Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Rabu, 16 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - 10 PERKARA HALANG DOA MAKBUL

Firman Allah SWT yang bermaksud: " Dan apabila hamba-hambaKU bertanay kepadamu mengenai Aku maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKU. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKU), dan hendaklah mereka beriman kepadaKU supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah: 186)


Ayat di atas berada ditengah-tengah perbincangan berkenaan kewajipan berpuasa, hukum berkaitan puasa dan mengenai Nuzul Al-Quran. Sesuatu yang tersirat di sini ialah Allah SWT Maha Mengetahui hambaNya yang merasai kelazatan kefarduan ibadah puasa yang zahirnya kelihatan susah tetapi di sebaliknya ada seribu rahmat lalu mereka ingin bertanya kedudukan doa mereka setelah menunaikan ibadah puasa.


Daripada Abu Hurairah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "3 orang yang tidak ditolak doa-doa mereka. sesorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa daripada seorang yang dizalimi. Allah SWT akan mengangkatnya ke atas awan dan terbuka pintu langit dan Allah berfirman: " Demi kemuliaanKU, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika"(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi).


Seseorang yang berpuasa itu mungkin bukan seorang pemimpin yang adil dan mungkin juga bukan seorang yang sedang dizalimi namun demikian dia mempunyai ruang dimakbulkan doa melalui ibadah puasa dilaksanakannya. Jika diperhatikan dalam al-Quran setiap persoalan yang dibangkitkan akan dijawab oleh Allah SWT dengan perkataan Qul atau "katakanlah". Firman Allah SWT yang bermaksud: " Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia khasnya ibadah haji."(Surah al-Baqarah": 189)


Firman Allah SWT yang bermaksud: " Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang pada bulan yang dihormati: katakanlah: " Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar,"(Surah al-Baqarah: 217). Firman Allah SWT mafhumnya," Mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (masalah) anak-anak yatim itu amatlah baiknya."(Surah al-Baqarah: 220). Dalam konteks pertanyaan berkenaan dengan doa, Allah SWT tidak menjarakkan dengan perkataan katakanlah tetapi terus menjawab sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka).


Pada suatu hari seorang lelaki datang bertemu dengan rasululah SAW katanya, "Wahai Rasulullah adakah Tuhan itu dekat sehingga kami dapat bermunajat kepadaNya? Atau Tuhan itu jauh sehingga kami perlu menyeru kepadaNya?" Rasulullah SAW mendiamkan diri sehingga turunlah firman Allah SWT yang bermaksud: " dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)."(Surah al-Baqarah: 186)


Dalam hadis riwayat Muslim diceritakan satu ketika ketika hari Jumaat datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW ketika Nabi SAW sedang berkhutbah. Lelaki tersebut menyatakan "wahai Rasulullah telah musnah harta benda dan jalan-jalan pun telah retak maka berdoalah kepada Allah agar Allah SWT menurunkan hujan kepada kita lalu Nabi SAW pun mengangkat tangannya kemudian berdoa, "Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami." Maka Allah SWT pun mendatangkan awan dan menjadikannya mula meluas kemudian turunlah hujan dalam keadaan Nabi SAW masih berada di atas mimbarnya sehingga air hujan membasahi janggut Baginda yang mulia. Kemudian hujan turun terus menerus selama seminggu. 


Kemudian pada hari Jumaat berikutnya seorang lelaki lain atau lelaki yang sama sebelum ini berkata, " Wahai Rasulullah, harta benda telah tenggelam, bangunan menjadi rosak maka berdoalah kepada Allah agar menghentikan hujan ini lalu Nabi SAW pun menadahkan kedua tangannya kemudian berdoa, "Ya Allah turunkanlah hujan di sekitar kami yang memberi kebaikan kepada kami bukannya merosakkan kami". Kisah di atas memberikan peringatan kepada kita bahawa sesuatu doa itu tidak seharusnya diminta dengan tergopoh gapah untuk melihat hasilnya.


Setiap daripada kita perlu menyedari jika Allah SWT memakbulkannya itu pun adalah terbaik untuk kita. Berlaku keadaan di mana manusia mulai nampak kebaikan Allah SWT memakbulkannya itu pun adalah terbaik untuk kita. Berlaku keadaan di mana manusia mulai nampak kebaikan Allah SWT yang tidak memperkenankan doanya selepas puluhan tahun dan menaytakan, " Ya Allah rupa-rupanya sesuatu yang Kau berikan adakah terbaik daripada sesuatu yang aku inginkan." Sebenarnya tanggungjawab hamba adalah berdoa kerana dengan doa itu sendiri pun adalah bentuk ketaatan dan perhambaan kepadaNya. 


Firman Allah SWT yang bermaksud: " Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya" (surah al-anbiya: 37). Mungkin dengan doa adalah satu bentuk penghapusan dosa atau ia menghindarkan diri kita daripada bahaya bencana atau kita akan meraih pahala doa itu dia khirat. Sabda Rasulullah SAW, " Seseorang Muslim yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa dan ia bukan perkara dosa serta tidak memutuskan hubungan silaturrahim melainkan diberikan oleh Allah dengan salah satu dari 3 bentuk, samada disegerakan apa yang didoakan atau sebagai simpanan bekalan pada hari akhirat atau diselamatkan dariapda sebarang kejahatan."(Riwayat Tirmizi).


Jika doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT belum dimakbulkan Allah adalah juga suatu ruang untuk kita bermuhasabah dan meneliti diri kita terutama pada bulan yang mulia ini. Pada suatu hari Ibrahim bin Adham yang juga dikenali dengan Abu Ishaq berjalan di pasar Basrah lalu beliau dikeliling oleh orang ramai dan mereka bertanya kepadanya: " Ya Aba Ishaq, Allah berfirman: " dan Tuhan kamu berfirman: " Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."(Surah Ghafir: 60) Sedangkan kami telah berdoa dan doa kami belum dikabulkan!.


Beliau menjawab, "Ia kerana hati kamu mati disebabkan oleh 10 perkara".

1. Kamu mengenali Allah tetapi belum menunaikan hakNya.
2. Kamu membaca al-Quran tetapi tidak melaksanakan tuntutannya.
3. Kamu mengetahui syaitan  sebagai musuh tetapi masih mentaatinya dan menyetujui seruannya.
4. Kamu menyatakan kamu umat Nabi Muhammad SAW tetapi tidak mengerjakan sunnahnya.
5. Kamu menyatakan dirimu akan masuk syurga tetapi tidak mengerjakan apa-apa amalan yang akan membawamu kesyurga.
6. Kamu mengatakan dirimu selamat dari neraka tetapi ternyata kamu tidak menghindarkan dirimu daripadanya.
7. Kamu menyatakan mati adalah benar tetapi tidak bersiap-siap menghadapi mati.
8. Kmau sibuk meneliti keaiban manusia tetapi tidak pernah melihat keaibanmu sendiri.
9. Kamu makan dan merasakan nikmat Tuhanmu tetapi tidak mahu besyukur kepadaNya.
10.Kamu menguburkan mayat rakanmu tetapi tidak mengambil penagjaran daripada mereka.



Selasa, 8 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - TAMBAH NILAI PUASA DENGAN AMALAN SUNAH

Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, peluang ummah menggilap kembali hati-hati yang hitam kerana dicemari dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Berpuasa dalam keadaan hati yang bersih dan suci adalah jalan untuk menuju takwa kepada Allah SWT. Ramadan bukan sekadar untuk dilalui tetapi juga perlu dihayati. Sesungguhnya orang yang mendapat ramadan tetapi mereka melaluinya tanpa sebarang penghayatan maka mereka adalah orang yang tidak mendapat keuntungan dalam bulan yang mulai ini.


Kesempatan beribadah dan meningkatkan amalan sunah Rasulullah SAW sepanjang bulan Ramadan dan ini hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menambahkan nilai puasa kita. Antara amalan yang dituntut untuk dihayati pada bulan Ramadan dan ini adalah memperbanyakkan infaq fisabilillah (bersedekah ke jalan Allah) sebagaimana yang sering dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW.


Baginda terkenal seorang yang pemurah dan dermawan dan apabila berada pada Ramadan Baginda SAW akan menjadi lebih pemurah. sesiapa saja yang datang meminta pertolongan kepadanya pasti akan dibantu oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 215, mafhumnya, " Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? katakanlah: " Apa juga harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua-dua ibubapamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan ingatlah, apa juga yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)"


Hakikatnya bersedekah pada bulan Ramadan bukan saja dapat membantu golongan fakir miskin bahkan ia juga dapat membantu diri kita dalam mencapai matlamat takwa daripada ibadah puasa kita. Amalan bersedekah akan dapat menghidarkan diri kita daripada mazmumah seperti bakhil kedekut tamak haloba. Sedekah juga pada hakikatnya tidak akan mengurangi harta yang kita miliki sebaliknya Allah SWT menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. 


Perkara ini pernah diperingatkan oleh Rasulullah SAW bahawa setiap hari ada antara malaikat yang datang mendoakan penambahan rezeki dan gantian bagi hamba Allah pemurah manakala ada yang mendoakan kehancuran dan kemusnahan terhadap hamba Allah yang bersikap kedekut. Selain bersedekah, tilawah al-Quran pada bulan Ramadan juga adalah amalan yang sering dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW semasa hayatnya. Dalam hal ini, Ibnu Abbas pernah meriwayatkan bahawa Jibrail menemui Nabi Muhammad SAW pada setiap malam pada bulan Ramadan pada bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu dan pada setiap kali pertemuan itu Nabi Muhammad SAW memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya.


Riwayat tersebut jelas menunjukkan betapa Rasulullah SAW sering bertadarus al-Quran bersama Jibrail sepanjang bulan Ramadan. Begitu juga dengan sahabat dan tabiín sudah menjadi kelaziman bagi mereka untuk mengkhatamkan al-Quran beberapa kali pada bulan Ramadan. Sebagai umatnya, kita juga mestilah mengikut jejak langkah Baginda dengan menghidupkan amalan bertadarus al-Quran sama ada bersama jemaah di masjid, di surau mahupun bersama ahli keluarga di rumah.


Ramadan ini harus kita pergunakan dengan sebaiknya untuk mengkhatamkan al-Quran seberapa banyak yang kita mampu di samping berusaha memahami serta mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita. Amalan yang paling utama selain daripada solat dan puasa yang difardhukan ialah seperti solat sunat tarawih hendaklah dilakukan dalam 20 rakaat seperti mengikut Mazhab Syafie dan diamalkan oleh ulama mukthabar sejak dulu lagi. Begitu juga seperti diamalkan oleh ulama di Masjid Nabawi dan Masjidilharam di Makkah. Hadis daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, " Barang siapa yang berdiri (menunaikan solat dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."(Riwayat al-Bukhari).


Seterusnya amalan yang tidak kurang penting juga untuk kita menghayati dan melaksanakannya pada bulan yang mulia ini adalah beriktikaf di masjid terutama pada 10 amlam terakhir bulan Ramadan. Ini kerana di dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatulqadar ini seharusnya dapat dijadikan sebagai satu motivasi untuk kita memperbanyakkan lagi iktikaf pada bulan Ramadan ini.


Rasulullah SAW sendiri pun tidak pernah meninggalkan amalan beriktikaf di masjid sepanjang hayatnya apatah lagi pada 10 malam yang terakhir. Perkara ini diakui oleh Saidatina Aisyah bahawa katanya "sesengguhnya Nabi SAW selalunya beriktikaf pada 10 hari terakhir dari bulan ramadan sehingga meninggal dunia kemudian isteri-isteri Baginda Rasulullah SAW beriktikaf sesudahnya."(Muttafaqun alaih). Kesimpulannya Ramadan ini mempunyai banyak rahsia dan keistimewaannya yang tersendiri. Apabila manusia dapat mengahyati dan mengetahui keistimewaan tersebut, nescaya mereka menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadan.




Isnin, 7 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - BERSAHUR AMALAN SUNAH BAIK UNTUK KESIHATAN

Jika kita perhatikan masyarakat sekeliling, ramai daripada kalangan kita yang masih tidak mengambil berat akan kepentingan bersahur pada bulan Ramadan. Segelintir mereka menganggap sahur bukanlah perkara wajib yang akan menjadi syarat diterimanya amalan puasa di sisi Allah.


Malah yang bagi bersahur suatu perkara yang sangat berat kerana perlu bangkit pada awal pagi bagi menyediakan juadah sahur di samping bersengkang mata dan melawan rasa mengantuk demi menelan makanan pada waktu penghujung malam. Sedar atau tidak bila tibanya waktu tengahari, kudrat mereka menjadi semakin lemah. Ini disebabkan sikap mereka yang sambil lewa akan pengambilan sahur sehingga menyebabkan aktiviti mereka menjadi tidak produktif dan hanya diisi dengan tidur sementara menunggu masuknya waktu berbuka.


Nabi SAW bersabda, "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Bersahur adalah satu amalan penting dan ia termasuk dari sunnah Rasulullah SAW yang perlu dicontohi. Apakah maksud keberkatan di sini. Ia bermaksud rahmat, keberkatan serta memperolehi restu daripada Allah SWT. Jika kita bekerja keras dan mendapat bonus daripada majikan maka kita akan gembira, bayangkan jika kita mendapat restu dan rahmat daripada Allah SWT.


Islam menggalakkan amalan bersahur di samping dapat melatih diri supaya bangkit awal padi, ia adalah peluang kepada hambanya untuk memohon keampunan dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT kerana waktu sahur adalah antara waktu mustajab doa seperti firman Allah ketika memuji orang Mukmin, "Dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristghfar". (Az-Zariyyat: 18)


Rasulullah SAW bersahur sekalipun makanan yang ada hanyalah buah kurma. Jika tiada kurma, Baginda hanya akan bersahur dengan hanya meminum air. Inikan pula zaman kita yang mempunyai lebihan makanan sehingga lauk berbuka dan moreh malamnya masih berbaki di atas meja. Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa. (Riwayat Ahmad).


Jika kita semua berfikir secara logik, apakah kebaikan melewatkatkan sahur ini? Melewatkah sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh. Berdasarkan riwayat daripada Zaid bin Thabit, beliau berkata, "Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami terus bangun untuk melakukan solat Subuh." Ini kerana hikmah berashur pada waktu sedemikian adalah seolah-olah kita mengambil sarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

Inilah hikmahnya Islam mengajar umatnya agar bersahur di samping ada keberkatan juga menjamin kesihatan tubuh badan. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua agar dapat bangkit pada setiap pagi hari di bulan Ramadan supaya dapat mengukit sunnah Baginda SAW iaitu bersahur, memohon istighfar dan menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid.

Jumaat, 4 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - RAMADAN GILAP IMAN DAN TAKWA

Ibadah puasa yang dilaksanakan setiap Muslim sebenarnya berpaksikan maklamat untuk mencapai makam atau martabat takwa yang lebih tinggi. Dengan lain perkataan apabila seorang Muslim melaksanakan ibadah puasa dalam Ramadan, ini bermakna ia sedang menyusun menuju ke arah peningkatan dan pengukuhan iman yang lebih sempurna lagi mantap seolah-olah iman yang betapak di sudut hati akan digilap dan diperkukuhkan lagi untuk menjejaki mercu tanda iman yang sebenarnya. Pada hakikatnya iman adalah kurniaan nikmat yang juga harta yang tiada ternilai yang dimiliki Muslim dalam kehidupan.


Oleh itu iman perlu dipelihara dan dijaga dengan sebaik mungkin agar ia tidak berlumuran dengan unsur syirik dan sifat mazmumah. Justeru Rasulullah sering memberi peringatan kepada umatnya yang tidak berusaha mempertingkatkan kualiti iman melalui ibadah puasa dilaksanakannya.


Allah menjanjikan banyak kelebihan dan keutamaan Ramadan bagi seseorang Muslim yang berusaha untuk menggilap imannya ke arah kenyakinan dan ketakwaan yang lebih kudus dan mantap. Untuk itu Allah menganugerahkan setiap detik dalam bulan Ramadan akan mendapat keberkatan dan keampunan. Di samping itu, bulan Ramadan akan menyerlahkan kelainan dalam diri seseorang Muslim sehingga dirinya begitu mudah melaksanakan perintah Allah dan menjauhkan segala laranganNya.


Malah seseorang Muslim semakin rajin melaksanakan amalan salih, begitu mudah bangun malam untuk solat tahajud, tadarus al-quran, beriktikaf, semakin kerap mendampingi masjid atau surau dan sebagainya tanpa halangan mahu pun bisikan syaitan yang menggoda. Pada bulan ini semua pintu langit dan syurga akan dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka pula akan ditutup dan dikunci rapat-rapat. Syaitan, iblis dan koncu-koncunya dirantai dan dibelenggu agar tidak mengacau dan mengganggu umat islam daripada mengejar kelebihan yang ditawarkan pada Ramadan.


Bagi insan yang masih dilanjutkan usia bertemu Ramadan sewajarnya memanfaatkan saki baki hidup mereka dengan menambahkan koleksi amalan salih mereka pada Ramadan ini sebagai persediaan dan bekalan sebelum menghadap Allah kelak. Lebih-lebih lagi pada bulan yang penuh berkat ini Allah mempermudahkan segala jalan bagi seseorang Muslim untuk menuju ke arah ke redaan Ilahi, di samping mampu memaksimumkan keangungan dan kebesaran Ramadan.


Oleh itu Ramadan bukanlah masanya menurut tuntutan hawa nafsu syahwat seperti tidur siang hari dan berehat sepanjang masa. Sebaliknya inilah waktunya yang sesuai untuk mengekang gelojak nafsu dan seterusnya mendidiknya dengan sifat sabar dan seterusnya mendidiknya dengan sifat sabar dan tabah serta takwa dalam mendepani cabaran.


Puasa bertindak sebagai bengkel latihan untuk membentuk ketahanan diri iaitu memelihara nafsunya daripada melanggar batasan Allah, memelihara lidahnya dan anggota badannya yang lain daripada melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Natijahnya, jiwa Muslim akan terisi dengan keluhuran pekerti, kentalan iman dan ketakwaan yang mantap. Inilah sebabnya manifestasi ketakwaan yang hendak diselahkan dan diwarnai dalam peribadi seseorang Muslim dalam kehidupannya melalui ibadah puasa Ramadan itu.


Perlu ditegaskan bahawa perhiasan takwa adalah harta yang tiada ternilai yang menjadi neraca piawaian di sisi Allah bagi seseorang Muslim sama ada dia berbahagia kelak atau dia termasuk dalam golongan yang sengsara dengan seribu penyesalan yang tiada penghujungnya. Kemuncak daripada kemuliaan dan keberkatan yang menghiasi bulan Ramadan itu ialah Allah menjanjikan kewujudan malam al-qadar yang juga satu malam yang paling mulia dan utama di sisi Allah.


Malam al-Qadar adalah peluang keemasan terbesar yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap Muslim. Jadi amatlah rugi dan malang jika seseorang Muslim membiarkan saja kehadiran bulan mulia itu tanpa sebarang pengisian ibadah dan amalan salih seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang menemui Ramadan sedangkan dia tidak diampuni Allah nescaya dia dijauhi dari rahmat Allah. (Hadis riwayat al-Hakim dan Tabrani)

Khamis, 3 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - IBADAH RAMADAN MERAWAT PENYAKIT

Setiap Mukmin menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini, Allah menawarkan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan sepanjang Ramadan. Masjid dan surau mengatur pelbagai program seperti melantik hafiz al-Quran untuk membimbing solat tarawih, mengadakan tadarus al-Quran berkelompok, berbuka puasa beranai-ramai, ceramah fadilat Ramadan, qiamullail dan sebagainya untuk jemaah. Mereka yang jarang ke masjid dan surau turut menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadan, Mungkin ini juga yang dikatakan tarikan bulan yang penuh keberkatan dan melembutkan hati sesiapa sahaja yang ikhlas mencari kebajikan dan pahala.


Secara umumnya kesan positif puasa sering menjadi tumpuan kajian. Doktor perubatan menjadikan sebagai amalan kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit moden yang sukar dirawat dengan perubatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan. Kalangan  pengamal perubatan moden menganggap ia penemuan ia penemuan terapi baru. Keajaiban puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan suapya rakan pesakinya agar berpuasa sepanjang 48 jam.


Bagaimanapun puasa difardhukan kepada setiap umat islam yang baligh tidaklah seberat yang dicadangkan oleh Mark Twain itu. Ramadan melatih mereka yang berpuasa menjaga kesihatan. Hasil daripada kalian yang dilakukan oleh ahli perubatan dan sains makanan kita boleh menyenarai pendek beberapa kesan yang dianggap sungguh dramatik dalam kalangan saintis.


Antaranya puasa dapat:-

1. Mendatangkan kecergasan fizikal dan mental seseorang dengan memberi kesegaran pada otot menyebabkan rasa lebih segar dan bertenaga.

2. Membantu menurunkan kadar racun dan kotoran dalam badan dengan membatasi kalori masuk sehingga menghasilkan enzim antioksida berfungsi membersihkan zat bersifat racun dalam badan.

3. Memberi keseimbangan dalam darah dan menurunkan tekanan darah tinggi. Memulihkan hormon, meremajakan sel tubuh dan menambahkan sel darah putih untuk meningkatkan kekebalan tubuh dari penyakit.

4. Menyelesaikan masalah berat badan (obesiti) disebabkan lemak berlebihan.

5. Mengatur kadar gula dalam darah untuk mengelakkan penyakit kencing manis.

6. Menyihatkan dan merehatkan sistem pencernaan kerana bekerja sepanjang tahun tanpa berhenti.


Sebenarnya Imam Al-Ghazali lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya Ihya Ulumuddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut. Beliau menyatakan pengambilan berlebihan akan menghilangkan kecergasan serta akan hilang kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal. Perspektif al-Ghazali menjawab kesalahan tanggapan umum dengan mengambil makanan banyak ketika lapar akan mnambahkan tenaga terutama ketika berbuka puasa. 


Secara amalinya Rasululalh SAW memberi panduan umum ketika menjamu selera iaitu, satu pertiga diisi dengan makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan. Tetapi di bawah tekanan rasa lapar, ramai orang gagal menagtasinya kerana dorongan ingin " balas dendam" disebabkan berlapar sepanjang hari. Lebih-lebih lagi pasar Ramadan menawarkan beraneka juadah makanan tradisi dan moden, kadangkala membuatkan hilang pertimbangan ketika membelinya kerana desakan perut kosong dan dahaga.


Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulihkan kehilangan tenaga melalui gula tulen dan serat buah. Selain itu Ramadan juga menekankan ketetapan pengurusan masa termasuklah melewatkan waktu sahur dan berbuka pada awal waktunya. Pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang tarawih berjemaah dan membanyakkan membaca al-Quran. Sebenarnya semua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredaan Allah dan pahala yang berlipat ganda.

Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadan harus diperbetulkan. Sekiranya kita menghadapi cabaran puasa hanya menahan lapar dan dahaga tetapi generasi awal Islam menghadapinya dalam suasana genting tetapi cemerlang ketika Ramadan. Ketabahan dan kesabaran yang benar-benar teruji apabila hidup dalam suasana negara yang huru-hara dan ketegangan di dalam negara sendiri seperti di Iraq, Libya, Mesir dan Syria hari ini.


Kesan latihan puasa tidaklah hanya terfokus keapda faedah fisiologi untuk kesihatan fizikal saja malah merangkumi pengukuhan rohani dan intelektual manusia berlandaskan ibadah. Amalan berpuasa pada bulan ini adalah latihan amali yang paling mujarab untuk mengikis penyakit rohani, krisis mental dan penyakit fizikal manusia akibat mengejar nilai kebendaan yang tiada kesudahan.

Rabu, 2 Julai 2014

TAMBAH SAHAM AKHIRAT - JOM MENDERMA RUMAH ANAK YATIM BUDI MULIA NURULHUDA

Sebuah rumah anak yatim dan warga miskin memerlukan sumbangan bagi membina penempatan baru kepada warga mereka yang berjumlah 40 orang. Jumlah keseluruhan diperlukan adalah RM1.5 Juta. Mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai. Moga dengan sumbangan kita, dapat memberikan sedikit keselesaan kepada mereka yang memerlukan. Tanah dah ada, cuma untuk membina bangunan yang masih memerlukan dana.

Sumbangan kita kepada golongan ini, yang mengejar ilmu di jalan Allah, akan memberikan pahala berterusan kepada kita. Mungkin RM10, tak banyak bagi kita. Buka maybank2u atau cimb click, online kan RM10 atau lebih kepada mereka. Sikit2, dengan ramai orang, tak mustahil mereka berjaya menikmati sedikit keselesaan.

Sekarang ini mereka berada di rumah lama yang sempit dan kurang selesa. Diharapkan dengan sumbangan dari kita yang prihatin di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini akan menghasilkan pahala berlipat kali ganda kepada kita dan membolehkan pihak pengurusan Budi Mulia Nurul Huda memulakan pembinaan kompleks Asrama Anak-anak Yatim dan Warga Miskin. Untuk memulakan pembangunan ini, lebih kurang RM400k- RM500k diperlukan dari kos keseluruhan RM1.5 juta itu.

Bagi yang sudi, dan inginkan pahala berlipat kali ganda, boleh memberi sumbangan kepada mereka. Bagi yang kurang kemampuan, boleh klik share, semoga sampai kepada mereka yang berkemampuan, dan kita dapat sedikit pahala keran menyebarkan benda yang bermanafaat.





ASRAMA ANAK-ANAK YATIM/WARGA MISKIN BUDI MULIA NURUL HUDA (NO. PENDAFTARAN 0774-06-PRK)
LOT 429 & 431, KAMPUNG TERSUSUN TANAH HITAM, 31200 CHEMOR, PERAK DARUL RIDZUAN.

NO. TELEFON : 05-201 1391 (PEJABAT)
05-201 6786 (FAX)


016-5682465 (PENTADBIR- AYAH DIN)
NAMA AKAUN : BUDIMULIA NURUL HUDA
NO AKAUN : 0815-0068314-52-9
NAMA BANK : CIMB BANK

NAMA AKAUN : PERTUBUHAN KEBAJIKAN ANAK YATIM / WARGA MISKIN
NO AKAUN : 5084-3010-4146

NAMA BANK : MAYBANK

Selasa, 1 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - TINGKATKAN GANJARAN RAMADAN

Marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih bernafas dan dikurniakan kesihatan hingga dapat melaksanakan kewajipan berpuasa pada tahun ini. Marilah kita bermuhasabah dengan melihat kedudukan hati kita dalam tempoh menempuh ibadah puasa yang mana tanda beriman seorang Mukmin itu adalah terpaut hatinya pada Ramadan dengan perasaan gembira dan ceria kerana pada bulan inilah ia dapat mempertingkatkan iman serta takwanya kepada Allah.


Seterusnya Mukmin itu melihat Ramadan adalah bulan untuk melipat gandakan pahala di samping berharap Allah mengampunkan segala dosa-dosanya yang lalu. Hakikatnya, Ramadan mempunyai tingkat ganjaran dan amalan berdasarkan hadis Rasululah SAW diriwayatkan Abu Hurairah bermaksud: "Awal Ramadan adalah rahmat dan kasih sayang Allah SWT, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka."


Antara rahmat Allah SWT diberikan kepada hambaNya yang berpuasa ialah disediakan pintu masuk ke syurga yang tidak dilalui sesiapapun kecuali mereka yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang dinamakan Rayyan: masuk dari mana-mana pintu itu mereka yang berpuasa pada hari Kiamat tidak ada yang masuk dari pintu itu selain dari mereka lalu diserukan 'Manakah mereka yang berpuasa?' maka berdirilah mereka yang berpuasa dan tidak ada seorangpun yang masuk pintu kecuali mereka yang tergolong daripada orang yang berpuasa dan apabila mereka sudah masuk maka pintu syurga segera tertutup dan tidak ada seorangpun yang dapat masuk selepas mereka."(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Maka di sinilah letaknya keistimewaan orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan yang mana kualiti puasa mereka dapat menjamin menjadi ahli syurga. Puasa juga adalah proses menyempurnakan tuntutan rohani yang memerlukan benteng dalaman yang kuat sebagai persediaan menghadapi pengaruh dunia yang mencabar.


Prof Dr. Yusof al-Qardhawi berkata "Demikianlah manusia terdiri daripada roh dan jasad. Jasad mempunyai tuntutan dari jenis dunianya yang rendah sedangkan roh mempunyai tuntutan dari jenis dunianya yang tinggi. Dari sisi inilah Allah SWT mewajibkan puasa agar manusia dapat membebaskan diri daripada dominasi gharizahnya (penguasaan nafsu), terkeluar daripada penjara jasmaninya, sanggup mengalahkan syahwatnya menguasai kehendak kebintangannya yang rendah itu dan dapat menempatkan dirinya mirip dengan kedudukan malaikat sehingga tiada hairan kalau roh orang berpuasa itu dapat meningkat dan menghampiri makam rohani yang tinggi."


Justeru umat islam perlu menganggap Ramadan kali ini adalah yang terbaik akan kita laksanakan dalam kerangka mencari keredaan Allah SWT. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Jika hamba itu mengetahui apa dia Ramadan nescaya umatku berangan-angan setahun itu semuanya Ramadan."Rasulullah SAW meninggalkan amalan dan ajaran yang harus direbut umatnya ketika Ramadan sama ada pada waktu siang atau malam.


Kebiasaannya, Baginda SAW akan mempertingkatkan amalan sepanjang Ramadan berbanding bulan lain. Antaranya ialah solat sunat tarawih dan solat sunat tahajud yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda SAW. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berdiri (beribadah) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (Riwayat Muslim)


Solat sunat seumpama ini amat dituntut dikerjakan oleh seorang Mukmin yang mana kekuatan solat tahajud dapat membina hubungan hati dengan Allah SWT. Solat malam adalah amalan ulama dan orang yang soleh bagi meningkatkan martabat mereka di sisi Allah SWT. Mereka mendapat kekuatan rohani melalui solat malam yang menjadi sunnah Baginda SAW serta motivasi tinggi dalam penjagaan kesihatan.


Maka dengan rahmat Allah yang diturunkan kepada hambaNya terutama dalam bulan Ramadan, ia membuka jalan kepada kita untuk dimasukkan ke dalam syurga dengan izinNya. Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: "Amal soleh seseorang di antara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka kecuali denagn rahmat Allah SWT."(Riwayat Muslim).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...