KELEBIHAN 10 HARI DALAM BULAN ZULHIJJAH DAN KORBAN
Di antara kelebihan dan kurniaan
Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk
memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.
1. Salah satunya ialah: Sepuluh hari yang terawal
pada bulan Zulhijjah. Beberapa dalil dari al-Quran dan Hadis telah menyebut
tentang kelebihannya:
Firman Allah, maksudnya; “Demi
fajar dan malam yang sepuluh.” (Surah al-Fajr : ayat 1-2) Kata Ibnu Kathir:
Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama pada bulan Zulhijjah.
Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. [HR:
Imam Bukhari].
2. Dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah
bersabda, maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi
Allah selain dari hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun
berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah,
kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak
kembali lagi selepas itu (syahid).” [HR: Ahmad, At-Tirmizi].
3. Firman Allah, maksudnya: “Hendaklah kamu
menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah al-Haj : 28). Kata
Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.
4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda,
maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal
padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka
perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
5. Adalah Said bin Jubir RA
(perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang
tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. [HR Ad-Darimi-
Hasan].
6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya,
antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di
dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada
waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
KELEBIHAN KORBAN, ADAB DAN HUKUM
Amalan-amalan yang baik dilakukan
pada hari-hari tersebut:
1. SOLAT
Disunatkan keluar cepat menuju ke
tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia
sebaik-baik amalan. Thauban berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda
(maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap
kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan
dihapuskan kesalahanmu.” [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.
2. PUASA
Kerana ia juga termasuk di dalam
amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah
isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari
sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap
bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei] Kata Imam An-Nawawi :: Berpuasa
pada hari-hari 10 adalah sunat yang sangat digalakkan.
3. TAKBIR, TAHLIL DAN TAHMID
Hadis Ibnu Umar yang di atas
mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan
La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid
(mengucapkan Alhamdulillah).” Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah
menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya
kemudian turut bertakbir sama.” Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di
dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid
dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan
suara takbir.” Ibnu Umar t bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas
mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka
sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar,
anaknya dan Abu Hurairah. Adalah patut sekali para muslimin sekarang
menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan
orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti orang-orang soleh
yang terdahulu.
4. PUASA PADA HARI ARAFAH
Hendaklah berpuasa bagi sesiapa
yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari
Rasulullah SAW. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya. “Aku mengharapkan
Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
[HR Muslim]. PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak
mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah
tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda
wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.
5. KELEBIHAN HARI RAYA KORBAN
(Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah.
Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan
hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari
seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang
paling afdhal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.
Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik
hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar),
seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW
yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari
Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit
(bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zulhijjah). Setengah ulama lain pula
berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan
dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih
ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri
hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada
hari tersebut.
Yang lebih tepatnya ialah
pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan
kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya. Samada hari Nahr atau hari Arafah
yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan
haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan
beribadat pada keduanya.
CARA MENYAMBUT MUSIM KEBAJIKAN
1. Setiap muslim hendaklah
menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang
sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang
menyekat manusia dari kebaikan dan menjauhkannya dari Tuhannya.
2. Menanam semangat dan azam yang
kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “Dan
orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami
tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama
mereka yang berbuat baik.” (Surah al-Ankabut : ayat 69).
Contohi Korban Nabi Ibrahim, Hajar &
Ismail
Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan
Ibadat korban. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Apabila masuk 10 terawal bulan
Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka
janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.” [HR Muslim].
Kata Imam Nawawi rhm: “Para ulama
berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad dan sebahagian ulama
Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu tadi, tetapi Imam Syafei
dan ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang
sangat besar dan hampir kepada haram).” [Syarah Sahih Muslim].
Maka sebaik-baiknya bagi kita
adalah mengelakkan perkara tersebut dan melakukan persedian pada awalnya lagi
untuk menghadapi larangan yang besar ini.
Akhirnya, sama-samalah kita
berdoa semoga kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka
yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan