ALHAMDULILLAH...TERIMA KASIH YA ALLAH kerana memberikan saya rezeki pada hari ini. Rezeki daripada orang yang membayar hutangnya kepada saya.
MEMBERI hutang adalah amalan yang mulia jika tujuannya untuk meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang. Jika dilihat kepada konsep kemasyarakatan, memberi hutang sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala. Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).
Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk memberi hutang. Berbeza halnya dengan orang yang berhutang. Berhutang adalah amalan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang.
Dari itu hutang perlu dijelaskan dengan segera. Jangan suka atau sengaja tidak menghiraukan hutang sehingga menyebabkan hutang tersebut tertangguh begitu lama sekali dengan berbagai-bagai alasan yang diberikan mengenainya sehingga kadang-kadang menyebabkan kesusahan kepada orang yang memberi hutang. Dalam keadaan-keadaan lain, hubungan kedua belah pihak menjadi tidak mesra, bahkan seperti bermusuhan.
Kadang-kadang penangguhan itu bukan kerana tidak mampu membayar hutang, tetapi sengaja dilengah-lengahkan. Menurut Rasulullah s.a.w orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera adalah melakukan kezaliman. Demikian ditegaskan oleh Rasullullah s.a.w dalam sabdanya yang maksudnya:
"Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim, Rasulullah s.a.w besabda yang maksudnya:
"Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan hukumannya."
Daripada maksud hadis di atas, Ibnu Hajar Al-Haitsami berpendapat bahawa orang-orang yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang sedangkan dia berkeupayaan untuk melunaskannya menyebabkan kehormatannya boleh dicemari dengan menceritakan hal tersebut kepada orang lain. Walau bagaimanapun hal yang boleh diceritakan itu hanyalah mengenai buruk perangainya kerana melengah-lengahkan hutang itu sahaja.
Adapun menceritakan keburukannya yang lain adalah haram hukumnya kerana orang yang dizalimi itu hanya dibenarkan menceritakan kezaliman dalam perkara menangguhkan hutang sahaja. dalam perkara menghalalkan hukuman ke atasnya bererti dia boleh dihukum kerana perbuatan sengaja melengah-lengahkan hutang. Hukuman itu sama ada dipenjara, dirotan atau seumpamanya. (Az-Zawajir hln 414).
Menurut Ibnu Hajar lagi, sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan berkemampuan itu adalah melakukan dosa besar.
Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutanngnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu "umar Radiallahuanhu Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Di antara risikonya lagi, suatu perisitiwa pernah terjadi di mana Rasulullah s.a.w enggan menyembahyangkan jenazah apabila Baginda mengetahui orang yang meninggal itu masih mempunyai tanggungan hutang.
Tindakkan Baginda itu jelas menunjukkan tentang ketidaksukaan Baginda terhadap orang-orang yang berhutang. Tindakan sedemikian memberi pengajaran kepada orang lain tentang akibat berhutang.
Jika si pehutang benar-benar tidak berkeupayaan untuk membayar hutangnya dalam jangka atau tempoh yang dijanjikan atau dientukan, berterus-teranglah kepada pemiutang dan berundinglah bagaimana cara yang patut dan munasabah untuk membayar hutangnya.
Dari itu kikislah sifat dan tabiat suka berhutang kecuali dalam perkara-perkara yang benar-benar perlu dan mendesak. Bebaskanlah diri daripada hutang-hutang agar hidup dalam keadaan riang gembira dan selesa di dunia dan di akhirat kelak.
DOA MUDAH BAYAR HUTANG
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (SURAH AL IMRAN :26)
Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya. (SURAH AL IMRAN:27)
Ya Allah, cukupkanlah aku dengan segala perkara yang telah Engkau halalkan daripada segala perkara yang telah Engkau haramkan. Kayakanlah aku dengan kelebihan Engkau daripada meminta kepada orang lain.
Ya Allah, aku berlindung denganMu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari kedekut dan perasaan takut dan dari desakan hutang dan paksaan orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan