Nikmat kehidupan aman yang dikurniakan oleh Allah swt adalah gambaran Allah amat mengasihi dan menyayangi hambaNya. Terlalu banyak nikmat yang dilimpahkan kepada isi dunia ini tinggal lagi kita memanfaatkan setiap satunya dengan harapan untuk mendapat keberkatanNya. Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi lalu ternyata kemewahan hidup yang Allah kurniakan tidak terkira. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kehidupan dengan penuh kasih sayang sesama makhluk Allah. Tentulah kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup didunia, anggaplah ada hikmah yang menanti sementara iman diuji tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.
Firman Allah swt "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."(Surah An-Nahl: 18)
TIDAK LUPA SYUKURI NIKMAT
Adakalanya kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat dan ia bukannya sedia ada untuk setiap manusia kerana ada orang lain yang tidak merasainya. Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah swt menganugerahkan sebuah kehidupan yang lengkap buat mahlukhNya di bumi cuma ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanaatkan akibat sikap manusia juga yang tidak tahu menghargai nikmat. Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa juga menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia itu sendiri. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri serta orang lain tetapi dihabiskan aktiviti judi dan zina.
Tidak pula terkilan dengan kezaliman dan kejahatan meragut serta merompak bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan juga disebabkan kejahilan ini. Rasulullah saw bersabda diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi:" Tidak berganjak kedua kaki seseorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan dan ilmunya untuk apakah ia digunakan dan harta bendanya dari manakah ia perolehi dan pada apakah ia dibelanjakan dan juga pada tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.
GUNA TENAGA, AKAL CARI REZEKI
Adanya tenaga dan akal gunalah untuk mencari rezeki halal. Apa salahnya merasa nikmat yang Allah berikan percuma untuk dilaburkan bagi mendapat nikmat yang lain. Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah swt mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana tahu semua itu adalah pinjaman sahaja. Sebaliknya mereka berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat Allah padanya dapat dikongsi dengan orang lain yang kurang berkemampuan. Orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya sebagai manusia.
Memusnahkan imbangan alam mengotorkan sumber air, membiarkan tanah tanpa tanaman dan menzalimi sesama makhluk Allah lainnya untuk nikmat sementara adalah petanda orang yang tidak mengetahui hakikat kurnianya nikmat dunia untuk menuju kehidupan akhirat lebih senang dan mewah.
NIKMAT USIA YANG PANJANG
Sambutan ulang tahun kelahiran yang saban tahun diraikan haruslah dijadikan kayu pengukur samada nikmat usia dikurniakan benar-benar kita hargai. Adakah kita terus menjadi hamba yang taat atau ingkar adakah kita menjaga hubungan sesama insan dengan baik atau kita menyusahkan orang lain. Adakah kita banyak memanfaatkan kurnian Allah atau kita membinasakannya dan adakah kita berbaloi diizinkan terus bernafas. Rasulullah saw bersabda: "Daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah dari ayahnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkatalah lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Maka Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan."(Riwayat Imam At- Tirmizi)
Usia yang panjang adalah satu bonus nikmat tidak ternilai kerana kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan berkongsi kebahagian dan merencanakan masa depan. Jika nikmat usia diambil semula oleh pemiliknya maka kita tiada peluang lagi untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur. Sebab itulah jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya maka usia adalah satu peringatan yang sangat bermakna.
Firman Allah swt: "Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang telah ditetapkan maka apabila datang tempoh itu tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka mendahulukan."(surah Al-Araaf: 34). Justeru itu jika kita mengerti nikmat Allah swt yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula apalah daya kita. sedangkan bertahun lamanya DIA berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan yang lebih abadi.
Janji-janji kosong juga tidak mampu menukar qada dan qadaknya. Kita sepatutnya tersedar dari awal dan tahu bahawa kematian adalah pengakhirnya. Sedangkan pintu taubat sentiasa terbuka janganlah kita longlai usaha untuk menjadi insan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan