Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Jumaat, 19 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - RAMADAN HADIRMU DINANTI

Ramadan adalah bulan perasaan dan rohani. Ketika menjelang bulan Ramadan sebahagian salafus solih mengucapkan selamat tinggal kepada sebahagian yang lain kerana mereka merasakan bahawa ia adalah bulan ibadah, bulan untuk melaksanakan puasa dan solat dan mereka ingin bersendiri hanya dengan tuhan.
 
Ramadan telah menggamit qalbu, naluri, jiwa dan lubuk hati yang pernah tersentuh dan disentuh olehnya. Tidak lain dan tidak bukan kerana ia datang dengan beberapa keistimewaan. Ramadan hadirmu kami nanti pergimu kami tangisi.
 
Namun secara tidak kita sedari dalam penantian menyambut kedatangan Ramadan tidak semua orang dapat merasainya. Tidak semua orang dapat bertemu dengannya. Bahkan ada juga di kalangan rakan karib, teman-teman malah sanak saudara kita sendiri yang telah meninggalkan  kita sebelum datangnya Ramadan. Allah hanya memilih orang yang tertentu sahaja daripada kalangan hambanya untuk merasai betapa istimewanya Ramadan.
 
Namun berapa ramaikah di antara kita yang bersyukur dengan keadaan tersebut? Adakah kita akan dipertemukan dengan Ramadan pada kali ini? Atau kita akan mengikuti jejak langkah sahabat-sahabat yang telah pun meninggalkan dunia ini?
 
Sesungguhnya mati itu pasti akan tiba. Ini merupakan janji Allah kepada makhlukNya. Ini adalah janji yang pasti daripada Allah. Persoalannya berapa banyakkah persiapan yang kita lakukan untuk menghadapi Allah di padang mahsyar nanti. Cukupkah amalan yang ingin kita bawa ketika bertemu denganNya? Janganlah kita menjadi seperti satu golongan yang meminta untuk dikembalikan ke dunia kerana menyesal dengan perbuatan mereka."Allah swt berfirman: "Dan seandainya engkau Muhammad melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka mereka berkata: "Seandainya kami dikembalikan kedunia tentu kami tidak akan mendustakan ayat-ayat Tuhan kami serta menjadi orang-orang yang beriman.
 
Oleh demikian yang demikian mulalah perbaiki diri terutamanya dalam persiapan kita untuk menghadapi Ramadan. Penilaian individu terhadap dirinya merupakan salah satu perkara yang tidak kurang pentingya berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Oleh itu kita perlu merenung jauh ke dalam diri sendiri dengan muhasabah.
 
Muhasabah diri adalah suatu murni yang dapat mengembalikan manusia ke landasan yang benar. Apatah lagi dengan kehadiran Ramadan kita merasakan banyak perkara yang perlu dilakukan, dimulakan dan dijayakan. Muhasabah amat perlu dibuat bagi menjamin sesuatu yang baik yang diimpikan menjadi kenyataan. Justeru perlu difahami bahawa muhasah diri yang perlu kita lakukan terbahagi kepada 2 bentuk:
 
 
1. MUHASABAH SEBELUM BERTINDAK
 
Ia dilakukan sebaik sahaja timbul niat dan keinginan untuk berbuat sesuatu. Muhasabah ini akan membantu kita membuat keputusan yang tepat dan bijak sama ada untuk meneruskan niat bertindak atau membatalkannya. Maka apa juga yang kita rancang pastikan ia dimulakan dengan muhasabah. Beruntunglah mereka yang sentiasa membudayakan muhasabah sebegini di dalam hidupnya. Iman Hasan al-Basri Rahimahullah pernah berkata:
 
"Semoga Allah merahmati seorang hamba yang mampu berhenti berfikir sebelum melaksanakan kehendaknya jika kehendaknya itu kerana Allah dia akan melaksankannya dan jika kerana selain Allah dia menghentikan niatnya."
 
 
2. MUHASABAH SETELAH BERTINDAK
 
Ia berbentuk kaji selidik dan analisa terhadap apa yang telah dilakukan. Ia meliputi muhasabah tentang ketaatan yang diingkari , larangan yang dicerobohi, kesempurnaan dan kekurangan, keuntungan dan kerugian hasil daripada tindakan yang telah kita lakukan. Semua ini akan membentuk kekesalan dan keinsafan lalu menerbitkan azam untuk bertindak lebih baik di masa hadapan.
 Kedua-dua bentuk muhasabah ini adalah amalan yang perlu dilakukan oleh setiap muslim di dalam kehidupan mereka. Jika selama ini kita belum pernah melakukannya maka mulakanlah dari sekarang sebagai pendorong kita untuk sentiasa bermuhasabah dan bermujahadah, renungkanlah firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 30: " Ingatlah pada hari itu (kiamat yang padanya tiap-tiap seorang akan mengetahui segala apa yang telah dikerjakannya (sama ada) berupaya kebaikan yang dihadapkan ke hadapannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. Pada ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah inginkan kalau jarak yang jauh di antaranya dengan amal kejahatannya itu. allah memperingatkan kamu kepada diriNya (kemurkaanNya). Ingatlah juga Allah Maha Penyanyang terhadap hamba-hambaNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...