Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Rabu, 10 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - QIYAM MALAM RAMADAN BANYAK KELEBIHAN

Diriwayatkan oleh Amr bin Murrah ra beliau berkata: "Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu bertanya kepada Baginda: Wahai Rasulullah! Apakah pandangan kamu apabila aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau adalah RasulNya kemudian aku menunaikan solat fardhu lima waktu, menunaikan zakat, aku berpuasa Ramadan dan melakukan qiyam padanya maka siapakah aku? Jawab Nabi SAW: (Kamu terdiri bersama-sama golongan yang benar dan juga syuhada). (Hadis direkodkan oleh Ibn Hibban dalam kitab Sahih beliau). Hadis ini jelas menceritakan mengenai golongan yang beroleh kejayaan di sisi Allah SWT di akhirat kelak dan ditempatkan bersama as siddiqin (orang-orang yang benar) dan syuhada. Antara sifat mulia penghuni syurga yang ditonjolkan dalam hadis ini ialah seorang hamba yang berpuasa pada siang hari pada bulan Ramadan dan mendirikan malam Ramadan dengan ibadah seperti solat, tilawah al-Quran,ikhtikaf dan sebagainya.


MUHASABAH

Sempena kehadiran bulan Ramadan yang hamper menjelang gunakanlah kesempatan ini untuk kita muhasabah kembali hati dan jiwa kita dalam rangka persediaan menjadi tetamu kepada madrasah Ramadan. Selain daripada kita menahan makan, minum dan perkara lain membatalkan puasa perlulah kita mencari peluang menghidupkan setiap malam yang disediakan oleh Allah SWT pada Ramadan ini untuk tunduk mengabdikan diri kepadaNya.

Sesungguhnya qiyam yang dilakukan pada malam hari pada bulan Ramadan adalah amat berbeza kemuliannya berbanding ibadah qiamullail yang dilaksanakan pada luar Ramadan. Dalam sebuah hadis Nabi SAW telah bersabda: "Sesiapa yang qiam Ramadan (mendirikan Ramadan) dengan penuh keimanan dan pengharapan maka akan dihapuskan dosa yang dilakukan pada masa lampau."(Hadis Muttafaqun alaih). Daripada hadis ini jelas menunjukkan kelebihan dan kemuliaan bagi mereka yang berqiyam pada malam-malam Ramadan. Antara ibadah sunat yang disediakan oleh Allah SWT kepada hambaNya pada malam Ramadan ialah solat sunat Terawih.
 
 
QIYAM, SOLAT TERAWIH
 
 
Dalam hadis yang telah disebutkan Imam al-Nawawi ia menjelaskan bahawa yang dimasukkan dengan qiyam Ramadan ialah solat sunat Terawih pada malam-malamnya. Ibnu Hajar al-Asqalani menghuraikan bahawa ibadah solat sunat Terawih yang dilakukan pada malam-malam Ramadan dan perlulah semata-mata ikhlas kerana Allah SWT dan menjauhkan sebarang bentuk riak dan juga pujian manusia.

Solat sunat Terawih boleh dilakukan secara berjemaah mahupun berseorangan. Kedua-dua cara ini adalah sunnah Nabi SAW. Pada peringkat awalnya Nabi SAW mendirikan sunat Terawih bersama sahabat secara berjemaah. Imam al-Bukhari telah merekodkan bahawa setelah 3 hari Nabi Nabi SAW menjadi imam untuk solat sunat Terawih, Baginda kemudiannya tidak lagi solat atas sebab untuk tidak membebankan umatnya kerana secara kebiasaannya Baginda akan memanjangkan solat sunat Terawih itu sehingga memasuki waktu sahur. Sabda Baginda: "Sesungguhnya aku takut jika (ibadah solat Terawih) ini difardhukan ke atas kamu."(Hadis Muttafaqun alaih). Berkata Imam al-Nawawi dalam menghuraikan hadis ini: "Daripada hadis ini jelas menunjukkan sifat belas kasihan Nabi SAW dan kelembutan Baginda terhadap umatnya."


NAIKKAN SEMANGAT ROH KEIMANAN


Setelah solat sunat Terawih tidak lagi ditunaikan secara berjemaah maka sunnah ini kembali dihidupkan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada zaman pemerintahan beliau. Sunnah yang ditunjukkan Umar al-Khattab bukanlah sunanh yang baru tetapi adalah sunnah Rasulullah SAW dan antara hikmah utama ialah untuk menaikkan semangat dan roh keimanan masyarakat Islam pada ketika itu dalam menghidupkan malam-malam Ramadan.
 
Dinukilkan juga bahawa Khalifah Umar al-Khattab mengarahkan agar masjid dipasangkan lilin supaya masyarakat tertarik untuk datang ke masjid dan menghidupkan malam Ramadan dengan solat sunat Terawih. Walaupun kita mempunyai pilihan untuk solat sunat Terawih secara berseorangan mahupun berjemaah namun lebih elok jika solat sunat Terawih itu ditunaikan secara berjemaah di masjid mahupun surau kerana pahala solat secara berjemaah itu lebih tinggi dan mulia di sisi Alalh SWT berbanding solat yang dilakukan secara berseorangan. Namun jika tiada kesempatan untuk solat sunat Terawih bersama-sama Jemaah di masjid maka solatlah secara berseorangan dirumah.
 
Berkenaan dengan kelebihan bilangan rakaat dalam solat sunat Terawih maka perbahasannya adalah amat luas dalam kalangan fuqaha (sarjana hadis). Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra dengan kata beliau: "Sesungguhnya Nabi SAW tidak solat pada malam Ramadan atau malam-malam selainnya melebihi 11 rakaat. Apabila Baginda solat empat rakaat maka tidak perlulah ditanya ketertiban dan panjangnya solat Baginda. Kemudian Baginda akan solat empat rakaat lagi maka tidak perlulah ditanya ketertiban dan panjangnya solat Baginda. Setelah itu Baginda akan solat pula tiga rakaat."(Hadis Muttafaqun alaih).
 
Daripada hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW menunaikan solat pada malam Ramadan hanya sebanyak 11 rakaat. Namun solat yang ditunaikan oleh Baginda adalah tertib dan amat panjang sehinggakan hampir tidak mampu diikuti oleh umat Baginda terhadap para sahabat.
 
 
Sumber Rujukan Berita Harian 02 Julai 2013



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...