Ramadan menjelma. Inilah antara anugerah paling bermakna dikurniakan Allah SWT kepada hambaNya. Ia bonus kepada orang yang beriman. Kerinduan terhadapnya pasti terubat dengan pertemuan ini. Betapa besarnya ganjaran pahala ibadah dalam bulan ini melebihi seluruh isi dunia.
Yakinlah orang yang beriman pasti gembira menerima bulan Ramadan kerana ketibaannya membawa seluas-luas rahmat Allah SWT, keberkatan dan peluang diampunkan segala dosa telah lalu. Mereka pasti berazam meraih kelebihan dengan melakukan amalan soleh dan meninggalkan merugikan. Malang pula bagi orang yang lemah imannya, mereka merasakan begitu berat untuk mengharungi ibadah puasa dan ibadah lain, bahkan mereka tidak merasakan manisnya keberkatan serta kelebihan dalam bulan Ramadan.
Mereka mengabaikan tanggungjawab untuk mempertingkatkan kualiti ibadah dalam bulan ini dan tidak pula berusaha meninggalkan amalan buruk. Alangkah ruginya jika kita tidak dapat merasai kemanisannya sedangkan kita diberi peluang dan kesempatan untuk memperolehinya. Marilah kita bermuhasabah adakah kita termasuk dalam golongan yang gembira atau golongan yang sebaliknya untuk menerima kedatangan Ramadan? Bukankah Alalh SWT telah mengkhabarkan ganjaran amat bernilai.
Firman Allah SWT yang bermaksud: " Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan Mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untk mereka keampunan dan pahala yang besar."(Surah al-Ahzab: 35).
Sabda Rasulullah SAW: " Barang siapa yang berqiam Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan reda dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Dalil ini adalah janji Allah SWT dan Rasulullah SAW bagi mereka yang berjaya melaksanakan segala tuntutan pada bulan Ramadan. Jelasnya, kenikmatan yang tidak ternilai harganya menanti bagi sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul. Bukan sekadar ganjaran di akhirat yang bakal diperoleh bahkan hikmah berniali akan dinikmati oleh mereka yang berjaya menjalani ibadah dengan tekun pada bulan Ramadan. Antaranya ialah kesihatan tubuh badan, kelapangan masa serta jalinan ukhuwah sesama muslim bertambah erat. Menghidupkan Ramadan mestilah dengan persediaan yang betul supaya Ramadan ini tidak berlalu dengan sia-sia antaranya:
1. PERSEDIAAN ILMU
Ibadah tanpa ilmu adalah sia-sia. Dengan ilmu kita akan kita akan terpimpin melaksanakan ibadah dengan betul dan jauh daripada perkara yang boleh menghilangkan pahala ibadah. Oleh itu persiapkan diri dengan ilmu sebelum hadirnya Ramadan, berusahalah untuk memahami ibadah yang diutamakan dalam bulan ini.
2. PERSEDIAAN HATI
Letaknya niat itu di hati kerana hati yang mudah berbolak-balik perlu diawasi dengan mengukuhkan niat dan azam dalam melaksanakan ibadah. Jika Ramadan sebelum ini kita gagal memanfaatkannya sebaik mungkin maka inilah masanya kita menetapkan niat dan azam untuk memenuhkan Ramadan dengan pengisian ibadah lebih berkualiti.
3. PERSEDIAAN JASMANI
Puasa memerlukan kekuatan tubuh badan yang sihat untuk mengharungi cabaran dan dugaan menahan lapar serta dahaga. Dalam tempoh masa itu tubuh badan yang kuat akan menentukan kelangsungan mengharungi dugaan. Justeru itu peliharalah kesihatan dari masa ke semasa.
4. PERSEDIAAN IMAN
Setelah selesai mengharungi Ramadan yang lalu, pastinya ramai kembali melakukan dosa. Selama tempoh itu iman sudah dicalari dan dikotori pelbagai maksiat sehingga sinarnya hmapir malap. Justeru gilap kembali iman sebelum hadirnya Ramadan.
Lepaskan maksiat satu-persatu daripada tubuh dan hati dengan bertaubat nasuha kepada Allah SWT serta kembalilah mempergiatkan amal soleh supaya hati ini akan tenang dalam dakapan rahmat Allah SWT.
Jadikanlah Ramadan sebagai pesta ibadah dengan memfokuskan ibadah khusus yang mungkin sukar atau tidak dibuat pada bulan lain. Amat besar kenikmatan yang bakal dinikmati oleh mereka yang berjaya mengharungi Ramadan dengan keimanan dan ketakwaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan