Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Rabu, 16 April 2014

1 HARI 1 AYAT - REZEKI BUKAN SEKADAR LIMPAHAN HARTA

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya ) dan diturunkanNya air hujan dari langit lalu dikeluarNya dengan menjadi rezeki bagi kamu: maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu, pada hal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)." (Surah al-Baqarah: 22)

Allah SWT menjelaskan pada ayat di atas sebahagian kurnianNya kepada manusia supaya mereka yang tidak beriman apabila membaca atau mendengar ayat ini maka tercetus keimanan dalam diri mereka. Dijadikan bumi untuk kemudahan manusia. Bumi ciptaan Allah diibaratkan sebagai hamparan, biasanya hamparan adalah sesuatu yang merehatkan dan ia digunakan sebagai pengalas belakang ketika rehat dan tidur manusia.

Ungkapan hamparan di sini adalah untuk membayangkan betapa kita hidup di muka bumi Allah tanpa sebarang kebimbangan. Di sini generasi demi generasi kita boleh membina kehidupan, menternak binatang dan juga dapat membina bangunan serta memakmurkan dunia ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah) kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula, (maka hargailah nikmatNya dan takutlah kemurkaanNya)."(Surah al-Mulk: 15)

Begitulah juga langit yang diciptakan untuk manusia, ia satu binaan yang kukuh dan ia tidak pernah runtuh atau mempunyai tanda-tanda akan pecah dan runtuh menghempap penduduk bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Dia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatnya kepada umat manusia."(Surah Al-Hajj: 65)

Langit mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kehidupan manusia di bumi. Langit dengan kepanasannya, cahayanya, daya tarikan bintangnya, susunan bintangnya yang rapi, nisbah yang sesuai di antara bumi dan bintangnya mempermudahkan kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Untuk manusia meneruskan kehidupan, Allah SWT menurunkan pula kepada manusia hujan dan dengannya tumbuhnya pokok yang menghasilkan pelbagai buah yang lazat untuk manusia.

Di samping itu Allah SWT mengisyaratkan bahawa air hujan itu sangat diperlukan oleh manusia bagi mereka meneruskan kehidupan. Manusia memerlukan air untuk minum, menyiram pokok, membasuh dan sebagainya. Ayat berkenaan air hujan yang turun dari langit dan keluarnya buahan hasil siraman air hujan sentiasa disebut al-Quran apabila manusia ingatkan  dengan kudrat dan juga nikmat Allah SWT. Ia disebut dan diberi peringatan ketika manusia diseru kepada mengabdikan diri semata-mata kepada Allah SWT Tuhan yang mencipta dan memberikan kurniaan rezeki kepada mereka.

Perkataan rezeki memberi maksud sesuatu yang dapat dimanfaatkan dengannya dan bukannya sekadar memperolehnya saja. Kebanyakan manusia menyangka rezeki itu ialah kurniaan harta benda dan kesenangan hidup semata-mata. Memang benar bahawa limpahan harta adalah sebahagian  rezeki tetapi di sana ada lagi bentuk rezeki kurniaan Allah SWT seperti rezeki sihat, anak, keberkatan hidup dan sebagainya. Apabila manusia memahami pengertian sebenar rezeki akan menyebabkan manusia sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.

Dihujung ayat dalam Surah al-Baqarah di atas, Allah SWT memperingatkan manusia supaya tidak mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun. Mengapa orang kafir itu menjadikan bagi Allah itu sekutu-sekutu? Jawapannya ialah kerana mahukan agama tanpa manhaj, inginkan fitrah bertuhan tetapi pada masa sama ingin mengikuti nafsu mereka.

Justeru kita melihat setiap ajaran sesat dan menyeleweng akan menghalakan apa yang diharamkan oleh Allah SWT dan membebaskan manusia daripada terikat dengan kewajipan agama seperti bersolat, puasa, zakat dan haji. Berbeza denagn orang beriman, mereka mengetahui apa saja kewajipan yang diwajibkan oleh Allah SWT adalah untuk kebaikan hamba itu sendiri. Allah SWT tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada solat dan zakat kita bahkan daripada keimanan kita tapi kitalah yang mendapat faedah yang besar dan berpanjangan sehingga ke syurga.

Setiap sekutu Allah SWT yang apa juga yang dipatuhi manusia dan ia disebut oleh musyrikin Arab sebagai ibadah kerana mereka dulu tidak mempunyai pegangan yang melarang menyembah selain daripada Allah SWT. Ahli kitab pula menjadikan pendeta mereka sebagai sekutu tetapi tidak menganggapnya sebagai ibadah. Mereka juga tidak menganggap pihak yang diagungkan itu sebagai tuhan atau sekutu.

Pada hakikat sebenarnya sama ada disedari atau tidak disedari kefahaman orang musyrik dan ahli kitab adalah antara bentuk syirik kepada Allah SWT. Sekutu yang dilarang al-Quran bertujuan agar akidah tauhid sentiasa terpelihara. Syed Qutb berpendapat, sekutu itu bukan sekadar apa yang disembah oleh golongan musyrikin malah dalam bentuk lain yang lebih halus seperti meletakkan harapan selain daripada Allah SWT, takut selain daripada Allah SWT atau mempercayai terdapat selain daripada Allah yang sebagai berkuasa memberi manfaat dan mudarat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...