Allah SWT akan menggandakan pahala orang yang berpuasa melebihi amalan lain yang mana kadarnya hanya diketahui oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga 700 kali ganda."
Ganjaran pada akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebih besar kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat. Rasulullah SAW bersabda: "sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil "al-Rayyan', masuk melaluinya orang yang berpuasa pada hari kiamat tidak boleh masuk melaluinya seseorang pun selain mereka.
Antara bekalan yang boleh diperoleh daripada ibadah puasa ialah sifat ikhlas. Puasa ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba kerana ibadah puasa adalah rahsia antara hamba dan tuhannya. Seseorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa diketahui oleh orang lain tetapi kerana ketakwaan kepada Allah SWT yang mengetahui zahir dan batinnya serta mengharapkan pahala dia tidak melakukannya. Itulah sebabnya ibadah puasa istimewa dalam melahirkan sifat ikhlas kerana amalan yang tidak disertai dengan keikhlasan tidak diterima Allah SWT.
Puasa menutup keinginan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadan seperti makan dan minum. Puasa mendidik untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara diharamkan syariat.
Puasa mendidik kita memelihara perut, telinga, lidah tangan dan kaki daripada perkara boleh membatalkan puasa. Pakar perubatan mendapati puasa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak boleh dipulihkan oleh sesetengah ubat moden atau tradisi. Bukanlah harta atau kedudukan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan tetapi tercapainya matlamat yang telah digariskan Allah SWT adalah kejayaan yang hakiki. Orang yang berpuasa akan memperoleh 2 kejayaan, pertama ketika berbuka puasa dan kedua ketika menemui tuhannya.
Rasulullah SAW mengajar umatnya apabila seseorang mencaci atau memperli orang berpuasa maka hendaklah dia berkata " aku berpuasa !" Seseorang mukmin yang hakiki amat berhajat kepada latihan seperti ini kerana tidak mungkin dakwah dapat disebarkan dengan kekerasan. Bahkan ia memerlukan sikap berlapang dada dan kemampuan menahan diri daripada perasaan marah. Permusuhan dan perbalahan tidak sedikit pun mendatangkan keuntungan kepada dakwah bahkan merugikan masa dan tenaga.
Orang islam di seluruh pelusuk dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Masing-masing merasakan nikmat kebaikan Ramadan dan perasaan ini dikongsi bersama umat Islam tanpa mengira bangsa keturunan, warna kulit, bahasa dan melampaui batas geografi. Merasai wujudnya kesatuan umat adalah perkara "dharuriah" atau yang paling utama perlu ada dalam setiap Mukmin.
Puasa mengajar muslim supaya teliti dengan masa dan jadual. Sepanjang Ramadan, muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan membatalkan puasanya. Disiplin masa seperti ini amat perlu dalam kehidupan seorang Mukmin supaya setiap perancangan hidupnya berjaya dan tepat pada masa ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan