Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Selasa, 25 Jun 2013

1 HARI 1 AYAT - IBADAH SEPANJANG MALAM HIDUPKAN NISFU SYAABAN

Pada malam nisfu Syaaban atau pertengahan bulan Syaaban ditekankan supaya umat islam melakukan solat sunat tahajud dan solat sunat taubat kerana malam itu malam terbaik untuk meminta pengampunan serta rahmat daripada Allah. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban lalu berqiamullail pada malamnya dan berpuasa di siangnya maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman: Adakah di sana orang yang memohon keampunan lalu AKU mengampunkan dia. Adakah di sana orang yang memohon rezeki lalu AKU memberi dia rezeki. Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana lalu AKU mensejahterakan dia. Adakah di sana adakah di sana sehingga terbit fajar. (Riwayat Ibn Majah)
 
 
CARA HIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN
 
Walau bagaimanapun cara menghidupkan malam nisfu Syaaban seperti dilakukan sebahagian negara Arab seperti Mesir, Syria dan Yaman tidak berlaku pada zaman Rasulullah SAW serta sahabat. Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung malam nisfu Syaaban: Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang islam. Bahkan di sebahagian negeri orang ramai berhimpun pada malam itu selepas Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (sahabat, tabiin dan tabi'tabiin). Ia satu doa yang panjang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
 
Perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf segala keburukan itu ialah bidaah golongan seleaps mereka dan setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu sesat dan setiap sesat itu dalam neraka."
 
Namun sebahagian ulama di Arab Saudi dan Nusantara tidak bersetuju dengan fatwa dikeluarkan oleh Dr. yusof al-Qaradawi. Mereka menyatakan amalan menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan qiamulail tidak jauh beza dengan apa yang dilakukan tabiin daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma'dan dan Makhul yang termaktub dalam kitab al-Mawahib al-ladunniyah karangan al-Qasthalani.
 
 
AMALAN TAK MENYALAHI SYARAK DIBENARKAN
 
Oleh itu sesuatu amalan yang tidak menyalahi hukum syarak adalah dibenarkan bergantung pada tahap kemampuan masing-masing. Baginda Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya melakukan solat pada satu pertiga malam serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat ketika sedang tidur mahupun lalai.
 
Saidatina Aisyah meriwayatkan Nabi tidak tidur pada malam itu seperti diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi: "Rasulullah SAW telah bangun pada malam (nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda berkata dalam sujudnya: "Ya Allah aku pohonkan kemaafanMU daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredaanMU daripada kemurkaanMU dan aku berlindung kepadaMU daripadaMU. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMU seperti kamu memuji diriMU sendiri.
 
Setelah Baginda selesai sembahyang, baginda berkata kepada Saidatina Aisyah: "Malam ini adalah malam nisfu Syaaban. sesungguhnya Allah telah datang kepada hambanya pada malam nisfu Syaaban dan memberi keampunan keapda mereka yang beristighfar memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf dan nahi mungkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang yang dengki."
 
 
MALAM DIKABULKAN DOA
 
Malam nisfu Syaaban juga digelar malam dikabulkan doa. Imam as-Syafie dalam kitabnya al-Umm berkata: "Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban."
 
Banyak kelebihan bagi yang menghidupkan malam dengan beribadah seperti firman Allah SWT: "Dan pada sebahagian malam lakukanlah sembahyang sunat tahajud sebagai satu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ketempat terpuji."(Surah al-Israk: 79)



sumber rujukan: berita harian 25 JUNE 2013
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...