Bertaubat kepada Allah SWT adalah tuntutan Islam. Dalam al-Quran, Allah menggesa dan menyuruh hambaNya supaya bertaubat atas segala perbuatan dosa kerana Dia bersifat Maha Pengampun. Tidak sukar bagi Allah memberi atau menerima taubat seseorang kerana Allah sendiri adalah penerima taubat. Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat) lagi Maha Mengasihani."(Surah al-Baqarah: 37)
Malah Allah SWT sangat mencintai orang-orang yang bertaubat seperti firmanNya bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat."(Surah a-Baqarah: 222). Rasulullah SAW yang juga kekasih Allah dan bersifat maksum menunjukkan contoh kepada umatnya bahawa Baginda memohon ampun (beristighfar) dalam sehari sebanyak 100 kali."(Riwayat Muslim).
Penegasan Allah yang berjanji menerima taubat hambaNya memberikan harapan yang tinggi kepada Mukmin agar sentiasa memohon keampunan Allah setiap masa atas segala dosa diperbuat. Allah Maha Mengetahui kelemahan hambaNya yang tidak terlepas daripada berbuat kesalahan. Sebesar manapun dosa dilakukan tetap diberi Allah keampunan selagi tidak melakukan syirik kepadaNya.
Rasululalh SAW menyebutkan bahawa betapa Allah SWT sangat gembira apabila hambaNya mahu bertaubat secara tulus seperti terkandung dalam firman Allah dalam hadis qudsi bermaksud: "Sungguh Allah sangat berbahagia atas permohonan taubat hambaNya lebih berbahagia daripada bahagianya salah seorang kamu yang kehilangan untanya lalu menemuinya kembali."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Seseorang yang kehilangan sesuatu barang berharga sama ada kerana kecurian, tercicir dan sebagainya, maka dia akan berasa sangat gembira jika menemui semula kerana barang berkenaan sangat bernilai dan bererti kepadanya. Akan tetapi taubat seorang Mukmin lebih disukai Allah melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan semula barang berharga yang hilang. Namun kemurahan Allah menerima taubat itu tidaklah bermakna menjadi 'lampu hijau'kepada seorang Mukmin berbuat maksiat dan dosa terus menerus yakni apabila berbuat dosa lalu menyesal dan bertaubat kemudian mengulangi lagi, dan selepas itu bertaubat kembali kerana mengingati Allah itu Maha Pengampun. Taubat yang dijanjikan Allah akan diterimaNya ialah taubat yang lahir dari hati Mukmin yang tulus dan mencukupi syarat yang disebut sebagai taubat nasuha.
Ucapan istighfar walaupun diulang 100 ribu kali sedangkan hati masih berazam untuk mengulangi maksiat tidak dinamakan taubat. Ia lebih seperti melakukan persendaan terhadap hukum Allah, peluang dan rahmatNya. Terjatuh ke dalam maksiat dan dosa adalah kebiasaan manusia yang lemah. Manusia terbaik bukanlah manusia terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah berbuat dosa sama sekali akan tetapi manusia terbaik adalah manusia yang apabila berbuat kesalahan langsung dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.
Mukmin sebenar sentiasa bersikap atau berpendirian untuk mengelak daripada terjerumus ke lembah dosa. Islam menagajar umatnya untuk tidak berputus asa tetapi diajar untuk kembali kepada kebenaran dan bertaubat. Hanya orang yang tidak beriman memilih jalan-jalan yang lain yang membinasakan diri mereka sendiri. Tidak dinafikan bahawa seseoarng Mukmin yang telah sungguh-sungguh bertaubat kadangkala kembali terjatuh ke dalam kesalahan yang serupa.
Mukmin yang pada mulanya sudah benar-benar insaf dan bertaubat tetapi disebabkan kelemahan iman dan kuatnya pengaruh hawa nafsu selain tergoda dengan hasutan syaitan menyebabkan dia berulang kali terjatuh ke lembah dosa. Jika terjadi demikian bukanlah bermakna taubatnya yang terdahulu tidak ikhlas. Maka dia hendaklah mengulangi taubatnya dan jangan berputus asa dari rahmat Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Seorang melakukan satu dosa lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wajalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa bahawa baginya tuhan yang boleh mengampunkan dan menghukumnya dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan boleh mengampun dan menghukumnya dalam riwayat ditambah: Aku ampunkan dosanya, lalu ia melakukan dosa ampunilah dosa. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya maka Aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang engkau mahu Aku ampunkan engkau."(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan