Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Rabu, 3 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - TEBUS DOSA LALU DENGAN BERTAUBAT

Kini kita di fasa terakhir Syaaban dan akan melangkah ke Ramadan. Justeru marilah kita memperbanyakkan bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana memanjangkan usia dan diberi peluang bertemu semula Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Namun sebelum melangkah memasuki Ramadan, umat islam digalakkan memperbanyakkan istighfar mohon keampunan di atas segala dosa yang lalu. Mudah-mudahan kita menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh ketenangan dan diberi peluang Allah SWT melipatgandakan usaha memperbanyakkan amal ibadah. Sebagai insan yang lemah kita sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan seharian. Selepas Ramadan yang lalu kita tidak boleh menafikan bahawa kita ada melakukan pelbagai dosa dan kesilapan. Kita pernah melakukan dosa terhadap isteri, suami, ibu bapa, anak-anak, sahabat dan sebagainya.
 
Maka bertaubat adalah cara yang digariskan bagi menebus semua kesalahan dan dosa dilakukan sesuai dengan sabda  Rasulullah SAW. Dari Saidina Anas ra yang bermaksud : "Semua anak Adam berdosa  maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat."(Riwayat Ahmad). Menurut Ibnu Abas ra taubat adalah menyesal dengan hati, berishgtifar dengan lidah meninggalkan perbuatan maksiat dengan anggota tubuh dan berazam dengan kukuh dalam hati tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.
 
 
 
HUKUM TAUBAT WAJIB
 
Secara ijmak, ulama sepakat bahawa hukum bertaubat adalah wajib kerana dosa dan perbuatan maksiat itu dapat membinasakan iman dan menjauhkan diri daripada Allah SWT. Sesungguhnya kewajipan taubat diulang ALLAH SWT dalam kitab suci Al-Quran antaranya adalah dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian orang mukmin semoga kamu mendapat keimanan."Berdasarkan ayat itu maka kita perlulah menyedari kesalahan yang dilakukan sepanjang kita hidup ini. Kita hendaklah bertaubat dan meminta keampunan daripada Allah SWT agar kehidupan kita menjadi tenang dan aman.
 
Malah Allah turut memberi amaran mereka yang tidak bertaubat adalah termasuk dalam golongan yang menzalimi diri sendiri seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud : "Siapa yang tidak bertaubat maka mereka itu adalah orang-orang yang aniaya." Dalam surah Al-Baqarah ayat 222 umat islam amat digalakkan bertaubat kerana ia adalah simbol kepada pembersihan diri daripada dosa. Ayat al-Quran itu bermaksud: "Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang membersihkan diri." Luqman al-hakim pernah berwasiat kepada anaknya: "Wahai anakku janganlah engkau tangguhkan bertaubat sesungguhnya mati itu akan datang dengan tiba-tiba."
 
 
 
JANGAN TANGGUH TAUBAT
 
Sebagai umat islam yang wajib menumpahkan taat setia kepada ajaran yang diperintahkan, perbuatan taubat perlu disegerakan selagi diberi peluang menikmati saki baki kehidupan di alam fana ini. Elakkan daripada tabiat suka menangguhkan taubat kerana Baginda Nabi Muhammad saw tidak menyukai orang yang menangguhkan taubat sebagaimana sabda Rasulullah saw bermaksud: "Binasalah orang yang mengatakan esok saya akan bertaubat." Sesungguhnya taubat yang paling baik adalah taubat nasuha sebagaimana firman Allah SWT dalam surat at-Tahrim ayat 7 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat Nasuha (Sebenar-benar penyesalan dan berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan maksiat  itu) mudah-mudahan Tuhan kamu akan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di dalam beberapa sungai."
 
Justeru sebesar mana sekalipun dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan  sekiranya kita segera memohon keampunan Allah SWT nescaya Allah akan mengampunkan kita keculai dosa syirik. Betapa hebatnya sifat al-Ghaffur (Maha Pengampun) Allah di mana mereka yang bertaubat apabila melakukan kesalahan kedudukkannya sama seperti tiada dosa lagi. Jika dalam hati kecil kita masih belum tergerak untuk bertaubat cubalah renungi kisah taubat Nabi adam as selepas Baginda dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi. Baginda bertaubat selama 40 tahun dengan membaca doa  yang bermaksud "Ya Allah Ya Tuhanku kami melakukan kezaliman terhadap diri kami sendiri  dan jika Engkau tidak mengampunkan kami nescaya kami tergolong dalam orang-orang yang rugi."
 
Begitu jugalah dengan Nabi Yunus as semasa Baginda berada di dalam perut ikan nun, Baginda sentiasa bertasbih dan bertaubat seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya ayat 87 bermaksud: "Ya Allah tiada tuhan lain melainkan Engkau maha suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang zalim."



Sumber rujukan: BERITA HARIAN 03 JULAI 2013
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...