang bermaksud: Dan laut ditambahkan keapdanya tujuh laut lagi sesudahnya. (QS LUQMAN:27)

KETIGA
Allah telah menghiasi neraka dengan tujuh tingkat iaitu Jahannam, Sa'iir, Saqar, Jahiim, Huthamah, Ladhaa dan Hawiyah. Kemudian Allah menghiasinya dengan tujuh pintu sebagaimana firmanNya yang bermaksud: Ia (neraka) itu mempunyai tujuh pintu tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari neraka. (Q.S AL-HIJR:44)

KEEMPAT
Allah menghiasi Al-Quran dengan tujuh surah yang panjang kemudian menghiasinya pula dengan tujuh ayat pembuka kitab (faatihatul-kitaab). Sebagaimana firmanNya yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung. (Q.S AL-HIJR:87)

KELIMA
Allah menghiasi manusia dengan tujuh anggota badan iaitu dua tangan, dua kaki, dua lutut dan satu wajah. Kemudian menghiasinya dengan tujuh peribadatan iaitu dua tangan dengan doa, dua kaki dengan berkhidmat dua lutut dengan duduk dan muka dengan sujud. FirmanNya yang bermaksud: Dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada tuhan). (Q.S AL-ALAQ:19)

KEENAM
Allah menghiasi umur manusia dengan tujuh peringkat. Pada masa lahir disebut 'radli' kemudian 'fathim' kemudian 'kuhul' kemudian 'syaikh'. Dan menghiasi tujuh peringkat umur ini dengan tujuh kalimat iaitu : Ucapan LAA ILAAHA ILLALLAAH MUHAMMMAD RASULULLAH. Firman Allah yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa (LAA ILAAHA ILLALLAAH) dan adalah mereka berhak dengan kalimat taqwa itu dan patut memiliknya. (Q.S AL-FATH:26)

KETUJUH
Allah menghiasi dunia dengan tujuh negeri yang besar iaitu:
1. Hindustan
2. Hijaz
3. Bashrah, Badiyah dan Kufah
4. Iraq, Syam, Khurasan sampai Balakh
5. Rome dan Armenia
6. Negeri Ya'juj dan Ma'juj
7. Cina dan Turkistan

Kemudian Allah menghias tujuh negeri yang besar itu dengan tujuh hari iaitu:
1. Isnin
2. Selasa
3. Rabu
4. Khamis
5. Jumaat
6. Sabtu
7. Ahad

Dan Allah memuliakan dengan ketujuh hari itu dari para nabi iaitu Allah memuliakan Nabi Musa dengan hari Sabtu, Isa bin Maryam a.s dengan hari Ahad, dawud a.s dengan hari Isnin, Nabi Sulaiman a.s dengan hari Selasa, Nabi Ya'qub a.s dengan hari Rabu, Nabi Adam a.s dengan hari Khamis dan Nabi Muhammad dan umatnya dengan hari Jumaat.



Khamis, 26 Julai 2012

1 Hari 1 Ayat - INDAHNYA WAKTU PAGI



"ASSOLAATU KHAIRUM MINNAUM, ASSOLAATU KHAIRUM MINNAUM" Mungkin ada di kalangan kita yang tidak biasa mendengar kalimah azan ini. Manakan tidak, ia dikumandangkan hanya pada waktu pagi, pada kala kita sedang enak dibuai mimpi indah. Lafaz ini memberi maksud, " Solat (pada waktu) itu lebih baik daripada tidur." Di mana ia merupakan satu arahan yang perlu dilakukan oleh setiap muslim dan ia hanya berkumandang di dalam azan subuh sahaja. Manakala ketika azan waktu yang lain tidak disebutkan.

Mengapa kalimah itu hanya dilafazkan pada waktu subuh tetapi tidak pula pada waktu lain? Cuba kita fahami maksudnya yang tersirat. Bukankah ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t sedang memberikan isyarat kasih dan sayang yang begitu mendalam kepada hambaNya. Disuruhnya kita bangun mengerjakan solat sebagai membuktikan kasih dan cinta kita kepadaNya.

Harus diingat apabila Allah s.w.t menyuruh kita melakukan sesuatu itu bermakna Allah sedang menguji dan ingin menganugerahkan rahmat dan ganjaranNya yang sangat besar. Namun begitu sering kali juga kita gagal dan lalai dari memahami maksud dan isyarat yang Allah berikan hingga secara tidak sedar kita telah mensia-siakan kasih dan sayangNya.

Menurut Hizbur Rahman Omar Zuhdi, finalis Imam Muda Musim Pertama, waktu pagi adalah waktu yang sangat ajaib dan penuh dengan keberkatannya. Ini kerana terdapat banyak hadis dan dalil yang membicarakan tentang fadilat dan manfaat yang boleh diperolehi pada waktu tersebut terutama waktu antara solat Insyak dan Subuh. Dan waktu inilah saat yang paling hampir seorang hamba itu pada Penciptanya iatu ketika sedang solat.

Tambahannya Imam As-Sauri pernah mengatakan mengapa para ulama kini tidak ramai yang mempunyai pengikut berbanding ulama silam yang lalu? Hal ini kerana kebanyakkan ulama-ulama kini tidak ramai yang sanggup untuk bangun pagi berbanding ulama lalu. Apa yang dimaksudkan dengan bangun pagi ialah melakukan qiamullail dan sentiasa melazimkannya.

" Memang sudah menjadi naluri setiap manusia begitu sukar untuk bangun pada waktu pagi mengerjakan ibadah. Kerana itulah Allah s.w.t sengaja menyediakan ganjaran yang teramat besar bagi hamba yang ingin meraihnya kerana Allah s.w.t tahu inilah kelemahan manusia." Selain daripada bangun malam dan beribadah sebelum subuh, Allah s.w.t turut meluaskan lagi rahmatnya dengan menyediakan waktu selepas fajar pula sebagai satu lagi imbuhan kepada hambaNya. Waktu Dhuha iaitu waktu selepas syuruk ialah waktu yang penuh dengan keajaiban untuk dikejar.

Ini kerana solat Dhuha yang dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat ini mampu mengundang seribu satu keajaiban. Dan solat sunat ini juga tidak pernah ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Antara sebab ia dilimpahi dengan ganjaran yang besar kerana waktu inilah manusia sering kali sibuk dengan urusan dunia. " Solat Dhuha merupakan salah satu jalan bagi memperluaskan rezeki. Rezeki yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu keapda wang ringgit dan harta semata tetapi ia merangkumi pelbagai seperti kesihatan, kelapangan masa, dipermudahkan segala urusan dan masalah yang datang serta lain-lain lagi."  katanya

Namun begitu perlu difahami solat Dhuha bukan solat yang wajib hingga terdapat sesetengah orang yang hanya melaksanakan solat Dhuha sahaja tanpa mendirikan solat lima waktu. Mereka beranggapan hanya solat Dhuha yang boleh menjadikan mereka kaya. Di sinilah kesilapan mereka kerana niat dan itiqad telah jauh menyimpang.

Nabi s.a.w bersabda bahawa " Dua rakaat solat Fajar lebih baik daripada dunia dan isinya," (HR BUKHARI). Maka jelas bahawa Allah s.w.t sangat memuliakan orang-orang yang mengerjakan solat ada waktu ini hingga meletakkan kedudukan mereka lebih daripada dunia."

Adapun hadis lain dalam kitab Mukhtasar Shamaili Tirmizi turut menyebutkan tentang kelebihan bagi mereka yang melakukan solat Dhuha ini iaitu " Dua rakaat solat Dhuha adalah sedekah bagi 360 sendi." Ini kerana dalam tubuh manusia terdapat sebanyak 360 sendi, jadi adalah perlu memberi sedekah bagi setiap sendi pada setiap hari. Ditanya adakah boleh tidur selepas subuh? Menurut Hizbur Rahman lagi selepas subuh tidak digalakkan untuk tidur semula hinggalah matahari terpacak tegak di atas kepala iaitu waktu selepas dhuha. Oleh itu buatlah apa sahaj aktiviti selepas selesai solat subuh seperti berzikir, solat Dhuha, bersenam atau apa sahaja yang mendatangkan manfaat. Sekiranya ingin tidur lakukan apabila matahari tegak di kepala dan sebelum Zuhur kerana itu adalah satu sunnah yang dilakukan oleh baginda s.a.w.

Nasihatnya lagi seeloknya memperbanyakkan zikir seperti ' Alhamdulillah' pada waktu pagi kerana ia sebagai satu ungkapan syukur atas nikmat yang diberikan. Dan kita masih lagi dapat menghirup udara yang segar setiap kali kita bangun. Tambahnya perbaikilah segala amalan kita pada hari yang baru ini kerana Sayidina Ali r.a pernah menyatakan empat perkara yang membawa manusia ke syurga jika diamalkan setiap hari iaitu jangan sesekali bercerita tentang musibah yang kita alami kepada makhluk. Seolah-olah kita seakan tidak reda dengan musibah tersebut. Kedua apabila kita bersedekah maka rahsiakanlah sedekah tersebut. Ditakuti ia mendatangkan riak dan takabbur dalam diri. Kemudian berbuat baiklah kepada kedua-dua ibubapa kerana itu merupakan tanggungjawab kita sebagai anak.

Dan yang terakhir memperbanyakkan zikrullah sebagai tanda kita mengingati Allah. Jika setiap hari kita amalkan, insyaAlalh kita akan menjadi insan yang berjaya.

AMALAN NABI WAKTU PAGI

1. Mandi pagi sebelum subuh. Ini kerana air sejuk yang meresap ke dalam badan boleh mengurangkan lemak yang terkumpul.

2. Mengamalkan minum air sejuk segelas setiap pagi sebelum bersiwak. Ia bagi mengelakkan penyakit dan ia turut diamalkan oleh setiap oleh orang-orang Jepun.

3. Bertakafur atau bersujud sekurang-kurangnya seminit. Ini bagi mengelakkan sakit kepala atau migrain. Menurut saintis yang membuat kajian sujud, mereka menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Maka dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang tersebut.

4. Solat Dhuha. dari Umar r.a berkata Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam hadis Qudsi bermaksud, Hai anak Adam solatlah kerana Ku dua rakaat Dhuha pada awal hari nescaya aku jamin hingga akhir hari tersebut." (HR AL-TABRANI)

5. Membaca doa seperti berikut, " Ya Allah dengan rahmat dan pertolongan Mu kami memasuki waktu petang. Dengan rahmat dan pertolongan Mu kami hidup dan dengan kehendak Mu kami mati. Dan kepada Mu kebangkitan (bagi semua makhluk)." (HR TIRMIZI)

6. Berzikir, membaca al - Quran dan mentadabbur isinya.


Isnin, 23 Julai 2012

1 Hari 1 Ayat - KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH



Kelebihan Solat Isyak, Subuh dan Asar Berjemaah


Sebagai tambahan kepada kelebihan yang telah disebutkan pada siri-siri yang lepas, terdapat banyak hadis yang menerangkan bahawa solat Isyak, Subuh dan Asar yang dilakukan secara berjemaah mempunyai banyak kelebihan dan besar ganjarannya. Kelebihan-kelebihan yang dimaksudkan antaranya ialah:


 
Solat Isyak berjemaah seperti solat separuh malam. Solat Subuh berjemaah seperti solat semalaman.

Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah RA, katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat disebalik solat Isyak dan Subuh yang didirikan secara berjemaah nescaya mereka akan (bertungkus lumus) mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak"

Berkata Imam Nawawi dalam mengulas hadis tersebut: "Pengajaran di dalam hadis ini ialah Rasulullah bersunguh-sungguh menggalakkan umatnya supaya datang ke masjid atau tempat yang seumpamanya untuk solat Isyak dan Subuh secara berjemaah"


Selain itu, Imam Muslim juga ada meriwayatkan hadis yang bermaksud:
Daripada Abdul Rahman bin Abu Amrah RA, katanya: "Suatu malam Uthman bin 'Affan RA telah masuk ke dalam masjid selepas selesai didirikan solat Maghrib. Lantas dia pun duduk berseorangan. Lalu aku pun datang mendekatinya dan duduk disampingnya. Tiba-tiba dia berkata kepadaku: "Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang bersolat Isyak secara berjemaah maka (ianya akan diberikan ganjaran) seperti solat sunat separuh malam dan sesiapa yang bersolat Subuh secara berjemaah nescaya (ianya akan diberikan ganjaran) seperti mendirikan solat sunat sepenuh malam"

Malaikat mengiringi orang yang mula-mula sampai ke masjid.


Di antara dalil yang menunjukkan betapa besarnya kelebihan datang ke masjid untuk melaksanakan solat subuh berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi 'Asim dan Imam Abu Nu'aim yang bermaksud:
Daripada Miitham RA, katnya: "Telah sampai kepadaku suatu hadis daripada Rasulullah yang berbunyi: "Sesungguhnya seorang Malaikat akan datang berpagi-pagi dengan bederanya ke masjid sambil menemani orang yang mula-mula sekali datang ke masjid pada pagi itu. Malaikat itu berterusan menemani orang tersebut dengan benderanya sehingga orang itu kembali kerumahnya. Sesampai di rumahnya Malaikat itu akan masuk ke dalam rumah orang tadi bersama-sama bendera yang dibawanya. (Begitulah juga) syaitan akan berpagi-pagi datang ke pasar dengan benderanya sambil menemani orang yang paling awal sampai ke pasar pada pagi itu. Syaitan berterusan menemaninya sehingga apabila orang tersebut sampai ke rumahnya maka syaitan akan turut masuk ke dalamnya bersama-sama dengan bendera yang dibawanya".
Cuba perhatikan betapa tinggi dan hebatnya kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang mula-mula sampai ke masjid untuk menunaikan solat Subuh Berjemaah!


Solat Subuh Berjemaah akan ditulis bersama solat golongan Abrar (Golongan yang suka melakukan kebajikan dan ibadah) dan bersama utusan Allah.


Hadis berikutnya akan menyedarkan kita lagi betapa perlunya sebagai seorang muslim bersungguh-sungguh mengambil berat dengan Solat Subuh berjemaah. Hadis yang menceritakan kelebihan seperti yang tercatat di atas ialah riwayat daripada Imam al-Thabrani yang bermaksud:
Daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW, sabdanya: "Sesiapa yang berwudhu' kemudian dia datang ke masjid, lantas bersolat sunat subuh dua rakaat, kemudia dia duduk menanti sehinggalah dia menunaikan solat subuh berjemaah, maka dituliskan baginya solat subuh pagi itu bersama solat golongan Abrar dan dianya juga ditulis termasuk dalam kalangan utusan Allah".

Solat Subuh Berjemaah berada dalam jaminan keamanan Allah SWT


Di antara dalil yang menunjukkan besarnya kelebihan solat Subuh Berjemaah ialah penegasan

Daripada Rasulullah SAW bahawa mereka yang menunaikan solat Subuh Berjemaah akan mendapat jaminan keamanan dan pemeliharaan daripada Allah SWT. Hakikat ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani yang bermaksud:

Daripada Abu Bakrah RA katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang solat Subuh berjemaah maka dia berada di dalam jaminan keamanan dan pemeliharaan Allah SWT.
Sesungguhnya sesiapa yang memperlekeh dan mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah akan menghumbankannya ke dalam Neraka".

Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis ini: "Yang dimaksudkan dia berada dalam jaminan Allah SWT ialah berada di dalam tanggungan dan pemilharaanNya di dunia dan juga akhirat.


Al-Allamah al-Manawi pula berkata: "Ulama' telah memberikan dua pentafsiran kepada maksud sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: "Maka sesiapa yang mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah SWT akan menghumbankan mukanya ke dalam Neraka". Dua pentafsiran itu ialah:
  1. Yang dimaksudkan dengan jaminan Allah SWT atau Tanggungan Allah: "Solat Subuh berjemaah menuntut jaminan keamanan daripada Allah SWT. Maka kesimpulannya ialah: "Jangan kamu meninggalkan solat Subuh berjemaah dan jangan kamu memperlekehkan dan memandang rendah kemuliaannya, nanti akan terbatal dan terungkai perjanjian jaminan keamanan di antara kamu dengan Tuhan kamu, lantaran itu Allah SWT akan menghumbankan muka-muka kamu semua ke dalam Api Neraka".
  2. "Sesiapa yang bersolat Subuh berjemaah, nescaya dia memperolehi jaminan keamanan di dunia dan akhirat dari Allah SWT. Justeru itu, jangan kamu semua mengkhianatinya dengan apa cara sekalipun. Sesungguhnya jika kamu melakukannya, takut nanti Allah SWT akan menghumbankan muka-muka kamu semua ke dalam Neraka".

Solat Subuh Berjemaah diberi pahala seperti mengerjakan Haji dan Umrah


Kelebihan seperti ini memang tidak terdapat pada solat-solat fardhu yang lain. Oleh kerana itulah bila kita datang solat waktu subuh, kita akan dapati tiang-tiang masjid lebih banyak daripada ahli jemaahnya. Rupa-rupanya makin besar pahala, makin sedikit bilangan ahli jemaahnya. Ini mungkin kerana syaitan bekerja keras bagi memastikan umat islam tidak datang untuk solat Subuh Berjemaah!

Imam al-Thabrani juga ada meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:
Daripada Abu Umamah RA, katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian setelah selesai solat dia terus duduk mengingati Allah sehingga terbit matahari. Kemudian dia menunaikan solat sunat dua rakaat maka dia akan kembali (ke rumahnya pagi itu dengan diberi ganjaran pahala) seperti pahala menunaikan Haji dan Umrah".

Hadis di atas juga telah dikuatkan oleh hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi yang bermaksud:

Daripada Anas RA, katanya: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudia dia terus kekal mengingati Allah SWT sehingga terbit matahari, selepas itu dia solat sunat dua rakaat, nescaya akan diberi baginya pahala menunaikan haji dan umrah". Berkata Anas RA: "Rasulullah SAW telah bersabda: "Sempurna, sempurna, sempurna!".

Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri: "Perkataan 'sempurna' itu ialah sifat bagi Haji dan Umrah yang diulang sebut sebanyak 3 kali oleh Rasulullah SAW bertujuan bagi menguatkan keyakinan bahawa pahala yang bakal diterima ialah seperti pahala melakukan haji dan Umrah dengan sempurna".


Pertemuan Malaikat Malam dan Malaikat Siang ketika Solat Subuh dan Asar


Pertemuan para Malaikat yang bertugas pada waktu malam dan para Malaikat yang bertugas waktu siang memberi pengertian betapa besarnya kelebihan solat Subuh dan Asar berjemaah kerana mereka bukan semata-mata bertemu di saat itu, tetapi mereka akan menjadi saksi kepada sesiapa saja yang mendirikan solat Subuh dan Asar secara berjemaah. Bukan itu saja, bahkan mereka akan memohon keampunan untuk mereka semua. Semuanya telah diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis sahih.

Dalil yang menunjukkan berlaku pertemuan di antara para Malaikat ini di waktu solat Subuh ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat yang dilakukan oleh sesiapa saja dari kalangan kamu secara bersendirian sebanyak 25 kali ganda dan sesungguhnya Malaikat malam dan Malaikat siang bertemu ketika solat Subuh". Kemudian Abu Hurairah berkata: " Justeru itu bacalah jika kamu kehendaki ayat al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya solat Subuh secara berjemaah itu akan disaksikan oleh para Malaikat".

Dalil yang menunjukkan berlakunya pertemuan mereka ketika solat Subuh dan Asar ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah RA, katanya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: " Bersilih ganti datang kepada kamu Malaikat malam dan Malaikat siang lalu mereka bertemu ketika solat Subuh dan Asar. Kemudian ketika naik Malaikat malam ke langit, maka bertanyalah Allah SWT kepada mereka sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui segala tindak tanduk mereka: "Bagaimanakah keadaan hambaKu ketika kamu meninggalkan mereka?" Lalu para Malaikat pun menjawab: "Kami telah tinggalkan meraka dalam keadaan mereka bersolat dan ketika mula-mula mendatangi mereka, meraka juga sedang bersolat".

Imam al-Nawawi berkata dalam mengulas hadis ini:
"Sesungguhnya pertemuan para Malaikat malam dan Malaikat siang ketika solat Subuh dan Asar adalah menandakan betapa Allah SWT Maha Lembut dan Maha Bertimbang Rasa dengan hambaNya yang mukmin. ianya juga merupakan suatu penghormatan dari Allah bagi mereka yang beristiqomah menunaikan solat fardhu berjemaah, kerana menjadikan pertemuan dan perpisahan para Malaikat pada waktu-waktu solat berjemaah iaitu ketika mereka sedang duduk berkumpul melakukan ketaatan terhadap Allah SWT. Justeru itu, secara tidak langsung maka jadilah para Malaikat ini sebagai saksi kepada hambaNya yang mukmin di dalam melakukan ibadah solat Subuh dan Asar atau ibadat-ibadat yang lain di saat itu".

Adapun dalil yang menunjukkan para Malaikat memohon keampunan bagi mereka yang solat Subuh dan Asar berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah yang bermaksud:
"Lalu para Malaikat menjawab:" Ketika kami datang menemui mereka, mereka sedang solat dan ketika kami meninggalkan mereka, mereka juga sedang solat. Oleh itu, berikanlah keampunan untuk mereka pada hari pembalasan kelak".
Alangkah beruntungnya mereka yang para Malaikat mendoakan keampunan untuknya. Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang! Jadikanlah kami sebahagian daripada mereka.

1 Hari 1 Ayat - BALASAN MENINGGALKAN SOLAT





Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.aw bersabda:
“ Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada Hari Qiamat mengenainya ialah sembahyang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia.”


Subuh – Allah SWT akan mencampakkannya kedalam neraka Jahannam selama 60 tahun. Sahabat sekalian, 1 tahun di akhirat tidak sama dengan dunia. Jika 1 tahun di dunia kita sudah rasa agak lama, di akhirat 1 tahun bersamaan dengan 60,000 tahun di dunia. MasyaAllah. 7 keturunan kita pun belum lepas 1 tahun jika kita hidup di akhirat.
 

Zuhur – Dosa sama seperti membunuh 1000 orang muslim. Sedangkan membunuh seorang orang Islam pun kita akan dicampakkan ke neraka, bayangkan kita telah membunuh 1000 orang muslim. Betapa azabnya kita. Begitu mudah kita mencari dosa tersebut hanya dengan meninggalkan solat Zuhur yang mana jika dilakukan, 15 minit pun tak sampai.

Asar – Dosa sama seperti meruntuhkan Ka’abah. MasyaAllah, sanggupkah kita meruntuhkan kiblat umat Islam? Renungkan berapa kali sudah kita meninggalkan solat asar dengan sengaja? Dan renungkan juga berapa kali sudah kita meruntuhkan Ka’abah.

Maghrib – Dosa sama seperti berzina dengan ibubapa sendiri. Saya tak sanggup nak menyedarkan diri saya dengan lebih panjang akan dosa meninggalkan solat maghrib ini. Rasa amat bersalah dengan ibu saya sendiri.

Isyak – Allah SWT berseru kepada mereka “Hai orang yang meninggalkan solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi redha engkau tinggal dibumiKu dan menggunakan nikmat-nikmatku, segala yang digunakan dan dikerjakan adalah berdosa kepada Allah SWT.” Sahabat Oh! Islam sekalian, ketika anda membaca artikel ini anda masih menyedut udara untuk bernafas. Adakah udara itu diredhai Allah SWT? Jika Allah mengenakan charge RM10 setiap kali kita menyedut udara, sudah tentu baru ramai antara kita yang akan tersedar dari tidur.

Antara azab bagi mereka yang meninggalkan solat:

1. Dunia
1. Allah SWT menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya.
2. Allah SWT mencabut nur orang-orang mukmin (soleh) daripada (wajah) nya.
3. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.

2. Sakaratul Maut
1. Ruh dicabut ketika ia berada didalam keadaan yang sangat haus.
2. Dia akan merasa amat azab/pedih ketika ruh dicabut keluar.
3. (su’ul khatimah)
4. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.

3. Alam Barzakh
1. Dia akan merasa susah (untuk menjawab) terhadap pertanyaan (serta menerima hukuman) dari Malaikat Mungkar dan Nakir yang sangat menggerunkan.
2. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
3. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang-tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari)
4. (Siksaan binatang-binatang bisa seperti ular, kala jengking dan lipan)

4. Hari Qiamat
1. Hisab keatasnya menjadi sangat berat
2. Allah SWT tersangat murka kepadanya.
3. Allah SWT akan menyiksanya dengan api neraka.

Jumaat, 20 Julai 2012

1 Hari 1 Ayat - MUSTAJABNYA DOA SEORANG IBU



Sebagaimana yang kita tahu doa adalah suatu ibadah. Doa juga boleh mendekatkan kita dengan Allah. Doa juga adalah zikir. Doa akan menjadi lebih bermanafaat sekiranya doa daripada anak kepada ibunya dan doa daripada ibu kepada anaknya. Allah pasti mengabulkan doa hamba-hambanya menurut yang baik untuk mereka.

RAHSIA DAHSYATNYA DOA IBU.

1. Doa ibu menjadi dahsyat kerana kesucian dan kemuliaan doa itu sendiri di sisi Allah
2. Doa ibu menjadi dahsyat kerana kemuliaan orang tua khususnya ibu di sisi Allah
3. Doa ibu menjadi dahsyat kerana besarnya pahala berbakti kepada orang tua itu.
4. Doa ibu menjadi dahsyat kerana beratnya dosa menyakiti orang tua.

Dalil menyatakan dahsyat doa ibu:
" Tiga jenis doa yang mustajab yang tidak diragukan keajaibannya adalah doa orang tua untuk anaknya, doa orang musafir dan doa orang yang di zalimi."

MANFAAT DAN KELEBIHAN DOA IBU

1. Doa ibu seperti doa Nabi untuk ummatnya
2. Doa ibu membawa kemuliaan
3. Doa ibu dapat menolak fitnah
4. Doa ibu membawa keselamatan
5. Doa ibu membawa Husnul Khatimah
6. Doa ibu menyihatkan keluarga
7. Doa ibu sumber kekuatan batin
8. Doa ibu pintu hidayah sepanjang zaman
9. Doa ibu adalah segala-galanya

KEWAJIPAN SEORANG ANAK UNTUK IBUNYA

1. Berbakti kepadanya
2. Lebih mengutamakan ibu
3. Menyayangi dan memuliakan ibu
4. Memandang ibu dengan penuh kasih sayang
5. Berkata dan bersikap lembut kepada ibu
6. Menjaga keredhaan ibu
Nabi Muhammad s.a.w berkata: " Keredhaan Allah itu bergantung kepada keredhaan kedua orang tuanya dan kemurkaan Allah juga bergantung kepada kemurkaan orang tua."
7. Menjaga bahagian yang lebih besar kepada ibu berbanding bapa
8. Menjaga ibu yang tua dengan baik
9. Berdoa untuk ibu supaya Allah mengasihinya
10. Berterima kasih dan bersyukur kepada Allah serta kepada orang tuanya

10 HAK ORANG TUA YANG WAJIB DIPENUHI OLEH ANAK-ANAK

1. Memenuhi makan minumnya
2. Melayani semua keperluannya
3. Menjawab panggilannya
4. Mentaati semua perintahnya selagi perintah itu bukan perkara maksiat
5. Berkata-kata dengan lemah lembut dan tidak memarahinya
6. Memberi pakaian secukupnya
7. Berjalan di belakangnya.
8. Berusaha supaya oarng tua sentiasa reda kepadanya
9. Tidak menyukai apa yang orang tua suka
10. Berdoa dan memohon keampunan untuk ibu bapa dan diri sendiri

KESEMPATAN BERBAKTI APABILA IBU SUDAH TIADA

Sekiranya ibu bapa kita sudah tiada kita masih berkesempatan berbakti kepadanya iaitu dengan mendoakan mereka, sedekah al-fatihah, melaksanakan wasiat mereka, menghubungkan kaum kerabat dariapda kedua-duanya, menghormati sahabat-sahabat mereka, menziarahi kubur mereka mereka, bersedekah untuk mereka dan mengerjakan haji untuk mereka.

" Apabila seseorang tidak lagi mendoakan orang tuanya, dia sesungguhnya memutuskan jalan rezekinya." (HADIS RIWAYAT AD-DALIMI)

Apabila seseorang manusia meninggal dunia terputuslah semua amalnya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh mendoakannya." (HADIS RIWAYAT MUSLIM)

KEMANISAN BERBAKTI KEPADA IBU

1. Mendapat pahala yang besar
Nabi berkata : Tidaklah seorang anak memandang wajah orang tuanya dengan penuh kasih sayang kecuali Allah memberikan ganjaran keapdanya seperti orang yang mengerjakan ibadah haji mabrur."

2. Allah menyayangi anak yang berbakti kepada ibunya
Berbakti kepada ibubapa adalah salah satu perkara yang Allah suka selain daripada solat yang tepat pada waktunya dan berjuang di jalan Allah.

3. Allah mendengar doa anak yang berbakti kepada kedua-dua ibubapanya

4. Berbakti kepada ibudaapt menebus dosa

5. Mendapat keberkatan dalam hidup
" Sesiapa yang ingin panjang umurnya  dan mendapat rezeki yang melimpah ruah hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung tali persaudaraan." (HADIS RIWAYAT AHMAD)

6. Anakmu kelak akan berbakti pula kepadamu
Nabi berkata " Berbuat baiklah kepada ibu bapamu nescaya anak-anakmu juga kelak akan berbuat baik kepadamu. Peliharalah kehormatan isteri orang lain nescaya isterimu terpelihara daripada celaan orang lain." (HADIS RIWAYAT THABRANI)

7. Mendapat balasan Syurga Na'im dan darjat yang tinggi
Allah berfirman " Sesungguhnya Allah menyediakan syurga yang penuh kenikmatan iaitu Syurga Na'im untuk orang yang berbakti." (SURAH AL-INFITHAR:13)

BERDOSA BESAR BAGI ORANG YANG MENDERHAKAI IBU

Bentuk-bentuk penderhakaan kepada ibu
1. Membuat ibu bersedih
2. Mencaci ibu
3. Membeliakkan mata kepada ibu
4. Kedekut kepada ibu
5. Bercakap kasar dengan ibu

KESAN BURUK MENDERHAKAI IBU

1. Amal kebajikan menjadi sia-sia
2. Dipercepatkan azab ataupun malapetaka di dunia
3. Menghilangkan cahaya kesolehan
4. Memendekkan umur
5. Meninggal dalam su'ul khatimah
6. Terhalang masuk syurga
7. Allah menjauhinya pada hari kiamat
9. Paling awal masuk neraka

JALAN KELUAR BAGI ANAK YANG TERLANJUR DERHAKA

1. Selalu mendoakan kebaikan untuk mereka dan memohon Allah mengampunkan dosa-dosa mereka
2. Melunaskan hutang oarng tua sekiranya ada yang belum dibayar
3. Menunaikan nazar apabila apabila ada nazar mereka yang belum sempat terlaksana
4. Menjaga kehormatan dan memenuhi sumpah yang pernah mereka ucapkan sewaktu mereka masih hidup
5. Melakukan segala kebaikan dalam rangka "birrulwalidaini". Semoga Allah memaafkan segala dosa kesalahan kita kepada orang tua dan menerima taubat kita.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...