Wahai manusia!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah yang punya keberkatan, kerahmatan dan maghfirah. Bulan kemuliaan di sisi Allah. Hari-harinya merupakan hari-hari paling utama. Malam-malamnya (juga) adalah malam-malam yang paling utama. Setiap detik jamnya adalah detik-detik jam yang paling utama. Inilah bulan yang kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dumuliakanNya. Di bulan ini nafas-nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu akan diterima dan doa-doamu dilayan.
Pohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan ibadat puasa dan tilawah kitabnyaNya. Celakalah orang yang tidak diberi keampunan Allah di bulan yang agung ini. Bayangkanlah dengan rasa lapar dan hausmu (umpama) kelaparan dan kehausan di hari kiamat.
Bersedekahlah kepada golongan fakir dan miskin. Muliakanlah ibu bapamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, pelihara lidahmu, tahan pandanganmu daripada apa yang tidak halal dan hindari pendengaranmu daripada apa yang tidak halal kamu dengarkan. Kasihanilah anak-anak yatim pasti manusia akan mengasihani anak yatimmu. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu berdoa pada waktu solatmu kerana itulah waktu yang paling penting ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hambanya dengan penuh kasih sayang. Dia menjawab mereka ketika mereka menyeruNya. Menyahut mereka ketika mereka memanggilNya dan mengabulkan mereka ketika mereka berdoa kepadaNya.
Wahai manusia!
Sesungguhnya diri-dirimu tergadai dengan amal-amalmu maka bebaskanlah istighfar. Punggungmu berat kerana beban (dosamu) maka ringankanlah dengan memanjangkan sujudmu. Ketahuilah! Allah Taála bersumpah dengan segala kebesaranNya bahawa Dia tidak mengazabkan orang-orang yang bersolat dan sujud dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabb Al-Alamin.
Wahai manusia!
Ramadan adalah bulan kesabaran sedangkan sabar itu pahalanya syurga. Ramadan adalah bulan memberi pertolongan (syahrul muwasah) dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin di dalamnya.
Barangsiapa memberikan makanan berbuka puasa kepada seseorang yang berpuasa adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperolehi pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikitpun berkurang.
Para sahabat berkata,
"Ya Rasulullah bukan semua kami memiliki makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa."
Maka Rasulullah saw bersabda:
"Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu."
Ia adalah bulan permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka. Barangsiapa meringankan beban daripada budak sahaya termasuk pembantu rumah nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya daripada neraka.
Oleh kerana itu perbanyakkanlah empat perkara di bulan Ramadan, dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu dan dua perkara lagi kamu sangat menghajatinya.
Dua perkara yang pertama ialah:
1. Mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan
2. Memohon ampun kepadaNya.
Dua perkara yang kedua yang kamu sangat memerlukannya ialah mohon syurga dan perlindungan daripada neraka.
Sesiapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa nescaya Allah memberi minum kepadanya daripada air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya sehingga dia masuk ke dalam syurga.
Sesiapa di antara kamu mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa di bulan ini maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan ia diberi keampunan atas dosa-dosanya yang lalu.
Wahai manusia!
Siapa yang memperelokkan akhlaknya di bulan ini nanti dia akan berjaya meniti sirath pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Sesiapa yang mempermudahkan pekerjaan oleh orang-orang yang berkuasa (penguatkuasa) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaanNya di hari Kiamat. Sesiapa mengelakkan aib di bulan ini, Allah akan menahan murkaNya pada hari ia berjumpa denganNya. Sesiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa menyambungkan silaturrahim di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya pada hari ia berjumpa denganNya. Sesiapa melakukan solat fardu di bulan yang lain, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan menjadi ringan.
Wahai manusia!
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu maka rayulah kepada Tuhanmu agar Dia tidak akan menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup maka mohonlah keapda Rabbmu agar ia tidak akan dibukakan bagimu. Syaitan akan terbelenggu maka mintalah agar syaitan tidak akan menguasaimu.
Kemudian berdiri Ali Karramalahu Wajhah lalu berkata:
"Ya Rasulullah! Apa amalan yang paling utama di bulan ini?"
Jawab Nabi dengan sabdanya:
"Ya Abal Hasan! Amalan yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri daripada apa yang diharamkan Allah."
Wahai manusia!
Sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa agung lagi penuh barakah, bulan yang padanya terdapat satu sahaja malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu fardu dan berjaga pada malamnya suatu tathawwu (ketaatan).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan