Daripada Jundub bin Abdullah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat Subuh (pada waktunya secara berjemaah) maka dia berada dalam jaminan (keamanan dan perjanjian Allah dengan itu janganlah sampai Allah menuntut sesuatu kepada kamu daripada jaminan perjanjian). (Jangan sampai kamu meninggalkan solat Subuh) kerana sesungguhnya sesiapa yang dituntut oleh Allah daripada suatu jaminannya (perjanjiannya) tentu akan tercapai (berlaku), kemudian Allah menyembahkan mukanya ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim).
Orang Islam digalakkan solat lima waktu berjemaah kerana terdapat banyak fadilatnya. Orang yang menunaikan solat lima waktu khususnya solat Subuh maka dia tetap berada dalam jaminan (tanggungjawab) Allah sepanjang hari.
Sesiapa yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT. Meninggalkan solat Subuh maka terbatallah jaminan yang diberikan Allah kepada hamba berkenaan.
Dikhususkan (ditentukan) solat Subuh dengan kelebihan ini kerana solat Subuh lebih berat daripada solat lain disebabkan Subuh waktu sedang nyenyak tidur, pada musim sejuk pula sukar untuk berwuduk.
Rasulullah SAW bersabda: “Segerakanlah solat Subuh sebelum matahari terbit. Sebab ketika itulah para pengikut syaitan sedang keluar dari sarangnya. Ketika itu pula orang kafir tengah bersujud kepada matahari.” (Riwayat Muslim)
Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengerjakan solat di awal waktu kerana di akhirat kelak, perkara pertama sekali disoal oleh Allah SWT adalah solat. Jika sempurna solat seseorang itu maka sempurnalah amalannya yang lain.
Seorang Muslim yang taat tidak akan melewat-lewatkan solatnya. Contohnya bersolat Zuhur apabila sudah hampir sampai waktu Asar, solat Maghrib menghampiri waktu Isyak, solat Subuh ketika matahari sudah terbit (subuh gajah).
Berusaha memperbaiki solat menjadi lebih sempurna bukan saja memastikan solat di awal waktu tetapi dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau surau dengan menjaga kekhusyukkan, bacaan, rukun dan kesempurnaan wuduk.
Rasulullah SAW bersabda: “Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Muttafaqun Alaih)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan