Setiap amalan atau ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT mempunyai rahsianya tersendiri. Begitu juga amalan sunat. Allah SWT amat suka hambaNya yang selalu meminta atau mengingatiNya tidak kira dalam keadaan senang mahupun sukar.
Daripada Abu Dzarr, Rasulullah SAW bersabda: " Bagi tiap-tiap ruang dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnyasetiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah dan mencegah kemungkaran juga sedekah. semua itu boleh diganti dengan 2 rakaat solat Dhuha."(Riwayat Muslim)
Mereka yang mengerjakan solat Dhuha, Allah SWT sentiasa mencukupkan segala keperluannya sepanjang siang hari. Nuáim bin Hammar berkata, "Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman: Wahai anak adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang." (Riwayat Abu Dawud).
Andainya kita rajin menunaikan solat Dhuha, ganjaran yang akan menanti adalah besar iaitu sama seperti pahala mengerjakan haji dan umrah. Itu bagi mereka yang solat subuh berjemaah lalu tetap berada dalam masjid berzikir dan mengerjakan solat Dhuha pada awal terbitnya matahari.
Solat Dhuha juga termasuk dalam solat untuk orang yang bertaubat. Zaid bin Arqam berkata, Rasulullah SAW keluar menuju tempat ahli Quba', sedang mengerjakan solat Dhuha. Baginda bersabda: "Solat Awwabin (orang yang bertaubat) dilakukan pada saat teriknya matahari."(Riwayat Muslim).
Waktu untuk mengerjakan solat Dhuha adalah ketika matahari mulai naik sebaik sahaja berakhirnya waktu yang diharamkan solat selepas solat Subuh (12 minit selepas matahari terbit atau untuk lebih berhati-hati laksanakan selepas 15 minit. Jumlah rakaat solat Dhuha paling minimum adalah 2 rakaat dan ia boleh dikerjakan tanpa batasan jumlah rakaat tertentu. Solat Dhuha boleh dikerjakan sebanyak 6, 8 dan 12 rakaat.
Dalam riwayat al-thabarani daripada hadis Abu Darda secara marfu disebutkan: " Barangsiapa solat Dhuha 2 rakaat maka tidak ditulis sebagai orang lalai, barangsiapa solat Dhuha 4 rakaat maka ditulis sebagai orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha 6 rakaat maka dicukupkan untuknya pada hari itu , barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha 8 rakaat maka ditulis dalam golongan orang yang beribadah dan barangsiapa solat Dhuha 12 rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di Syurga."
Amalan solat Dhuha adalah amalan yang sering dilakukan Rasulullah SAW dan sebagai umatnya kita haruslah mengikut sunnah Baginda. Solat Dhuha juga dapat memberi ketenangan kerana dalam sibuk melakukan tuntutan harian kita masih sempat bertakafur kepada Pencipta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan