Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Isnin, 18 Mac 2013

1 HARI 1 AYAT - ZINA


ZINA merupakan kejahatan yang sangat besar yang memberi kesan amat buruk kepada penzina itu sendiri khususnya dan kepada seluruh umat amnya. Di zaman sekarang di mana banyaknya saluran dan media yang berusaha menyeret kearah perbuatan keji ini maka amat perlu untuk setiap orang mengetahui bahaya dan akibat buruk yang timbul dari dosa zina. Kita semua hendaklah lebih berhati-hati dan berwaspada agar tidak terjerumus hatta walaupun hanya mendekatinya.
 Di antara akibat buruk dan bahaya tersebut adalah :
 1. Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan yakni berkurangnya agama si penzina, hilangnya sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.
2. Zina membunuh rasa malu padahal dalam Islam malu merupakan suatu hal yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.
3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
4. Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan atau merasa demikian sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang diterimanya.
6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
8. Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.
9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.
10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para pezina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya. Ini adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan yang sebaliknya dari apa yang dia inginkan, dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan.
11. Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari yang jelita di syurga kelak.
12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim, serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.
13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.
14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih membekas dan mendalam daripada asakan akidah kafir misalnya kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya namun dosa zina akan benar-benar membekas dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku zina itu bertaubat dan membersihkan diri dia akan masih merasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya.
15. Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkan kandungannya itu maka dia telah berzina dan juga telah membunuh jiwa yang tidak berdosa. Jika dia ialah seorang wanita yang telah bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir maka dia telah memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Amat mengerikan, naudzubillah min dzalik.
16. Perzinaan akan melahirkan generasi individu-individu yang tidak ada asal keturunan (nasab). Di mata masyarakat mereka tidak memiliki status sosial yang jelas.
17. Pezina laki-laki bererti telah menodai kesucian dan kehormatan wanita.
18. Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.
19. Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di mana mereka akan merasa jatuh martabat di mata masyarakat sehingga kadang-kadang menyebabkan mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan orang lain.
20. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit berbahaya seperti aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.
21. Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat yakni mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar dan yang dilakukan secara terang-terangan.
HUKUMAN ZINA
Demikianlah besarnya bahaya dosa zina sehingga Ibnul Qayyim, ketika mengulas tentang hukuman bagi penzina berkata: “Allah telah mengkhususkan hadd (hukuman) bagi pelaku zina dengan tiga kekhususan iaitu:
1. Hukuman mati secara hina (rejam) bagi pezina kemudian diringankan (bagi yang belum nikah) dengan dua jenis hukuman, hukuman fizikal yakni dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan diasingkan selama satu tahun.
2. Allah secara khusus menyebutkan larangan merasa kasihan terhadap penzina. Umumnya sifat kasihan adalah diharuskankan bahkan Allah itu Maha Pengasih namun rasa kasihan ini tidak boleh sehingga menghalang dari menjalankan syariat Allah. Hal ini ditekankan kerana orang biasanya lebih kasihan kepada penzina daripada pencuri, perompak, pemabuk dan sebagainya. Di samping itu penzinaan boleh dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang kelas atasan yang mempunyai kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan hukuman merasa enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.
3. Allah memerintahkan agar pelaksanaan hukuman zina disaksikan oleh orang-orang mukmin dengan maksud menjadi pengajaran dan memberikan kesan positif bagi kebaikan umat.
 
BEBERAPA PERKARA YANG PERLU DIPERHATIKAN
1. Orang yang berzina dengan banyak pasangan lebih besar dosanya daripada yang berzina hanya dengan satu orang, demikian juga orang yang melakukanya berkali-kali dosanya lebih besar daripada yang melakukannya hanya sekali.
2. Penzina yang berani melakukan maksiat ini dengan terang-terangan lebih buruk daripada mereka yang melakukannya secara sembunyi-sembunyi.
3. Berzina dengan wanita yang bersuami lebih besar dosanya daripada dengan wanita yang tidak bersuami kerana adanya unsur perbuatan zalim (terhadap suami wanita), boleh menyalakan api permusuhan dan merosak keutuhan rumah tangganya.
4. Berzina dengan jiran lebih besar dosanya daripada orang yang jauh rumahnya.
5. Berzina dengan wanita yang sedang ditinggalkan suami kerana perang (jihad) lebih besar dosanya daripada dengan wanita lain.
6. Berzina dengan wanita yang ada pertalian darah atau mahram lebih jahat dan hina daripada dengan yang tidak ada hubungan mahram.
7. Ditinjau dari segi waktu maka berzina di bulan Ramadhan, baik siangnya ataupun malamnya lebih besar dosanya daripada waktu-waktu lain.
8. Kemudian dari segi tempat dilakukannya, maka berzina di tempat-tempat suci dan mulia lebih besar dosanya deripada tempat yang lain.
9. Pezina muhson (yang sudah bersuami atau beristeri) lebih hina daripada gadis atau jejaka, orang tua lebih buruk daripada pemuda, orang alim lebih buruk daripada yang jahil dan orang yang berkemampuan (terutama dari segi ekonomi) lebih buruk daripada orang fakir atau lemah.
BERTAUBAT
Bertaubat ini bukan khusus hanya kepada penzina bahkan kepada sesiapa sahaja yang menunjukkan jalan untuk terjadinya zina, membantu dan memberi peluang kepada pelakunya dan siapa saja yang ikut terlibat di dalamnya. Hendaknya mereka semua segera kembali dan bertaubat dengan sungguh-sungguh, menyesali apa yang pernah dilakukannya dan berusaha sekuat tenaga untuk tidak kembali melakukannya. Dan yang paling penting adalah memutuskan hubungun dengan siapa sahaja dan apa sahaja yang boleh menarik ke arah perbuatan keji tersebut. Dengan demikian diharapkan Allah akan menerima taubat itu dan mengampuni segala dosa yang pernah dilakukan, dan ingatlah tidak ada istilah ‘putus asa’ dalam mencari rahmat Allah.
Allah berfirman, mafhumnya:
“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;” (Al-Furqaan 25:68)
“Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,” (Al-Furqaan 25:69)
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Furqaan 25:70)
 

Ahad, 17 Mac 2013

1 HARI 1 AYAT - CIRI-CIRI ORANG YANG SOLATNYA KHUSYUK


Bismillahir-Rahmaanir-Rahim
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman Iaitu orang-orang yang khusyu dalam solatnya dan orang-orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tiada berguna (Al-Quran: Surat Al-Mu`minun)
Rasulullah SAW bersabda: Ilmu yang pertama kali di angkat dari muka bumi ialah kekhusyukkan. (HR. At-Tabrani)
Nabi Muhammad SAW dalam solatnya benar-benar dijadikan keindahan dan terjadi komunikasi yang penuh kerinduan dan keakraban dengan Allah. Rukuk, sujudnya panjang, terutama ketika solat sendiri dimalam hari, terkadang sampai kakinya bengkak tapi bukannya berlebihan kerana ingin memberikan yang terbaik sebagai rasa syukur terhadap Tuhannya.
Solatnya tepat pada waktunya dan yang paling penting solatnya itu rutin dalam kehidupan sehari-hari.
CIRI-CIRI ORANG YANG SOLATNYA KHUSYUK
 
1. Sangat menjaga waktunya, dia terpelihara dari perbuatan dan perkataan sia-sia apa lagi maksiat. Jadi orang-orang yang menyia-nyiakan waktu suka berbuat maksiat bererti solatnya belum berkualiti atau belum khusyuk.
2. Niatnya ikhlas, jarang kecewa terhadap pujian atau penghargaan, dipuji atau tidak dipuji, dicaci atau tidak dicaci sama saja.
3. Cinta kebersihan kerana sebelum solat, orang harus wudhu terlebih dahulu untuk mensucikan diri dari kotoran atau hadas.
4. Tertib dan disiplin kerana solat sudah diatur waktunya.
5. Selalu tenang dan tuma`ninah, tuma`ninah merupakan kombinasi antara tenang dan teratur.
6. Tawaduk dan rendah hati, tawaduk merupakan akhlaknya Rasulullah.
7. Tercegah dari perbuatan keji dan mungkar, orang lain aman dari keburukan dan kehinaanya.
Orang yang solatnya khusyuk dan suka beramal baik tapi masih suka melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah, mudah-mudahan orang tersebut tidak hanya ritualnya saja yang dikerjakan tetapi ilmunya bertambah sehingga membangkitkan kesedaran dalam dirinya.
Jika kita merasa solat kita sudah khusyuk dan kita ingin menjaga dari riak iaitu dengan menambah pengetahuan dan mengerti bacaan yang ada didalam solat dan dalam beribadah jangan terhalang kerana takut riak.
Inti dalam solat yang khusyuk iaitu akhlak menjadi baik, sebagaimana Rasulullah menerima perintah solat dari Allah agar menjadikan akhlak yang baik. Itulah ciri ibadah yang disukai Allah.
Semoga kita dapat meningkatkan kualiti solat kita ...
 

Jumaat, 15 Mac 2013

1 HARI 1 AYAT - DOA DAN AMALAN UNTUK MEMPEROLEHI ZURIAT


Doa dan amalan untuk memperolehi zuriat~Ustazah Siti Nor Bahiyah
Melalui perkahwinan, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai menurut tuntutan Ilahi, dapat memenuhi tuntutan biologi. Malah tujuan perkahwinan juga adalah untuk mendapatkan zuriat melalui ikatan sah di sisi agama dan undang-undang. Namun, tidak semua pasangan suami isteri beroleh zuriat setelah berkahwin. Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat dan ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga tua disebabkan perkara-perkara tertentu. Tetapi perlu diingat bahawa semua yang berlaku itu adalah dengan izin dan kehendak ALLAH s.w.t.

 Oleh yang demikian, mereka yang beriman dan percaya dengan ketentuanNYA akan redha dengan segala apa yang terjadi terhadap diri mereka. Akan tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu akur dan berserah dengan apa yang terjadi tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki zuriat. Dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.
Pertama, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.” Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah ALLAH s.w.t. Maka baginda meyakini bahawa ALLAH berkuasa mengurniakan baginya anak. Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.
Kedua, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.” Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya.Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat. Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah ALLAH s.w.t. yang hebat ini.
Bagi ibu yang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya. Untuk mendapat anak yang baik dan soleh, terdapat amalan yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa anak itu sendiri, iaitu:
 
 
1. Memperbanyakkan taubat dan istighfar. Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, ALLAH s.w.t. sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.
 2. Berpuasa sunat. Khusus untuk suami, banyak berpuasa sunat atau sekurang-kurangnya semingu dua kali atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah). Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.
 3. Tidak bercakap yang sia-sia. Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.
 4. Banyak berdoa. Sentiasa berdoa agar ALLAH s.w.t. mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.
 5. Banyak membaca al-Quran. Secara umumnya, elok membaca al-Quran dengan semua surah, tetapi di sini ustazah mengkhususkan surah-surah yang dibaca serta kesannya.
SURAH AL-FATIHAH
Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatanSurah Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.Surah Luqman – Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.Surah Yusuf – Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak.Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu da dan anak bersifat berhati-hatiSurah Yaasin – untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.Surah Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.Surah an-Nahl – Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.
Amalan-amalan untuk memperolehi zuriat
Setelah berusaha dengan perubatan moden dan kampung untuk memperoleh zuriat bahkan telah berdoa kepada Allah, namun belum memperoleh zuriat, maka kita dituntut supaya banyak bersabar dan jangan dalam keadaan tertekan. Perasaan yang tidak stabil akan mengganggu keadaan dalam diri anda dan ini akan menyukarkan lagi bagi anda berdua untuk memperolehi zuriat.
Di dalam berdoa kita disuruh menaruh harapan seratus peratus kepada Allah dan yakin bahawa Allah berkuasa untuk mengabulkan doa kita tersebut. Yang paling penting awali doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW begitu juga dalam menutup doa.
Mungkin anda semua boleh mencuba amalan di bawah ini, semoga Allah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk anda dalam penantian untuk mendapatkan zuriat.
AMALAN PERTAMA.
Selepas Fajar ataupun Solat Subuh
 - Baca Bismillah 1 kali
 - Kemudian selawat kepada Nabi Muhammad SAW 3 kali.
 - Setelah itu sujud dan baca kalimah syahadah 101 kali
 - Dalam sujud tersebut mohonlah kepada Allah apa yang kita hajatkan. (Umpamanya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada hamba mu zuriat atau anak yang soleh yang Engkau berkati di dunia dan akhirat)
 - Kemudian tutup doa tersebut dengan membaca selawat 3 kali.
Amalkanlah cara ini baik suami ataupun isteri selama 15 hari atau teruskan jika masih belum berhasil dan jangan merasa putus asa. Sebab Allah tidak suka terhadap orang yang suka berputus asa.
AMALAN KEDUA.
-Suami hendaklah membaca “Ya Mutakabbir” (Allah Yang Maha Memiliki Keagungan ) sebanyak 11 kali sebelum mengadakan jimak.
 -Isteri hendaklah membaca “Ya Awwal” (Yang tiada permulaan adaNya) 333 Kali setiap hari.
 -Isteri hendaklah membaca setiap hari “Ya Zaljalaali Wal Ikram” 11 kali kemudian tiup di dalam air dan air tersebut diminum.
 -Suami isteri hendaklah membaca surah Yusuf / surah Maryam setiap hari.
 Amalkanlah dengan penuh harap agar dimakbulkan oleh Allah SWT akan zuriat yang baik dan mendapat rahmat daripada-Nya.

Khamis, 14 Mac 2013

1 HARI 1 AYAT - DOA HARAPKAN BANTUAN ALLAH

 
 
Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku terhadap insan sama ada kecil atau besar, mudah atau susah semua sudah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Jika takdir ini telah ditetapkan maka timbul persoalan adakah ketetapan itu boleh berubah menerusi doa.
 
Hendaklah ditegaskan bahawa perintah untuk berdoa bersumberkan daripada Allah s.w.t sepertimana firmanNya: " Berdoalah kamu padaKU nescaya Aku akan memperkenankan doa permohonan kamu,"(Surah Ghaafir:60). Jika amalan berdoa ini tidak mampu mengubah nasib seseorang insan mana mungkin Allah s.w.t menyuruh hambaNya melakukan sesuatu perbuatan sia-sia. Firman yang lain, Allah s.w.t turut memerintahkan hambaNya berusaha memperbaiki diri dan tidak hanya menyerahkan urusan hidup kepada takdirNya.
 
FirmanNya: "Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu keadaan yang ada pada diri mereka sendiri."(Surah al-Ra'd:11).
 
TAKDIR BOLEH BERUBAH IKUT USAHA
 
Oleh itu dapat kita fahami takdir dapat berubah mengikut usaha yang dilakukan insan jika diizinkan Allah s.w.t bahkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa."(Riwayat Imam al-Tirmidzi). Abu Hurairah juga menerangkan: "Bahawanya Nabi SAW pernah berdoa untuk berlindung daripada takdir buruk, kesialan, cacian musuh dan ujian yang menyusahkan."(Riwayat Imam Muslim). Menurut Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin dalam Majmu Fatawa Arkanil Islam: " Tidak diragukan lagi bahawa doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis (takdir). Akan tetapi perubahan menerusi doa ini juga telah tertulis (ditakdirkan). Janganlah anda beranggapan apabila anda berdoa bermakna anda meminta sesuatu yang belum tertulis bahkan doa anda telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga tertulis (termasuk dalam takdir). Ini bermakna segala perbuatan manusia itu telah sedia diketahui Allah s.w.t. Dia tahu pada sekian masa individu itu akan doanya dimakbulkan serta bila dimakbulkan tidaklah terlindung daripada ilmu pengetahuan Allah s.w.t.
 
Dalam erti kata lain sebab yang kita usahakan semua itu termasuk dalam takdir Allah swt. Dia telah sedia mengetahui sejak azali lagi bahawa seseorang itu akan melakukan usaha berkenaan termasuklah amalan seperti berdoa yang dibincangkan ini. Rasululah saw pernah ditanya: "Wahai Rasulullah, apa pendapatmu mengenai jampi-jampi yang sering kami gunakan, ubat yang sering kami gunakan untuk berubat serta pelindung yang sering kami pakai untuk berlindung, apakah hal ini dapat menolak takdir Allah? Rasulullah menjawab: Bahkan hal ini termasuk takdir Allah. (Riwayat Imma al-Tirmidzi). Menurut Syaikh al-Utsaimin: Segala sesuatu terjadi kerana takdir Allah begitu juga segala sebab mempunyai penagruh terhadap musababnya dengan izin Allah. Maka semua sebab itu telah tertulis dan semua musabab juga telah tertulis."
 
KEMATIAN TIDAK AKAN TERTUNDA
 
Kematian pasti akan tiba tanpa mengenal bangsa, kedudukan, kekayaan atau kekuatan. Tiada sesiapa boleh melarikan diri daripada maut. Apabila telah ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat. FirmanNya: Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka tentula Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak akan tetapi Dia memberikan tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu  kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan."(surah al-Nahl:61). Timbul pula persoalan kedua jiak waktu ketibaan ajal telah ditetapkan maka adakah perlu untuk berdoa supaya dipanjangkan umur? Takdir boleh berubah denagn doa termasuk doa dipanjangkan umur serta kadar umur seseorang itu walaupun telah termaktub dalam ilmu pengetahuan Allah swt.
 
DOA PANJANG UMUR
 
Oleh itu dibolehkan berdoa untuk dipanjangkan umur bahkan Rasulullah saw pernah mendoakan suapya Anas bin Malik dipanjangkan umurnya. Doa Baginda: "Ya Allah perbanyakkanlah hartanya dan anaknya, panjangkanlah umurnya dan berilah keampunan kepadanya."(Riwayat Imam al-Bukhari   dalam Adab al-Mufrad). Ternyata dengan izin Allah swt, Anas bin Malik dipanjangkan umurnya dan diriwayatkan beliau meninggal dunia pada umur 99 tahun. Dalam riwayat lain pula disebut beliau meninggal dunia pada umur 107 tahun. Bukan berdoa sahaja dapat memanjangkan umur bahkan amalan seperti membuat amal kebajikan dan menyambungkan silaturahim turut berupaya melanjutkan usia seseorang. Diriwayatkan: "Tidak ada yang dapat merubah takdir melainkan doa dan tidak ada yang menambahkan umur melainkan amal kebaikan."(Riwayat Imam al-tirmidzi). Oleh itu, jangan putus asa berdoa kerana selain satu usaha berkesan untuk mendapatkan bantuan Allah swt doa juga adalah ibadah yang amat mulia di sisi Allah swt dan akan diberi ganjaran pahala bagi mereka yang melakukannya.

Rabu, 13 Mac 2013

1 HARI 1 AYAT - 7 PERKARA YANG DIBENCI ALLAH


1. Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, KAMIlah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (Israa:31)
 
2. Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Israa:32)
3. Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). (Israa:33)

4. Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Israa:34)
5. Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). (Israa:35)
6. Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (Israa:36)
7. Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (Israa:37)
Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu. (Israa:38)Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam Neraka Jahanam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah). (Israa: 39)

Selasa, 12 Mac 2013

TERAPI MINDA - AIRMATA RASULULLAH

AIRMATA RASULULLAH SAW

آللّهُمَ صَلّیۓِ ۈسَلّمْ عَلۓِ سَيّدنَآ مُحَمّدْ

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. 'Bolehkah saya masuk?' tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, 'Maafkanlah, ayahku sedang demam kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, 'Siapakah itu wahai anakku?' 'Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,' tutur Fatimah lembut.  
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. 
'Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut,' kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.
Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?', tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. 'Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. 'Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,' kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. 'Engkau tidak senang mendengar khabar ini?', tanya Jibril lagi. 
'Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?' 'Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,' kata Jibril. Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas.
Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. 'Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.' Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
'Jijikkah kau melihatku hingga kau palingkan wajahmu Jibril?' Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. 'Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal,' kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. 
'Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.' Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, ! Ali segera mendekatkan telinganya. 'Uushiikum bis shalati, wa 'peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.'
Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. 
'Ummatii,ummatii,ummatiii?' - 'Umatku, umatku, umatku' Dan berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihih
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita...

marilah kita berselawat ke atas nabi Muhammad s.a.w..
آللّهُمَ صَلّیۓِ ۈسَلّمْ عَلۓِ سَيّدنَآ مُحَمّدْ

Ahad, 10 Mac 2013

TERAPI MINDA - RIBUAN MALAIKAT MENDOAKAN ORANG YANG DI CACI.

Ribuan Malaikat Mendoakan Orang Yang Di Caci Maki (Kisah Sahabat Rasul)

Suatu hari Rasulullah SAW bertamu ke rumah Abu Bakar Ash-Shidiq. Ketika sedang berbincang dengan Rasulullah tiba-tiba datang seorang Arab Badui menemui Abu Bakar dan langsung mencela Abu Bakar. Makian kata-kata kotor keluar dari mulut orang itu. Namun Abu Bakar tidak menghiraukannya. Ia melanjutkan perbincangan dengan Rasulullah. Melihat hal ini Rasulullah tersenyum. 
Kemudian orang Arab Badui itu kembali memaki Abu Bakar. Kali ini makian dan hinaannya lebih kasar. Namun dengan keimanan yang kukuh serta kesabarannya Abu Bakar tetap membiarkan orang tersebut. Rasulullah kembali memberikan senyum.
Semakin marahlah orang Arab Badui tersebut. Untuk ketiga kalinya, ia mencerca Abu Bakar dengan makian yang lebih menyakitkan. Kali ini selaku manusia biasa yang memiliki hawa nafsu Abu Bakar tidak dapat menahan amarahnya. Dibalasnya makian orang Arab Badui tersebut dengan makian pula. Terjadilah perang mulut. Seketika itu, Rasulullah beranjak dari tempat duduknya. Ia meninggalkan Abu Bakar tanpa mengucapkan salam.
Melihat hal ini selaku tuan rumah Abu Bakar tersedar dan menjadi bingung. Dikejarnya Rasulullah yang sudah sampai halaman rumah. Kemudian Abu Bakar berkata “Wahai Rasulullah janganlah anda biarkan aku dalam kebingungan yang sangat. Jika aku berbuat kesalahan jelaskan kesalahanku!”
Rasulullah menjawab, “Sewaktu ada seorang Arab Badui datang dengan membawa kemarahan serta fitnaan lalu mencelamu, kulihat tenang, diam dan engkau tidak membalas aku bangga melihat engkau orang yang kuat menghadapi tentangan, menghadapi fitnah, kuat menghadapi cacian dan aku tersenyum kerana ribuan malaikat di sekelilingmu mendoakan dan memohonkan ampun kepadamu kepada Allah SWT.”
Begitu pun yang kedua kali ketika ia mencelamu dan engkau tetap membiarkannya maka para malaikat semakin bertambah banyak jumlahnya. Oleh sebab itu aku tersenyum. Namun ketika kali ketiga ia mencelamu dan engkau menanggapinya dan engkau membalasnya maka seluruh malaikat pergi meninggalkanmu. 
Hadirlah iblis di sisimu. Oleh kerana itu, aku tidak ingin berdekatan dengan kamu aku tidak ingin berdekatan dengannya dan aku tidak memberikan salam kepadanya.
Setelah itu menangislah Abu Bakar ketika diberitahu tentang rahsia kesabaran bahawa itu adalah kemuliaan yang terselindung.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...