Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Jumaat, 19 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - RAMADAN HADIRMU DINANTI

Ramadan adalah bulan perasaan dan rohani. Ketika menjelang bulan Ramadan sebahagian salafus solih mengucapkan selamat tinggal kepada sebahagian yang lain kerana mereka merasakan bahawa ia adalah bulan ibadah, bulan untuk melaksanakan puasa dan solat dan mereka ingin bersendiri hanya dengan tuhan.
 
Ramadan telah menggamit qalbu, naluri, jiwa dan lubuk hati yang pernah tersentuh dan disentuh olehnya. Tidak lain dan tidak bukan kerana ia datang dengan beberapa keistimewaan. Ramadan hadirmu kami nanti pergimu kami tangisi.
 
Namun secara tidak kita sedari dalam penantian menyambut kedatangan Ramadan tidak semua orang dapat merasainya. Tidak semua orang dapat bertemu dengannya. Bahkan ada juga di kalangan rakan karib, teman-teman malah sanak saudara kita sendiri yang telah meninggalkan  kita sebelum datangnya Ramadan. Allah hanya memilih orang yang tertentu sahaja daripada kalangan hambanya untuk merasai betapa istimewanya Ramadan.
 
Namun berapa ramaikah di antara kita yang bersyukur dengan keadaan tersebut? Adakah kita akan dipertemukan dengan Ramadan pada kali ini? Atau kita akan mengikuti jejak langkah sahabat-sahabat yang telah pun meninggalkan dunia ini?
 
Sesungguhnya mati itu pasti akan tiba. Ini merupakan janji Allah kepada makhlukNya. Ini adalah janji yang pasti daripada Allah. Persoalannya berapa banyakkah persiapan yang kita lakukan untuk menghadapi Allah di padang mahsyar nanti. Cukupkah amalan yang ingin kita bawa ketika bertemu denganNya? Janganlah kita menjadi seperti satu golongan yang meminta untuk dikembalikan ke dunia kerana menyesal dengan perbuatan mereka."Allah swt berfirman: "Dan seandainya engkau Muhammad melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka mereka berkata: "Seandainya kami dikembalikan kedunia tentu kami tidak akan mendustakan ayat-ayat Tuhan kami serta menjadi orang-orang yang beriman.
 
Oleh demikian yang demikian mulalah perbaiki diri terutamanya dalam persiapan kita untuk menghadapi Ramadan. Penilaian individu terhadap dirinya merupakan salah satu perkara yang tidak kurang pentingya berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Oleh itu kita perlu merenung jauh ke dalam diri sendiri dengan muhasabah.
 
Muhasabah diri adalah suatu murni yang dapat mengembalikan manusia ke landasan yang benar. Apatah lagi dengan kehadiran Ramadan kita merasakan banyak perkara yang perlu dilakukan, dimulakan dan dijayakan. Muhasabah amat perlu dibuat bagi menjamin sesuatu yang baik yang diimpikan menjadi kenyataan. Justeru perlu difahami bahawa muhasah diri yang perlu kita lakukan terbahagi kepada 2 bentuk:
 
 
1. MUHASABAH SEBELUM BERTINDAK
 
Ia dilakukan sebaik sahaja timbul niat dan keinginan untuk berbuat sesuatu. Muhasabah ini akan membantu kita membuat keputusan yang tepat dan bijak sama ada untuk meneruskan niat bertindak atau membatalkannya. Maka apa juga yang kita rancang pastikan ia dimulakan dengan muhasabah. Beruntunglah mereka yang sentiasa membudayakan muhasabah sebegini di dalam hidupnya. Iman Hasan al-Basri Rahimahullah pernah berkata:
 
"Semoga Allah merahmati seorang hamba yang mampu berhenti berfikir sebelum melaksanakan kehendaknya jika kehendaknya itu kerana Allah dia akan melaksankannya dan jika kerana selain Allah dia menghentikan niatnya."
 
 
2. MUHASABAH SETELAH BERTINDAK
 
Ia berbentuk kaji selidik dan analisa terhadap apa yang telah dilakukan. Ia meliputi muhasabah tentang ketaatan yang diingkari , larangan yang dicerobohi, kesempurnaan dan kekurangan, keuntungan dan kerugian hasil daripada tindakan yang telah kita lakukan. Semua ini akan membentuk kekesalan dan keinsafan lalu menerbitkan azam untuk bertindak lebih baik di masa hadapan.
 Kedua-dua bentuk muhasabah ini adalah amalan yang perlu dilakukan oleh setiap muslim di dalam kehidupan mereka. Jika selama ini kita belum pernah melakukannya maka mulakanlah dari sekarang sebagai pendorong kita untuk sentiasa bermuhasabah dan bermujahadah, renungkanlah firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 30: " Ingatlah pada hari itu (kiamat yang padanya tiap-tiap seorang akan mengetahui segala apa yang telah dikerjakannya (sama ada) berupaya kebaikan yang dihadapkan ke hadapannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. Pada ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah inginkan kalau jarak yang jauh di antaranya dengan amal kejahatannya itu. allah memperingatkan kamu kepada diriNya (kemurkaanNya). Ingatlah juga Allah Maha Penyanyang terhadap hamba-hambaNya.

Khamis, 18 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - KHUTBAH RASULULLAH SAW

Wahai manusia!
 
 
Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah yang punya keberkatan, kerahmatan dan maghfirah. Bulan kemuliaan di sisi Allah. Hari-harinya merupakan hari-hari paling utama. Malam-malamnya (juga) adalah malam-malam yang paling utama. Setiap detik jamnya adalah detik-detik jam yang paling utama. Inilah bulan yang kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dumuliakanNya. Di bulan ini nafas-nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu akan diterima dan doa-doamu dilayan.

Pohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan ibadat puasa dan tilawah kitabnyaNya. Celakalah orang yang tidak diberi keampunan Allah di bulan yang agung ini. Bayangkanlah dengan rasa lapar dan hausmu (umpama) kelaparan dan kehausan di hari kiamat.

Bersedekahlah kepada golongan fakir dan miskin. Muliakanlah ibu bapamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, pelihara lidahmu, tahan pandanganmu daripada apa yang tidak halal dan hindari pendengaranmu daripada apa yang tidak halal kamu dengarkan. Kasihanilah anak-anak yatim pasti manusia akan mengasihani anak yatimmu. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu berdoa pada waktu solatmu kerana itulah waktu yang paling penting ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hambanya dengan penuh kasih sayang. Dia menjawab mereka ketika mereka menyeruNya. Menyahut mereka ketika mereka memanggilNya dan mengabulkan mereka ketika mereka berdoa kepadaNya.
 
 
Wahai manusia!
 
 
Sesungguhnya diri-dirimu tergadai dengan amal-amalmu maka bebaskanlah istighfar. Punggungmu berat kerana beban (dosamu) maka ringankanlah dengan memanjangkan sujudmu. Ketahuilah! Allah Taála bersumpah dengan segala kebesaranNya bahawa Dia tidak mengazabkan orang-orang yang bersolat dan sujud dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabb Al-Alamin.
 
 
Wahai manusia!
 
 
Ramadan adalah bulan kesabaran sedangkan sabar itu pahalanya syurga. Ramadan adalah bulan memberi pertolongan (syahrul muwasah) dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin di dalamnya.

Barangsiapa memberikan makanan berbuka puasa kepada seseorang yang berpuasa adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperolehi pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikitpun berkurang.
 
Para sahabat berkata,
 
"Ya Rasulullah bukan semua kami memiliki makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa."
 
Maka Rasulullah saw bersabda:
 
"Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu."
 
Ia adalah bulan permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka. Barangsiapa meringankan beban daripada budak sahaya termasuk pembantu rumah nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya daripada neraka.
 
Oleh kerana itu perbanyakkanlah empat perkara di bulan Ramadan, dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu dan dua perkara lagi kamu sangat menghajatinya.
 
Dua perkara yang pertama ialah:
1. Mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan
2. Memohon ampun kepadaNya.
 
 
Dua perkara yang kedua yang kamu sangat memerlukannya ialah mohon syurga dan perlindungan daripada neraka.
 
Sesiapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa nescaya Allah memberi minum kepadanya daripada air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya sehingga dia masuk ke dalam syurga.
 
Sesiapa di antara kamu mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa di bulan ini maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan ia diberi keampunan atas dosa-dosanya yang lalu.
 
 
Wahai manusia!
 
 
Siapa yang memperelokkan akhlaknya di bulan ini nanti dia akan berjaya meniti sirath pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Sesiapa yang mempermudahkan pekerjaan oleh orang-orang yang berkuasa (penguatkuasa) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaanNya di hari Kiamat. Sesiapa mengelakkan aib di bulan ini, Allah akan menahan murkaNya pada hari ia berjumpa denganNya. Sesiapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa denganNya. Barangsiapa menyambungkan silaturrahim di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya pada hari ia berjumpa denganNya. Sesiapa melakukan solat fardu di bulan yang lain, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan menjadi ringan.
 
 
Wahai manusia!
 
 
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu maka rayulah kepada Tuhanmu agar Dia tidak akan menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup maka mohonlah keapda Rabbmu agar ia tidak akan dibukakan bagimu. Syaitan akan terbelenggu maka mintalah agar syaitan tidak akan menguasaimu.
 
Kemudian berdiri Ali Karramalahu Wajhah lalu berkata:
 
"Ya Rasulullah! Apa amalan yang paling utama di bulan ini?"
 
Jawab Nabi dengan sabdanya:
 
"Ya Abal Hasan! Amalan yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri daripada apa yang diharamkan Allah."
 
Wahai manusia!
 
Sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa agung lagi penuh barakah, bulan yang padanya terdapat satu sahaja malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu fardu dan berjaga pada malamnya suatu tathawwu (ketaatan).

Rabu, 10 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - QIYAM MALAM RAMADAN BANYAK KELEBIHAN

Diriwayatkan oleh Amr bin Murrah ra beliau berkata: "Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu bertanya kepada Baginda: Wahai Rasulullah! Apakah pandangan kamu apabila aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau adalah RasulNya kemudian aku menunaikan solat fardhu lima waktu, menunaikan zakat, aku berpuasa Ramadan dan melakukan qiyam padanya maka siapakah aku? Jawab Nabi SAW: (Kamu terdiri bersama-sama golongan yang benar dan juga syuhada). (Hadis direkodkan oleh Ibn Hibban dalam kitab Sahih beliau). Hadis ini jelas menceritakan mengenai golongan yang beroleh kejayaan di sisi Allah SWT di akhirat kelak dan ditempatkan bersama as siddiqin (orang-orang yang benar) dan syuhada. Antara sifat mulia penghuni syurga yang ditonjolkan dalam hadis ini ialah seorang hamba yang berpuasa pada siang hari pada bulan Ramadan dan mendirikan malam Ramadan dengan ibadah seperti solat, tilawah al-Quran,ikhtikaf dan sebagainya.


MUHASABAH

Sempena kehadiran bulan Ramadan yang hamper menjelang gunakanlah kesempatan ini untuk kita muhasabah kembali hati dan jiwa kita dalam rangka persediaan menjadi tetamu kepada madrasah Ramadan. Selain daripada kita menahan makan, minum dan perkara lain membatalkan puasa perlulah kita mencari peluang menghidupkan setiap malam yang disediakan oleh Allah SWT pada Ramadan ini untuk tunduk mengabdikan diri kepadaNya.

Sesungguhnya qiyam yang dilakukan pada malam hari pada bulan Ramadan adalah amat berbeza kemuliannya berbanding ibadah qiamullail yang dilaksanakan pada luar Ramadan. Dalam sebuah hadis Nabi SAW telah bersabda: "Sesiapa yang qiam Ramadan (mendirikan Ramadan) dengan penuh keimanan dan pengharapan maka akan dihapuskan dosa yang dilakukan pada masa lampau."(Hadis Muttafaqun alaih). Daripada hadis ini jelas menunjukkan kelebihan dan kemuliaan bagi mereka yang berqiyam pada malam-malam Ramadan. Antara ibadah sunat yang disediakan oleh Allah SWT kepada hambaNya pada malam Ramadan ialah solat sunat Terawih.
 
 
QIYAM, SOLAT TERAWIH
 
 
Dalam hadis yang telah disebutkan Imam al-Nawawi ia menjelaskan bahawa yang dimasukkan dengan qiyam Ramadan ialah solat sunat Terawih pada malam-malamnya. Ibnu Hajar al-Asqalani menghuraikan bahawa ibadah solat sunat Terawih yang dilakukan pada malam-malam Ramadan dan perlulah semata-mata ikhlas kerana Allah SWT dan menjauhkan sebarang bentuk riak dan juga pujian manusia.

Solat sunat Terawih boleh dilakukan secara berjemaah mahupun berseorangan. Kedua-dua cara ini adalah sunnah Nabi SAW. Pada peringkat awalnya Nabi SAW mendirikan sunat Terawih bersama sahabat secara berjemaah. Imam al-Bukhari telah merekodkan bahawa setelah 3 hari Nabi Nabi SAW menjadi imam untuk solat sunat Terawih, Baginda kemudiannya tidak lagi solat atas sebab untuk tidak membebankan umatnya kerana secara kebiasaannya Baginda akan memanjangkan solat sunat Terawih itu sehingga memasuki waktu sahur. Sabda Baginda: "Sesungguhnya aku takut jika (ibadah solat Terawih) ini difardhukan ke atas kamu."(Hadis Muttafaqun alaih). Berkata Imam al-Nawawi dalam menghuraikan hadis ini: "Daripada hadis ini jelas menunjukkan sifat belas kasihan Nabi SAW dan kelembutan Baginda terhadap umatnya."


NAIKKAN SEMANGAT ROH KEIMANAN


Setelah solat sunat Terawih tidak lagi ditunaikan secara berjemaah maka sunnah ini kembali dihidupkan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada zaman pemerintahan beliau. Sunnah yang ditunjukkan Umar al-Khattab bukanlah sunanh yang baru tetapi adalah sunnah Rasulullah SAW dan antara hikmah utama ialah untuk menaikkan semangat dan roh keimanan masyarakat Islam pada ketika itu dalam menghidupkan malam-malam Ramadan.
 
Dinukilkan juga bahawa Khalifah Umar al-Khattab mengarahkan agar masjid dipasangkan lilin supaya masyarakat tertarik untuk datang ke masjid dan menghidupkan malam Ramadan dengan solat sunat Terawih. Walaupun kita mempunyai pilihan untuk solat sunat Terawih secara berseorangan mahupun berjemaah namun lebih elok jika solat sunat Terawih itu ditunaikan secara berjemaah di masjid mahupun surau kerana pahala solat secara berjemaah itu lebih tinggi dan mulia di sisi Alalh SWT berbanding solat yang dilakukan secara berseorangan. Namun jika tiada kesempatan untuk solat sunat Terawih bersama-sama Jemaah di masjid maka solatlah secara berseorangan dirumah.
 
Berkenaan dengan kelebihan bilangan rakaat dalam solat sunat Terawih maka perbahasannya adalah amat luas dalam kalangan fuqaha (sarjana hadis). Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra dengan kata beliau: "Sesungguhnya Nabi SAW tidak solat pada malam Ramadan atau malam-malam selainnya melebihi 11 rakaat. Apabila Baginda solat empat rakaat maka tidak perlulah ditanya ketertiban dan panjangnya solat Baginda. Kemudian Baginda akan solat empat rakaat lagi maka tidak perlulah ditanya ketertiban dan panjangnya solat Baginda. Setelah itu Baginda akan solat pula tiga rakaat."(Hadis Muttafaqun alaih).
 
Daripada hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW menunaikan solat pada malam Ramadan hanya sebanyak 11 rakaat. Namun solat yang ditunaikan oleh Baginda adalah tertib dan amat panjang sehinggakan hampir tidak mampu diikuti oleh umat Baginda terhadap para sahabat.
 
 
Sumber Rujukan Berita Harian 02 Julai 2013



Jumaat, 5 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - PENGHAYATAN DI SEBALIK IBADAH PUASA

Jika diizinkan Allah SWT, kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadan untuk kesekian kalinya. Justeru sewajarnya bagi kita berazam untuk meningkatkan amal ibadah dalam pelbagai aspek berdasarkan peluang Allah berikan. Ramadan adalah madrasah bertujuan melatih umat islam bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi. Menurut Yusuff al-Qaradawi dalam bukunya Al-Ibadah fil-Islam, madrasah Ramadan menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan persedian berjihad.
 
 
MELAHIRKAN INSAN BERTAKWA
 
Menurut professor Dr Wahbah Zuhaili dalam 'Fiqh al-Islam wa adillatuh bertujuan melahirkan insan bertakwa berlandaskan firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan berpuasa ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa ."(Surah al-Baqarah:183). Menurut Dr. Wahbah Zuhaili lagi, berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan bersembunyi atau terbuka, mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri, membina cetusan naluri yang peka dan sensitive serta memulihkan kekuatan struktur dalaman tubuh badan.
 
Dr. Mustaffa Sibaí menerusi bukunya Äkhámu Syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). Selain itu madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri atau tazkiyah, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilaii unggul yang dinamakan takwa.
 
Dari aspek psikologi manusia terdiri daripada empat kompenan utama iaitu fizikal, kognitif, emosi dan spiritual. Berdasarkan kompenon itu madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi kearah kebaikan dituntut islam. Falsafahnya mudah jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu sudah pasti ia mampu mengatasi masalah serta cabaran hidup dengan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.
 
Umat islam daripada yang kecil hingga tua menanam tekad untuk menyempurnakan puasa bermula saat memasang niat kepada tibanya waktu berbuka. Kesungguhan itu membuktikan kesediaan berdepan dugaan menahan lapar serta dahaga. Kecintaan kepada agama memberi semangat kepada tentera islam berdepan musuh dalam peperangan Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun ke dua hijrah. Kesabaran serta ketakwaan tentera islam menunjukkan sifat tawakal kepada Allah SWT. Madrasah Ramadan mendidik diri menghayati konsep hablun min Allah (hubungan dengan Allah) dan konsep hablun minannas (hubungan sesama manusia). Hubungan itu terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan diharap diteruskan selepas Ramadan.
 
Selain meningkatkan ibadah keapda Allah SWT puasa juga mendidik jiwa insan untuk berkongsi nikmat dikurniakan dengan memperbanyakkan amalan sedekah yang mampu membersihkan jiwa daripada perasaan sombong. Kesedian berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan juga melahirkan sifat tawaduk serta sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT.
 
 
GANJARAN LAILATUL QADAR
 
 
Dalam latihan madrasah Ramadan pasti ada cemerlang. Mereka akan menerima ganjaran iaitu Lailatul Qadar malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Begitu juga yang menamatkan ibadah Ramadan dengan sempurna, ketibaan Syawal pasti disambut penuh kegembiraan.
 
Sabda Rasululalh SAW: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang lalu."(Riwayat Bukhari dan Muslim). Anugerah lain turut diberikan kepada individu yang melalui latihan dengan baik melalui ganjaran pahala untuk melalui pintu syurga ar-Rayan. Sabda Rasulullah SAW: "Di dalam syurga ada pintu yang dinamakan ar-Rayan. Orang yang berpuasa masuk melalui pintu ini pada hari kiamat."(Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Mereka yang Berjaya melalui madrasah Ramadan dengan jayanya menerima ganjaran pahala yang diberikan oleh Allah serta pengikhtirafan "takwa"yang menjadi matlamat ibadah puasa. Lebih baik jika semangat itu diteruskan pada Syawal dengan melaksanakan puasa sunat Syawal. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan disusuli dengan puasa bulan Syawal ganjarannya seolah-olah berpuasa setahun."(Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
 
 
Sumber Rujukan : Berita Harian 4 Julai 2013

Rabu, 3 Julai 2013

1 HARI 1 AYAT - TEBUS DOSA LALU DENGAN BERTAUBAT

Kini kita di fasa terakhir Syaaban dan akan melangkah ke Ramadan. Justeru marilah kita memperbanyakkan bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana memanjangkan usia dan diberi peluang bertemu semula Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Namun sebelum melangkah memasuki Ramadan, umat islam digalakkan memperbanyakkan istighfar mohon keampunan di atas segala dosa yang lalu. Mudah-mudahan kita menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh ketenangan dan diberi peluang Allah SWT melipatgandakan usaha memperbanyakkan amal ibadah. Sebagai insan yang lemah kita sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan seharian. Selepas Ramadan yang lalu kita tidak boleh menafikan bahawa kita ada melakukan pelbagai dosa dan kesilapan. Kita pernah melakukan dosa terhadap isteri, suami, ibu bapa, anak-anak, sahabat dan sebagainya.
 
Maka bertaubat adalah cara yang digariskan bagi menebus semua kesalahan dan dosa dilakukan sesuai dengan sabda  Rasulullah SAW. Dari Saidina Anas ra yang bermaksud : "Semua anak Adam berdosa  maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat."(Riwayat Ahmad). Menurut Ibnu Abas ra taubat adalah menyesal dengan hati, berishgtifar dengan lidah meninggalkan perbuatan maksiat dengan anggota tubuh dan berazam dengan kukuh dalam hati tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.
 
 
 
HUKUM TAUBAT WAJIB
 
Secara ijmak, ulama sepakat bahawa hukum bertaubat adalah wajib kerana dosa dan perbuatan maksiat itu dapat membinasakan iman dan menjauhkan diri daripada Allah SWT. Sesungguhnya kewajipan taubat diulang ALLAH SWT dalam kitab suci Al-Quran antaranya adalah dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian orang mukmin semoga kamu mendapat keimanan."Berdasarkan ayat itu maka kita perlulah menyedari kesalahan yang dilakukan sepanjang kita hidup ini. Kita hendaklah bertaubat dan meminta keampunan daripada Allah SWT agar kehidupan kita menjadi tenang dan aman.
 
Malah Allah turut memberi amaran mereka yang tidak bertaubat adalah termasuk dalam golongan yang menzalimi diri sendiri seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud : "Siapa yang tidak bertaubat maka mereka itu adalah orang-orang yang aniaya." Dalam surah Al-Baqarah ayat 222 umat islam amat digalakkan bertaubat kerana ia adalah simbol kepada pembersihan diri daripada dosa. Ayat al-Quran itu bermaksud: "Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang membersihkan diri." Luqman al-hakim pernah berwasiat kepada anaknya: "Wahai anakku janganlah engkau tangguhkan bertaubat sesungguhnya mati itu akan datang dengan tiba-tiba."
 
 
 
JANGAN TANGGUH TAUBAT
 
Sebagai umat islam yang wajib menumpahkan taat setia kepada ajaran yang diperintahkan, perbuatan taubat perlu disegerakan selagi diberi peluang menikmati saki baki kehidupan di alam fana ini. Elakkan daripada tabiat suka menangguhkan taubat kerana Baginda Nabi Muhammad saw tidak menyukai orang yang menangguhkan taubat sebagaimana sabda Rasulullah saw bermaksud: "Binasalah orang yang mengatakan esok saya akan bertaubat." Sesungguhnya taubat yang paling baik adalah taubat nasuha sebagaimana firman Allah SWT dalam surat at-Tahrim ayat 7 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat Nasuha (Sebenar-benar penyesalan dan berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan maksiat  itu) mudah-mudahan Tuhan kamu akan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di dalam beberapa sungai."
 
Justeru sebesar mana sekalipun dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan  sekiranya kita segera memohon keampunan Allah SWT nescaya Allah akan mengampunkan kita keculai dosa syirik. Betapa hebatnya sifat al-Ghaffur (Maha Pengampun) Allah di mana mereka yang bertaubat apabila melakukan kesalahan kedudukkannya sama seperti tiada dosa lagi. Jika dalam hati kecil kita masih belum tergerak untuk bertaubat cubalah renungi kisah taubat Nabi adam as selepas Baginda dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi. Baginda bertaubat selama 40 tahun dengan membaca doa  yang bermaksud "Ya Allah Ya Tuhanku kami melakukan kezaliman terhadap diri kami sendiri  dan jika Engkau tidak mengampunkan kami nescaya kami tergolong dalam orang-orang yang rugi."
 
Begitu jugalah dengan Nabi Yunus as semasa Baginda berada di dalam perut ikan nun, Baginda sentiasa bertasbih dan bertaubat seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya ayat 87 bermaksud: "Ya Allah tiada tuhan lain melainkan Engkau maha suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang zalim."



Sumber rujukan: BERITA HARIAN 03 JULAI 2013
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...