Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Isnin, 14 April 2014

1 HARI 1 AYAT - JANGAN SOMBONG MALU UNTUK BERTAUBAT

Kehidupan di dunia yang penuh dugaan dan cabaran memungkinkan kita berbuat apa saja untuk memuaskan nafsu yang tidak baik. Hasad dengki membelenggu hati sehingga tidak dapat menerima kelebihan orang lain, dendam kesumat beraja dalam hati hingga bertarung mempertahankan iman. Sungguh dunia ini penuh dengan permainan yang melalaikan walau cuba mengawal mengawal diri daripada tipu daya, ada kalanya kita tertewas juga. Apa lagi jika balasannya lambat tiba, tidak terasa janji Allah SWT itu akan sampai akhirnya.

Sudah namanya manusia sering melakukan kesilapan dan kesalahan. Ada yang disengajakan, ada pula yang tidak disedari tetapi akhirnya membuatkan seseorang berasa disakiti. Tidak terkecuali ada yang suka mempersenda hukum Ilahi hingga terlupa bahawa hidup tidaklah kekal abadi.

Apabila tiba masanya kita perlu berserah kepada Pemiliknya dan kala itu usah berasa terlambat kerana kita sememangnya ketinggalan daripada orang lain yang puas memungut rahmat serta berkat kehidupan untuk dibawa bekalan kemudian hari.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah al-An'am: 32).

Akal yang dikurniakan Allah SWT adalah untuk berfikir supaya kita tidak mengulangi kesalahan serupa sehingga menggagalkan misi dan visi sebagai hamba. Mana yang hak dan batil, usahlah kita sendiri memilihnya manakala tidak boleh berkompromi antara halal dengan haram. Walaupun berusaha menjadi hamba baik dan taat, ada kala kita lalai dan terlupa. Justeru segala keterlanjuran terhadap Yang Esa hendaklah kita bertaubat supaya di akhirat kelak kita selamat.

Menyesali dosa yang telah dilakukan dan berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya adalah usaha perlu dilakukan jika benar-benar ingin bertaubat. Usah dikenang masa lalu yang akan mendorong melakukan kemaksiatan sebaliknya jadikan pengajaran supaya kesalahan tidak berulang. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.")Surah at-Tahriim: 8)

Jangan pula taubat dipermainkan dengan mengulangi dosa dan kemungkaran. Sesiapa yang ingin bertaubat mestilah menyesali dosa telah dilakukan dan bertekad tidak mengulanginya lagi. Inilah yang dikatakan menyucikan diri iaitu menghilangkan segala kotoran di hati untuk mendorong kepada pembersihan jiwa yang sebenar.

Segala bentuk maksiat dan ingkar terhadap perintah Allah SWT hendaklah dipohon keampunan dengan taubat dan sebarang bentuk penganiayaan terhadap orang lain, walau apa juga bentuknya perlu disertai kemaafan serta mengembalikan hak yang diambil. Jika ia fitnah, bayarlah dengan membersihkan nama baiknya dan jika ia harta yang diambil, lunaskan dengan mengembalikan miliknya atau minta dihalalkan.

Usahlah ditangguh peluang kerana ajal juga bila-bila masa akan datang dan syukurlah jika kita sempat menyedari dosa dan kejahilan pernah dilakukan kerana kita tidak akan melakukannya berulang-ulang. Mengingati bahawa hidup ini hanya sementara maka kita perlulah berhati-hati apabila berbuat dan berkata. Bukan mudah meminta ampun atas segala dosa kerana hati yang disakiti lukanya sukar untuk sembuh. Sungguhpun begitu selagi ada usia selagi itulah pintu taubat akan sentiasa terbuka. Jangan sombong dan malu untuk memohon ampun dan maaf daripada sesiapa bahkan Allah SWT Maha Pengampun terhadap hambanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...