Apabila sakit dan musibah telah menimpa maka seorang mukmin haruslah sabar dan redha terhadap takdir Allah Azza wa Jalla dan harapkanlah pahala serta dihapuskannya dosa-dosanya sebagai ganjaran dari musibah yang menimpanya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman :
“Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi roji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk ”. (QS. Al-Baqaroh: 155-157).
Dalam beberapa hadis Qudsi Allah Azza wa Jalla berfirman:
Maksud hadis di atas yakni apabila seorang hamba redha dengan musibah yang menimpanya maka Allah redha memberikan pahala kepadanya dengan syurga.
“Jika anak seorang hamba meninggal dunia maka Allah akan berkata kepada malaikatNya: ‘Apakah kalian telah mencabut nyawa anak hambaKu?. Para Malaikat menjawab: ‘Ya, benar’. Lalu Dia bertanya lagi: ‘Apakah kalian mengambil buah hatinya?’. Malaikat menjawab: ‘Ya’. Kemudian Dia berkata: ‘Apa yang dikatakan oleh hambaKu itu?’. Malaikat menjawab ‘ Ia memanjatkan pujian kepadaMu dan mengucapkan kalimat istirja’ (Inna lillaahi wa innaa ilaihi roji’un). Allah Azza wa Jalla berfirman: ‘ Bangunkan untuk hambaKu sebuah rumah di syurga dan namai dengan (nama) Baitul Hamd (rumah pujian)’.” (HR Tirmidzi: 1021, dihasankan Syeikh Albani dalam Shohih Sunan Tirmidzi: 814)
“Tidaklah ada suatu balasan (yang lebih pantas) di sisiKu bagi hambaKu yang beriman jika Aku telah mencabut nyawa kesayangannya dari penduduk dunia kemudian ia bersabar atas kehilangan orang kesayangannya itu melainkan syurga”. (HR. Bukhari).
“Allah Yang Maha Mulia dan Maha Agung berfirman: ‘Jika Aku menguji hambaKu dengan dua hal yang dicintainya (yakni menjadikan seorang hamba kehilangan dua penglihatannya buta) lalu ia bersabar maka Aku akan menggantikan keduanya dengan syurga”. (HR. Bukhari).
Rasulullah shollallahu alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah menyukai suatu kaum maka Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan dan barangsiapa yang murka maka baginya kemurkaan”. (HR. Tirmidzi: 2396, Ibnu Majah: 4031, dihasankan Syeikh Albani dalam Shohih Sunan Tirmidzi II/286).
Hikmah lainnya dari sakit dan musibah adalah menyedarkan seorang hamba yang tadinya lalai dan jauh dari mengingati Allah kerana tertipu oleh kesihatan badan dan sibuk menguruskan harta untuk kembali mengingati Robbnya. Kerana jika Allah mencubanya dengan suatu penyakit atau musibah barulah ia merasakan kehinaan, kelemahan, teringat akan dosa-dosa dan ketidakmampuanya di hadapan Allah Ta’ala sehingga ia kembali kepada Allah dengan penyesalan, kepasrahan, memohon ampunan dan berdoa kepadaNya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan (rasul-rasul) kepada umat-umat sebelummu kemudian Kami siksa mereka dengan (menimpakan) kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri”. (QS. Al-An’aam : 42).
Sakit dan musibah merupakan pintu yang akan membukakan kesedaran seorang hamba bahawasanya ia sangat memerlukan Allah Azza wa Jalla. Tidak sesaatpun melainkan ia tunduk kepadaNya sehingga ia akan selalu tergantung kepada Robbnya. Dan pada akhirnya ia akan sentiasa mengikhlaskan dan menyerahkan segala bentuk ibadah, doa, hidup dan matinya hanyalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala semata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan