ZINA merupakan kejahatan yang sangat besar yang memberi
kesan amat buruk kepada penzina itu sendiri khususnya dan kepada seluruh umat
amnya. Di zaman sekarang di mana banyaknya saluran dan media yang berusaha
menyeret kearah perbuatan keji ini maka amat perlu untuk setiap orang
mengetahui bahaya dan akibat buruk yang timbul dari dosa zina. Kita semua
hendaklah lebih berhati-hati dan berwaspada agar tidak terjerumus hatta
walaupun hanya mendekatinya.
Di antara akibat
buruk dan bahaya tersebut adalah :
1. Dalam zina
terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan yakni berkurangnya agama si
penzina, hilangnya sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan
hilangnya rasa cemburu.
2. Zina membunuh rasa malu padahal dalam Islam malu
merupakan suatu hal yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah
khasnya bagi wanita.
3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
4. Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan atau merasa
demikian sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang diterimanya.
6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh
martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina,
sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
8. Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual
dan tidak percaya.
9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh
orang-orang yang memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui mulut atau
badannya.
10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para pezina.
Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang
diingininya. Ini adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara
bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan yang sebaliknya dari apa
yang dia inginkan, dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk
mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan.
11. Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat
bidadari yang jelita di syurga kelak.
12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan
silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim, serta
menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan boleh membawa kepada pertumpahan
darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan
dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu
biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.
13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan
masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada
pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.
14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih membekas
dan mendalam daripada asakan akidah kafir misalnya kerana orang kafir yang
memeluk Islam selesailah persoalannya namun dosa zina akan benar-benar
membekas dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku zina itu bertaubat dan
membersihkan diri dia akan masih merasa berbeza dengan orang yang tidak pernah
melakukannya.
15. Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya
ia mengugurkan kandungannya itu maka dia telah berzina dan juga telah membunuh
jiwa yang tidak berdosa. Jika dia ialah seorang wanita yang telah bersuami dan
melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir maka dia
telah memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga
anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Amat
mengerikan, naudzubillah min dzalik.
16. Perzinaan akan melahirkan generasi individu-individu
yang tidak ada asal keturunan (nasab). Di mata masyarakat mereka tidak memiliki
status sosial yang jelas.
17. Pezina laki-laki bererti telah menodai kesucian dan
kehormatan wanita.
18. Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam
antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.
19. Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di
mana mereka akan merasa jatuh martabat di mata masyarakat sehingga
kadang-kadang menyebabkan mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan
orang lain.
20. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit
berbahaya seperti aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.
21. Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat
yakni mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar
dan yang dilakukan secara terang-terangan.
HUKUMAN ZINA
Demikianlah besarnya
bahaya dosa zina sehingga Ibnul Qayyim, ketika mengulas tentang hukuman bagi
penzina berkata: “Allah telah mengkhususkan hadd (hukuman) bagi pelaku zina
dengan tiga kekhususan iaitu:
1. Hukuman mati secara hina (rejam) bagi pezina
kemudian diringankan (bagi yang belum nikah) dengan dua jenis hukuman, hukuman
fizikal yakni dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan diasingkan selama
satu tahun.
2. Allah secara khusus menyebutkan larangan merasa
kasihan terhadap penzina. Umumnya sifat kasihan adalah diharuskankan bahkan
Allah itu Maha Pengasih namun rasa kasihan ini tidak boleh sehingga menghalang
dari menjalankan syariat Allah. Hal ini ditekankan kerana orang biasanya lebih
kasihan kepada penzina daripada pencuri, perompak, pemabuk dan sebagainya. Di
samping itu penzinaan boleh dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang kelas
atasan yang mempunyai kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan
hukuman merasa enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.
3. Allah memerintahkan agar pelaksanaan hukuman zina
disaksikan oleh orang-orang mukmin dengan maksud menjadi pengajaran dan
memberikan kesan positif bagi kebaikan umat.
BEBERAPA PERKARA YANG PERLU DIPERHATIKAN
1. Orang yang berzina
dengan banyak pasangan lebih besar dosanya daripada yang berzina hanya dengan
satu orang, demikian juga orang yang melakukanya berkali-kali dosanya lebih
besar daripada yang melakukannya hanya sekali.
2. Penzina yang berani melakukan maksiat ini dengan
terang-terangan lebih buruk daripada mereka yang melakukannya secara
sembunyi-sembunyi.
3. Berzina dengan wanita yang bersuami lebih besar dosanya
daripada dengan wanita yang tidak bersuami kerana adanya unsur perbuatan zalim
(terhadap suami wanita), boleh menyalakan api permusuhan dan merosak keutuhan
rumah tangganya.
4. Berzina dengan jiran lebih besar dosanya daripada orang
yang jauh rumahnya.
5. Berzina dengan wanita yang sedang ditinggalkan suami
kerana perang (jihad) lebih besar dosanya daripada dengan wanita lain.
6. Berzina dengan wanita yang ada pertalian darah atau
mahram lebih jahat dan hina daripada dengan yang tidak ada hubungan mahram.
7. Ditinjau dari segi waktu maka berzina di bulan Ramadhan,
baik siangnya ataupun malamnya lebih besar dosanya daripada waktu-waktu lain.
8. Kemudian dari segi tempat dilakukannya, maka berzina di
tempat-tempat suci dan mulia lebih besar dosanya deripada tempat yang lain.
9. Pezina muhson (yang sudah bersuami atau beristeri) lebih
hina daripada gadis atau jejaka, orang tua lebih buruk daripada pemuda, orang
alim lebih buruk daripada yang jahil dan orang yang berkemampuan (terutama dari
segi ekonomi) lebih buruk daripada orang fakir atau lemah.
BERTAUBAT
Bertaubat ini bukan
khusus hanya kepada penzina bahkan kepada sesiapa sahaja yang menunjukkan
jalan untuk terjadinya zina, membantu dan memberi peluang kepada pelakunya dan
siapa saja yang ikut terlibat di dalamnya. Hendaknya mereka semua segera
kembali dan bertaubat dengan sungguh-sungguh, menyesali apa yang pernah
dilakukannya dan berusaha sekuat tenaga untuk tidak kembali melakukannya. Dan
yang paling penting adalah memutuskan hubungun dengan siapa sahaja dan apa sahaja
yang boleh menarik ke arah perbuatan keji tersebut. Dengan demikian diharapkan
Allah akan menerima taubat itu dan mengampuni segala dosa yang pernah
dilakukan, dan ingatlah tidak ada istilah ‘putus asa’ dalam mencari rahmat
Allah.
Allah berfirman, mafhumnya:
“Dan juga mereka yang
tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa
yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang
dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian,
akan mendapat balasan dosanya;” (Al-Furqaan 25:68)
“Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia
pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,” (Al-Furqaan 25:69)
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan
amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat)
kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.” (Al-Furqaan 25:70)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan