Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Rabu, 29 Ogos 2012

ALONG DAN ADIK DEMAM

Pada hari raya kelima adik dan along demam. Pagi raya kelima mak cakap tiba-tiba badan adik panas. Sedangkan pada hari semalamnya adik dan along beraya sakan. Sihat, boleh main dan gelak-gelak lagi pada malamnya. Along pulak tengahari tu mula badannya rasa panas tapi adik dan along tak meragam cuma tidur aje. Kebetulan pagi tu ayah dan ibunya baru balik dari kerja. Terus tengahari tu ayah dan ibunya bawa adik dan along pergi klinik dan cucuk. Pada hari raya ketujuh masa ayah dan ibunya bawa adik dan along ke rumah wan nya untuk dijaga barulah tahu rupanya adik kena demam campak. Along pulak demam biasa cuma along tak nak minum dan makan. Ayahnya cukup risau bila along tak nak makan dan minum. Akhirnya wan nya berjaya pujuk along untuk minum. Rupa-rupanya along tak nak minum guna botol. Petang tu saya bagi along makan walaupun sedikit tapi along nak juga makan. Adik pula dah sihat walaupun campaknya  masih belum sembuh.


Yehhhhhhh................adik dah sihat


Seronok bila tengok along dan adik dah sihat dan boleh main sama-sama di halaman rumah wan nya.

TANGGUNGJAWAB KAMI.......

Seperti biasalah bila cuti aje balik kampung mesti pergi beli barang dapur. Kebiasaannya adik yang kerja KLIA bawa mak pergi beli barang dapur sebab dia yang paling dekat rumah dengan mak. Tapi ada masanya bila adik yang kerja KLIA bekerja jadi saya ataupun adik yang kerja PERODUA pula yang akan bawa mak pergi beli barang dapur. Tulah untungnya mak punya anak yang ramai kalau seorang tak dapat temankan mak yang lain boleh tolong. ALHAMDULILLAH. Dulu zaman bujang abang yang kerja KLIA dialah yang selalu bawa mak beli barang-barang dapur. Maklumlah masa tu hanya abang yang kerja KLIA tu seorang aje yang ada kereta. Sekarang ni bila adik-adiknya dah bekerja dan memiliki kereta sendiri, kamilah adik beradik yang menggantikan tanggungjawab tersebut memandangkan abang pun sudah ada keluarga sendiri. Tapi kadang-kadang abang masih juga menjalankan tanggungjawabnya seperti dulu. Abang sering bertanya pada mak dah beli ke barang-barang dapur. Selalunya mak akan minta tolong abang sekiranya kami adik beradik yang lain tak berkesempatan untuk membawa mak membeli barang-barang dapur. Biasalah bercakap pasal barang-barang dapur ni kalau saya yang membawa mak membeli barang-barang dapur yang pasti anak-anak buah kesayangan 2 orang mesti ada. Suka sangat bawa 2 orang kesayangan ini. Suka melayan kerenah 2 orang anak buah ini.


Kemana pergi mesti bawa 2 orang budak yang comel ini....sebab mereka adalah anak buah yang tak banyak ragam dan suka berjalan. Nasib baiklah ayah dan ibunya selalu izinkan saya bawa anak-anak mereka berjalan.


Sudah bersiap sedia untuk dibawa berjalan. Inilah along yang sentiasa nak duduk di depan. Orang lain kena duduk dibelakang.


Adik pun dah bersedia untuk dibawa berjalan-jalan

Selasa, 28 Ogos 2012

JALAN-JALAN CARI MAKAN.....

Pada Hari raya ketiga selepas beraya sempat saya bawa anak-anak buah kesayangan saya pergi makan-makan. Seorang dari anak buah saya teringin nak makan Macdonall yang lain pulak tu nak makan KFC. Jadi untuk tidak menghampakan anak-anak buah kesayangan, saya singgah dahulu ke Macdonall belikan untuk yang seorang tu dan kemudian singgah pula ke KFC untuk yang lain-lain pulak.




sedang menunggu KFC siap............

Khamis, 16 Ogos 2012

1 Hari 1 Ayat - APA YANG TERJADI PADA TUBUH APABILA TELAH DIKEBUMIKAN

Sesungguhnya mayat di dalam kubur akan melalui beberapa fasa perubahan. Berikut ini adalah fasa tersebut secara ringkas sejak malam pertama di alam kubur sehingga 25 tahun berikutnya.

MALAM PERTAMA
Setelah dikuburkan, pembusukan bermula pada daerah perut dan kemaluan. Subhanallah, perut dan kemaluan adalah dua hal terpenting yang anak cucu Adam saling bergulat dan menjaganya di dunia. Setelah itu, jasad akan mula berubah menjadi hijau kehitaman. Setelah berbagai solekan dan alat-alat kecantikan semasa hayat di dunia, setelah meninggal dunia manusia hanya akan memiliki satu warna sahaja.

MALAM KEDUA
Anggota-anggota tubuh yang lain seperti limpa, hati, paru-paru dan lambung akan mula membusuk.

HARI KETIGA
Anggota-anggota tubuh mula mengeluarkan bau yang busuk.

SETELAH SEMINGGU
Wajah dan mata mula membengkak.

SETELAH 10 HARI
Tetap terjadi pembusukan pada pada anggota-anggota tubuh.

SETELAH 2 MINGGU 
Rambut mulai gugur. Lalat hijau mulai mencium bau busuk dari jarak 5 km dan ulat-ulat pun mula menutupi seluruh tubuh.

SETELAH 6 BULAN
Semua anggota telah tiada yang tinggal cuma tulang rangka sahaja.

SETELAH 25 TAHUN
Rangka tubuh ini akan berubah menjadi semacam biji, dan di dalam biji tersebut, anda akan menemukan satu tulang yang sangat kecil disebut ‘Ajbudz Dzanab’ (tulang ekor), dari tulang inilah kita akan dibangkitkan oleh ALLAH SWT pada hari kiamat.

Sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH, inilah tubuh yang selama ini kita jaga.
Inilah tubuh yang kita berbuat maksiat kepada ALLAH dengannya.
Oleh kerana itu, janganlah biarkan umur dan jasad kita dalam keadaan sia-sia janji ALLAH adalah benar.

" Ya ALLAH, Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMU. Ya ALLAH, jadikanlah kuburan kami sebagai satu taman dari taman-taman syurga dan jangan jadikan ianya sebagai satu lubang dari lubang-lubang api neraka."
Aaamiiin Ya Robbal Alamiiin.

Semoga bermanfaat bagi kita semua.

MEMORI NAK RAYA...........

Tinggal beberapa hari lagi dah nak raya. Tak sabar rasanya nak balik kampung....Macam jauh aje bunyi kampung tu. Hakikatnya dekat aje sempadan KL kat Banting. Balik bila-bila masa pun boleh. Alhamdulillah nasib baik kampung saya tak jauh....Kerja pun dekat aje kat KL ni. Tak perlulah nak menempuh trafik jam yang saban tahun terpaksa di alami oleh kebanyakkan orang lain bila nak balik kampung beraya. Tak boleh nak cakap lebih-lebih tiba-tiba nanti ketemu jodoh dengan orang jauh. Nasiblahhhhh. Saban tahun bila raya memang keluarga saya kalau masak bukan sikit-sikit punya tapi punyalah banyak. Bukan apa keluarga saya besar adik beradik pun dah 10 orang boleh tubuh team bola sepak. Belum masuk anak-anak buah yang dah berderet-deret tu. Tu sebabnya bila beli ayam mesti lebih 10 ekor. Bukan membazir tapi memang macam tu setiap tahun. Mak suka masak banyak-banyak kalau menantu mak nak balik kampung dia masa raya tu mak akan bekalkan bawa balik. Begitu juga anak-anak mak bila nak balik rumah masing-masing mak akan bekalkan untuk di bawa balik.

Bercerita pasal masak ni memang tiap-tiap tahun kari ayam mak tak pernah tinggal mesti ada. Kami masak bukan guna dapur gas tapi lebih suka guna dapur kayu. Tu yang tradisional sikit. Ya lah masak berkawah-kawah. Selain kari ayam, rendang ayam, rendang kerang dan rendang daging pun mesti ada. Saya suka sangat makan rendang kerang. Ingat lagi masa adik-adik saya belum berkahwin mereka memang cukup rajin tolang mak masak untuk raya. Ramai-ramai tolong bersihkan ayam, daging dan kopek kerang. Potong dan mesin segala bahan-bahan nak masak. Tolong jaga api masa masak ketupat, tolong masakkan rendang dan kari ayam mak. Rajin mesin kan kelapa. Bercakap pasal kelapa ni memang banyak guna. Nasib baiklah kat rumah mak tu ada pokok kelapa boleh kami kutip buahnya bila dah gugur. Jimatlah tak payah nak beli santan kelapa. Tapi kenangan yang tak boleh dilupakan masa kecik dulu bila seminggu nak raya abah dah mula kurungkan ayam. Sebab dulu tak beli ayam. Dulu kami adik beradik susah. Masak ayam guna ayam yang kami bela. Bercerita pasal ayam ni kan, ayam dulu-dulu memang bijak. Ayam ni dia tahu aje bila perkhidmatan dia diperlukan. Mulalah sekor pun tak nampak balik rumah. Memang memori yang terindahlah pasal ayam ni. Tau-tau ajelah bila ayam ni tak muncul-muncul balik rumah. Apa lagi radio malaya abah pun bunyilah. Bisingkan kat kami anak-anak tak nak tangkap ayam awal. Ayam ni bijak juga waktu malam baru dia balik rumah. Apa lagi bila ayam ni balik rumah waktu malam kami adik beradik pun pergilah tangkap. Yang bestnyer ayam ni tidur atas pokok. Cuba korang bayangkan waktu malam-malam kami adik beradik tangkap ayam mahu satu kampung dengar bunyi ayam. Nasib baiklah ayam ni tidur atas pokok kopi. Pokok kopi tu kan rendah sikit. Malam-malam kami adik beradik panjat pokok kopi. Tak payah nak cakaplah satu badan bau najis ayam. Sweet memang sweetlah memori masa tu.

Kat kampung kami ketupat memang menjadi sajian utama. Lemang kampung kami tak buat biasanya kami beli aje. Saya paling suka anyam ketupat. Tak tau kenapa bila anyam ketupat ni macam ada satu seni. Ketupat ni kalau kami anyam biasanya mesti dalam seratus tak boleh kurang. Cuma sekarang daun kelapa kami terpaksa beli sebab susah nak dapat. Sekarang adik-adik masing-masing dah berkahwin dan dah ada keluarga sendiri jadi kalau mereka memang beraya dulu rumah mak dapatlah merasakan suasana yang seperti dulu. Tak sabar rasanya nak balik jumaat ni nak masak, kemas rumah, isi kuih raya dalam balang, pasang langsir dan macam-macam lagi lah.

Balik kampung ohhhh ohhh ohhh balik kampung hati girang


 Nilah dia gulai kawah yang biasa kami masak bila raya. Guna dapur kayu lagi. Tu yang rasa betul-betul nak raya.


  Ni dia kari ayam special masakan mak. rasanya kalau tak ada kari ayam special mak ni rasanya tak sah raya ni. Tiap-tiap tahun mesti buat.


 Ayam masak merah ni selalunya ikut permintaan anak-anak. Kalau anak-anak nak makan ayam masak merah mak akan masakkan. Biasanya ayam masak merah ni bukanlah sajian utama.


Orang kuat setiap kali raya. Adik kesayanganku. Walaupun dah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri tapi adik memang cukup rajin tolong kat dapur. Kalau dia raya dulu kat rumah mak mertua dia pun adik akan tetap datang ke rumah mak untuk tolang mak. Itulah anak kesayangan mak saya. Gua caya lu lah.......

Rabu, 15 Ogos 2012

MASKER MUKA.......................


Masker ni saya beli semasa pergi ke KL Centrel. Murah harganya dan mampu milik. Bukan terletak pada harganya tapi memang sesuai dengan kulit saya. Sangat fresh dan tenang. Kalau kita sedang stress atau sakit kepala masker ini dapat mengurangkan sedikit tekanan dan sakit. Walaupun tak sepenuhnya tapi akan rasa tenang dan lega. Kalau tak percaya cubalah..........

Terasa wajah lembut dan segar selepas pakai masker tersebut. Biasanya  pakai dalam masa 20 - 25 minit tapi saya lebih suka pakai masker ini sehingga kering. Lepas masker tu kering barulah saya tanggalkan. Saya akan pastikan yang masker tu benar-benar telah meresap sepenuhnya di muka saya. Selepas itu saya akan sapu lebih-lebihan masker yang belum kering keseluruhan wajah saya. Terasa benar-benar segar dan licin wajah saya. Saya tidak akan membasuh wajah saya selepas itu dan saya akan terus tidur. Apabila bangun pagi nanti kelembapan wajah saya masih lagi terjaga dan wajah saya akan kelihatan segar dan bersih. Saya memang sukakan masker yang diperbuat daripada buah-buahan terutamanya buah epal dan strawberry. Selain masker epal dan strawberry saya juga suka masker daripada buah apprikot.

Selasa, 14 Ogos 2012

HADIAH DARI MEKAH....

Al-Quran ini pemberian dari sahabat office yang balik dari Mekah. Alhamdulillah sempena di Bulan Ramadhan ini dapat di manafaatkan Al-Quran ini. Sebelum ini masa saya pergi umrah 2 tahun lepas pun saya ada membeli beberapa Al-Quran tapi saya dah niatkan untuk diberikan kepada orang tertentu. Saya tak sempat pulak nak beli untuk diri sendiri tapi Alhamdulillah akhirnya saya dapat juga Al-Quran Mekah. TERIMA KASIH sahabat yang telah menyedekahkan kepada saya.





1. Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa'at kepada pembacanya. ( RIWAYAT MUSLIM)
2. Daripada Nawwas Bin Sam'an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah A-li 'Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya.( RIWAYAT MUSLIM)
3. Daripada Osman Bin 'Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain.( RIWAYAT BUKHARI)
4. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala. (RIWAYAT BUKHARI dan MUSLIM)
5. Daripada Abu Musa Al Asy'ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : Umpama orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit. (RIWAYAT BUKHARI dan MUSLIM)
6. Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda : Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran.( RIWAYAT MUSLIM)
7. Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda: Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam.( RIWAYAT BUKHARI dan MUSLIM)
8. Daripada Barra' dan daripada 'Azib r.a. telah berkata : Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al Quran.( RIWAYAT BUKHARI dan MUSLIM)
9. Daripada Ibnu 'Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat Al Quran seperti rumah yang roboh.( RIWAYAT TARMIZI dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih )
10. Daripada Abdullah Bin 'Umru Bin Al 'As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda : Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan Al Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan.( RIWAYAT ABU DAUD dan TARMIZI dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )
11. Daripada 'Uqbah Bin 'Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau 'Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim.
Kami menjawab : Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya.( RIWAYAT MUSLIM)
12. Daripada Ibnu Mas'ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al Quran.( RIWAYAT MUSLIM)
13. Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian beliau bersabda : Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan Al Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad.( RIWAYAT BUKHARI, TARMIZI, NASA'IE, dan IBNU MAJAH)
14. Daripada 'Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca Al Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : Barangsiapa yang membaca Al Quran maka berdoalah kepada Allah dengan Al Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca Al Quran dan mereka berdoa dengannya.( RIWAYAT TARMIZI, beliau berkata : Hadis ini hasan )
15. Daripada Ibnu Mas'ud r.a. ia berkata : Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.( RIWAYAT AD DARIMI TARMIZI, beliau berkata hadis ini hasan sahih )

Isnin, 13 Ogos 2012

BAYAR ZAKAT


Akhirnya selesai juga membayar zakat fitrah untuk tahun ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya memang bayar zakat untuk mak, abah dan seorang abang. Alhamdulillah selesai  satu tanggungjawab sebagai umat islam.

  • firman Allah yang bermaksud : “ Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk)…. (SURAH AL-TAUBAH: 19:103
  • Firman Allah : Maksudnya: "Dan dirikanlah shalat olehmu semua dan berikanlah zakat."  (AL-BAQARAH:43)
  • hadith rasulullah s.a.w yang bermaksud :- Ibn Abbas berkata : “ Rasulullah menyuruh kita bersembahyang, membayar zakat, menjaga hubungan silaturrahim dan menjaga kesucian diri.”

IKLAN RAYA BERNAS 2012 - TERBAIKKKKK



Dalam iklan raya ni, mengisahkan perjalanan dua anak yatim iaitu Fizi dan Ahmad pulang ke kampung halaman Ahmad di Segamat untuk berjumpa ibunya. Terdapat pelbagai rintangan yang mereka hadapi ketika pulang ke kampung untuk menziarahi pusara ibunya.


Sedih memang sedih sehingga menitiskan air mata dan rasa keinsafan menebal dalam diri. Ucapan tahniah buat BERNAS, pengarah dan krew-krew yang terlibat tak kiralah yang berada di belakang kamera dan pelakon-pelakon yang hebat walaupun kanak-kanak tersebut tidak sempurna tapi itulah kelebihan yang Allah berikan kepada setiap hambanya. Setiap kekurangan itu ada kelebihannya. Sesungguhnya Allah itu lebih mengetahuinya. Bagi kita yang sempurna ini bersyukurlah kerana dilahirkan dalam keadaan sempurna dan masih dikelilingi oleh orang-orang yang tersayang. Hargai mereka-mereka yang disayangi ini.


Video ini cukup memberikan kita satu keinsafan, menyentuh hati dan perasaan yang memberikan kita mesej yang cukup berharga. Hargailah anak-anak yatim dan ibu bapa kita yang masih hidup. Bersyukurlah kita yang hidup sempurna ini.

Paling sedih dalam iklan raya ni:
**** kami anak yatim kami nak balik kampung Segamat
**** Mak Ahmad mak Fizi jugak

Huhuhuhuhu  sedihnya...Ya Allah Kau lindungilah, peliharalah anak-anak kurang upaya ini dan Kau permudahkanlah segala urusan mereka di dunia dan akhirat. AMINN

Dan memang benarlah apa yang dikata dalam surah ar-rahman.. "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"

Sebutlah mana satu nikmat yg Allah tidak beri pada hambaNya. Tidak terhitung nikmat dari Allah. Tiada satu pun yang kita boleh nafikan.Ya Allah betapa syukurnya saya. betapa kerdilnya kita sebagai hamba. Tidak mampu bernafas tanpa oksigen dari Allah, tidak mampu mencipta bulu mata walau sehelai, tidak mampu melihat, merasa, menghidu tanpa pancaindera, segala-galanya tidak mampu jika tidak diizinkan Allah atas nikmatnya. Kembalilah kita kepada Allah..

Firman Allah: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 220)

Jumaat, 10 Ogos 2012

1 Hari 1 Ayat - MELAWAT ORANG YANG SAKIT ♥

Sejatinya melawat orang yang sakit merupakan wujud persaudaraan yang mulia. Rasulullah mengumpamakan melawat bagaikan berada dalam taman surga yang didoakan oleh ribuan malaikat.
"Apabila seorang muslim menjenguk saudaranya, ia terus menerus berada dalam taman surga dan akan diliputi rahmat. Kalau melawat pagi hari, ia didoakan tujuh puluh ribu malaikat hingga ke petang. Dan kalau menjenguk petang hari, ia didoakan tujuh puluh ribu malaikat hingga pagi." (HR. ABU DAUD, AHMAD, IBNU MAJAH dan BAIHAQI).

Lantas bagaimana cara melawat yang dicontohkan oleh Rasulullah?

1. Berwudhu sebelum berangkat. "Barangsiapa berwudhu dengan sebaik-baiknya kemudian melawat sesama muslim (yang sedang sakit) kerana mengharap redha Allah, pasti dia akan dijauhkan dari neraka jahannam sejauh tujuh puluh tahun perjalanan." (HR. ABU DAUD)
2. Memberikan semangat (keyakinan akan sembuh) " Jika kamu menjenguk yang sakit, lapangkanlah hatinya. Karena yang demikian itu akan menyenangkannya." ( HR.TIRMIZI).
3. Mendoakan dengan tulus.
Allahumma rabbannaasi adzhibil ba'sa isyfi antasy syaafii laa syifaa'a illaa syifaa'uka syifaa'an laa yughaadiru saqaman ( Ya Allah Rabb dari semua manusia, hilangkanlah segala penyakit. Sembuhkanlah. Hanya Engkau yang dapat menyembuhkan. Tiada kesembuhan kecuali dari pada-Mu, sembuh yang tidak dihinggapi penyakit lagi." ( HR. ABU DAUD, AHMAD, IBNU MAJAH dan BAIHAQI).
 4. Mengirim makanan kesukaan yang sakit selama tidak memudaratkan penyakitnya. "Barangsiapa memberi makanan pada yang sakit sesuai keinginannya (selama tidak memudaratkan penyakitnya), niscaya Allah akan memberinya makanan dari buah-buahan surga." (HR. ATHABRANI)
5. Boleh memakan hidangan atau merasa jamuan yang disediakan keluarga yang sakit selama tidak menyusahkan. Namun ada sebahagian ulama yang memakruhkannya bahkan mengharamkannya kerana dikhuatirkan menyusahkan tuan rumah. Namun selama tidak menyusahkan diperbolehkan.
6. Lelaki boleh melawat wanita atau sebaliknya walaupun bukan mahram selama tidak menimbulkan fitnah dan adab pergaulan tetap terjaga dalam erti tidak berduaan dan tidak berbuat yang mendekati zina. Dari Aisyah Radhiyallahu Anha ia berkata: "Ketika Rasulullah datang ke Madinah , saat itu Abu Bakar dan Bilal sakit panas. Kata Aisyah, saya melawat Abu Bakar (ayahandanya) seraya menyapa: apa yang ayah derita? Demikian pula kepada Bilal : apa yang engkau rasakan? (HR. BUKHARI). Hadits ini menegaskan bahawa Aisyah menjenguk Bilal padahal bukan mahramnya.
"Dari Ummu 'Ala, ia berkata : Rasulullah pernah menjengukku ketika aku sakit"(HR. ABU DAUD)
Hadits ini bermakna Rasulullah menjenguk Ummu 'Ala padahal beliau juga bukan mahramnya.
7. Diperbolehkan melawat bukan muslim " Kata Anas Radhiyallahu Anhu sesungguhnya seorang anak yahudi sakit, lalu Rasulullah melawatnya. Kemudian beliau duduk dekat kepalanya, seraya bersabda ," Silakan masuk Islam. Kemudian anak itu menoleh ayahnya yang berada di sebelah kepalanya. Ayahnya berkata," Turutilah ajakan Muhammad. Lalu, masuk Islamlah anak itu."( HR. BUKHARI dan ABU DAUD). 


KENANGAN RAYA ALONG DAN ADIK........................



Tahun pertama Along beraya tema warna biru dan merah 2010


Tahun pertama adik beraya tema warna kuning 2011


Tahun kedua along beraya tema kuning 2011

^
^^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^
^^^^^^^^^
jeng...jengggggggggggggg dan tahun ini 2012 tunggguuuuuuuuuuuuuu tema warna apa pula....

TERAPI MINDA - KISAH SI MISKIN DAN SI KAYA

"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian tutup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat".

Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut Toyota Corolla Altis 1.8 ini dilambung graviti. Ery duduk di sebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio perak, sekejap kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.

Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung, geli. Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.

Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat singkat dan rambut kusut masai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar di luar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini. Beberapa gadis bertudung labuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman. Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini.Tolol! Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.

"Nak apa?!"

Dia terketar terkejut, sedikit berundur.

"Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."

Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng.

Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan! "Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku, tahulah macamana aku nak ajar kau!!" Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu ditutup rapat.

Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai.

Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk belakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai, masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!

"Sudah nak!!"

Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi. Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.

"Kenapa ni? Gila?!"

"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit." Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.

Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan.

Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi di luar sana. Lupakan saja..

Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku melayan meluat-melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi, berlagak seperti fakir. Mungkin..

Dengan rasa ragu, aku menghampirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

" Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?".

Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut.

Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu satu, perlahan-lahan dan terketar.

Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.

"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah. Ambillah semula, nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak, berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.

"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."

Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak. Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.

Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia, cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.

Moral : Kekayaan itu hanya di dunia dan apabila kita mati nanti, hilanglah kekayaan itu dan yang kita bawa adalah amalan. Ingatlah Allah boleh memberi pada bila-bila masa kepada kita dan Allah juga boleh mengambil nikmat daripada kita bila-bila masa, di mana saja dan apa cara sekalipun. Kekayaan, kemiskinan, kebaikan, keburukan dan setiap musibah yang menimpa manusia merupakan ujian dari Allah swt. yang diberikan kepada hambanya. Itu bukan ukuran kemuliaan atau kehinaan seseorang. Janganlah bangga kerana kekayaan dan janganlah putus asa kerana kemiskinan.


Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim, Ayat 7)

Khamis, 9 Ogos 2012

1 Hari 1 Ayat - AMALAN MEMBERI DAN MELUNASKAN HUTANG


ALHAMDULILLAH...TERIMA KASIH YA ALLAH kerana memberikan saya rezeki pada hari ini. Rezeki daripada orang yang membayar hutangnya kepada saya.

MEMBERI hutang adalah amalan yang mulia jika tujuannya untuk meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang. Jika dilihat kepada konsep kemasyarakatan, memberi hutang sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala. Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).
Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan kesusahan orang lain termasuk memberi hutang. Berbeza halnya dengan orang yang berhutang. Berhutang adalah amalan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari. Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan membayar hutang.
Dari itu hutang perlu dijelaskan dengan segera. Jangan suka atau sengaja tidak menghiraukan hutang sehingga menyebabkan hutang tersebut tertangguh begitu lama sekali dengan berbagai-bagai alasan yang diberikan mengenainya sehingga kadang-kadang menyebabkan kesusahan kepada orang yang memberi hutang. Dalam keadaan-keadaan lain, hubungan kedua belah pihak menjadi tidak mesra, bahkan seperti bermusuhan.
Kadang-kadang penangguhan itu bukan kerana tidak mampu membayar hutang, tetapi sengaja dilengah-lengahkan. Menurut Rasulullah s.a.w orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera adalah melakukan kezaliman. Demikian ditegaskan oleh Rasullullah s.a.w dalam sabdanya yang maksudnya:
"Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim, Rasulullah s.a.w besabda yang maksudnya:
"Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan hukumannya."
Daripada maksud hadis di atas, Ibnu Hajar Al-Haitsami berpendapat bahawa orang-orang yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang sedangkan dia berkeupayaan untuk melunaskannya menyebabkan kehormatannya boleh dicemari dengan menceritakan hal tersebut kepada orang lain. Walau bagaimanapun hal yang boleh diceritakan itu hanyalah mengenai buruk perangainya kerana melengah-lengahkan hutang itu sahaja.
Adapun menceritakan keburukannya yang lain adalah haram hukumnya kerana orang yang dizalimi itu hanya dibenarkan menceritakan kezaliman dalam perkara menangguhkan hutang sahaja. dalam perkara menghalalkan hukuman ke atasnya bererti dia boleh dihukum kerana perbuatan sengaja melengah-lengahkan hutang. Hukuman itu sama ada dipenjara, dirotan atau seumpamanya. (Az-Zawajir hln 414).
Menurut Ibnu Hajar lagi, sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan berkemampuan itu adalah melakukan dosa besar.
Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
"Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutanngnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu "umar Radiallahuanhu Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Di antara risikonya lagi, suatu perisitiwa pernah terjadi di mana Rasulullah s.a.w enggan menyembahyangkan jenazah apabila Baginda mengetahui orang yang meninggal itu masih mempunyai tanggungan hutang.
Tindakkan Baginda itu jelas menunjukkan tentang ketidaksukaan Baginda terhadap orang-orang yang berhutang. Tindakan sedemikian memberi pengajaran kepada orang lain tentang akibat berhutang.
Jika si pehutang benar-benar tidak berkeupayaan untuk membayar hutangnya dalam jangka atau tempoh yang dijanjikan atau dientukan, berterus-teranglah kepada pemiutang dan berundinglah bagaimana cara yang patut dan munasabah untuk membayar hutangnya.
Dari itu kikislah sifat dan tabiat suka berhutang kecuali dalam perkara-perkara yang benar-benar perlu dan mendesak. Bebaskanlah diri daripada hutang-hutang agar hidup dalam keadaan riang gembira dan selesa di dunia dan di akhirat kelak.

DOA MUDAH BAYAR HUTANG

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (SURAH AL IMRAN :26)
Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya. (SURAH AL IMRAN:27)



Ya Allah, cukupkanlah aku dengan segala perkara yang telah Engkau halalkan daripada segala perkara yang telah Engkau haramkan. Kayakanlah aku dengan kelebihan Engkau daripada meminta kepada orang lain.


Ya Allah, aku berlindung denganMu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari kedekut dan perasaan takut dan dari desakan hutang dan paksaan orang.


Rabu, 8 Ogos 2012

1 Hari 1 Ayat - KEADILAN ALLAH TAALA

Pada zaman Nabi Musa a.s telah berlaku satu peristiwa yang membabitkan seorang pemuda, seorang lelaki tua dan seorang kanak-kanak. Kisah mereka bertiga ini ada kaitannya dengan seuncang emas yang menjadi rebutan. Bagaimanapun kesudahan kisah ini menunjukkan keadilan Allah Taala kepada makhluk ciptaanNya terutamanya keapda manusia itu sendiri.

Seorang pemuda menerima seuncang emas daripada bapanya yang telah dibunuh. Beliau berhasrat memberikan emas itu kepada ibunya di kampung. Maka beliau ingin kembali ke kampungnya untuk menunaikan hasrat murni itu.

Pemuda itu memulakan perjalanannya pada sebelah pagi memandangkan kampungnya agak jauh di pedalaman. Beliau menaiki seekor kuda sebagai kenderaan. Di pertengahan jalan beliau berhenti seketika untuk berehat di bawah sepohon pokok. Akibat terlalu letih beliau akhirnya tertidur di bawah pokok berkenaan. Uncang emas yang di bawanya diletakkan di sisinya.

Akibat kepenatan berjalan jauh pemuda itu tertidur sehingga ke petang. Apabila terjaga dilihatnya suasana sekeliling sudah mulai gelap. Lantas beliau bangun dan terus mendapatkan kudanya untuk meneruskan perjalanan. Dalam keadaan tergesa-gesa itu beliau terlupa mengambil uncang yang dibawanya tadi. Uncang emas itu ditinggalkan di bawah pohon itu tanpa disedarinya.

Setelah beberapa lama pemuda itu beredar datang seorang kanak-kanak melalui di bawah pohon tempat pemuda tadi tidur. Kanak-kanak tersebut terjumpa uncang emas yang ditinggalkan pemuda tadi. Lalu kanak-kanak tersebut mengambil uncang berkenaan dan membawa pergi bersama-samanya.

Setelah jauh berjalan tiba-tiba pemuda tadi menyedari uncang emasnya tertinggal di bawah pohon pokok tempat dia berehat. Lalu beliau berpatah balik mengambilnya. Apabila tiba di bawah pohon tersebut beliau dapati seorang lelaki tua sedang berehat di situ. Pemuda itu terus mendapatkan lelaki tua itu dan bertanyakan tentang uncang emasnya. Lelaki tua itu menafikan dia mengambil uncang emas itu. Pemuda berkenaan tetap menuduh lelaki tua itu mengambilnya kerana hanya dia yang ada di tempat berkenaan.

Akibat terlalu marah akhirnya pemuda itu telah membunuh lelaki tua berkenaan dengan anggapan lelaki tua itu yang mengambil uncang emasnya tetapi sengaja menafikan. Setelah dibunuh lelaki tua itu diperiksa  malangnya tidak ditemui apa pun. Pemuda itu kemudiannya meneruskan perjalanannya.

Peristiwa di atas telah dibawa ke pengetahuan Nabi Musa a.s. Akhirnya Nabi Musa a.s  menjelaskan apa sebenarnya yang terjadi kepada ketiga-tiga orang yang terbabit dalam peristiwa tersebut.
 Menurut Nabi Musa a.s kisah ketiga-tiga orang berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain. Ayah pemuda dan lelaki tua itu adalah sahabat baik. Tetapi kedua-duanya terlibat dalam kegiatan tidak bermoral iaitu mencuri. Antara barang yang mereka curi ialah seuncang emas yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut oleh sebab tamak kan harta yang dicuri lelaki tua itu telah membunuh ayah pemuda tadi dengan hasrat menagmbil emas tersebut.

Namun lelaki tua itu tidak dapat mengambil emas itu kerana emas tersebut telah diserahkan kepada pemuda itu oleh ayahnya. Dosa kesalahan mencuri dan membunuh oleh lelaki tua itu telah dibalas apabila beliau sendiri dibunuh. Lelaki tua yang dibunuh pemuda itu ialah orang yang membunuh ayahnya. Beliau telah berjaya membunuh orang yang membunuh ayahnya. Kanak-kanak yang mengambil emas semasa di bawah pohon itu adalah pemilik sebenar emas berkenaan. Dengan izin Allah emas yang dicuri daripadanya telah dikembalikan semula. Semua ini berlaku dengan keizinan dan perancangan Allah Taala yang Maha Adil. Setiap pihak mendapat hal masing-masing mengikut keadilan Allah Taala.

Menerusi kisah ini Nabi Musa a.s menegaskan tentang keadilan Allah Taala di atas segala kejadian yang berlaku kepada makhluknya. Setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmah yang tersendiri yang tidak dapat ditanggapi oleh akal manusia. Namun hikmah dan kebaikannya akan kembali kepada manusia juga. Oleh sebab itu kita perlu menerima setiap perkara yang terjadi ke atas kita dengan perasaan penuh redha serta bersabar. Semua itu adalah perancangan dan ketentuan Allah ke atas diri kita. Kita boleh merancang namun perancangan Allah Taala lebih bijaksana dan hebat. Mungkin setiap yang terjadi itu mempunyai hikmah tetrtentu dalam kehidupan kita yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Yakinlah Allah Taala Maha Mengetahui lagi Maha Adil kepada setiap makhluk ciptaanNya.

GELAGAT ALONG DAN ADIK


 Apa along buat adik akan ikut buat. Memang tak boleh dipisahkan mereka berdua.
















Kalau along ada belon adik pun mesti ada. Dua-dua mesti ada. Kalau tidak berebut nanti. Barang-barang along orang lain tak boleh ambil walaupun adik nak.




 Apalah yang dikutip oleh adik dan along ni. Mentang-mentanglah atuk dah terangkan kebun tu bolehlah adik dan along main.


Tapi mereka berdua inilah penghibur hati saya. Walaupun nakal mereka tetap di hati ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...