Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Rabu, 19 Disember 2012

1 HARI 1 AYAT - TIADA TAKDIR YANG MERUGIKAN

Allah s.w.t menjadikan dunia ini cantik pada pandangan mata. Ia dihiasi dengan pelbagai nikmat, keindahan dan kebahagian, rumah-rumah kediaman, taman-taman bunga, makanan yang lazat, anak-anak yang menghiburkan dan sebagainya. Antara seseorang dengan seseorang yang lainnya tidak sama kadar dunia yang dimilikinya. Ada antara mereka yang memiliki rumah besar, pangkat tinggi, makan minum yang enak namun ada yang hanya duduk di pondok buruk, dipandang hina oleh orang lain dan makan sekadar kenyang.

Apakah maksud Allah s.w.t tidak memberikan dunia sama banyak dan sama rata kepada setiap hamba-hambaNYA? Walhal kita mengetahui bahawa setiap hamba-hambaNYA mendapat kasih sayangNYA. Dan setiap manusia yang Allah jadikan Allah mengasihi mereka melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya.

Namun takdir yang ditentukan Allah tetap tidak sama sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Kasih sayang Allah itu akan dimiliki oleh hamba-hambaNYA yang dapat tunduk kepada takdir Allah sama ada ditakdirkan untuk menjadi orang yang senang atau sebaliknya. Orang-orang beriman sekiranya ditakdirkan menjadi miskin mereka tetap rela dan tidak merungut suatu apa pun. Mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hambaNYA. Jika takdir yang ditentukan itu baik maka di sinilah peluang mereka untuk menjadi hamba yang bersyukur yang dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehinya itu bukan untuk diri mereka sendiri tetapi dapat dirasai sama oleh orang lain.

Jika ditakdirkan kaya dengan kekayaan itu mereka dapat membantu orang yang susah, anak-anak yatim, janda, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebaikan. Sehingga kerana amal soleh itu mereka semakin hampir keapda Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayangNYA. Sebaliknya orang-orang yang ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik tetapi sanggup bersabar walaupun dalam seribu kepahitan maka Allah akan membalas dengan rahmatNYA. Allah akan hiburkan dan mengurniakan kekayaan hati. Hati yang kaya adalah hati yang sentiasa berbahagia dengan membuat banyak kebaikan. Hati sentiasa merasa ringan menghadapi kesusahan atau kemiskinan. Nasib malang yang menimpa dirinya sedikitpun tidak menyusahkan hatinya. Sebaliknya segala kejadian dan keadaan yang ada itu makin membuatkan diri terus bergantung hati, bertawakal dan menyerah diri kepada Allah s.w.t.

Mereka juga cukup yakin Allah itu Maha Bijaksana. Maha suci Allah daripada tersilap dalam menentukan takdir dan perjalanan hidup hambaNYA. Allah itu Maha Adil apa sahaja nasib yang menimpa diri seseorang tentulah hasil daripada sifat Maha AdilNYA. Hasilnya kenyakinan ini membuatkan hati semakin redha, merendah diri dan hampir kepada Allah. Seseorang hamba yang tidak redha dengan takdir atau nasib yang menimpa dirinya seolah-olah dia tidak yakin pada keadilan dan kebijaksanaan Allah. Mereka menganggap seolah-olah Allah tidak mengetahui kehendak hatinya.Walhal kerana Maha TahuNYA Allah yang ilmuNYA meliputi segala sesuatu maka Allah memutuskan takdir yang sebaik-baiknya untuk hambaNYA. Walaupun takdir itu tidak baik pada pandangan si hamba namun jika dia benar-benar berserah kepada Allah dia akan mendapat keuntungan daripada takdir tersebut.

Sebaliknya jika seseoarng yang direzekikan dengan takdir yang baik dalam hidupnya, selalunya membuatkan dia terlalu gembira, bangga dan sehingga lupa kepada yang Memberi. Maka takdir yang dianggap baik itu sebenarnya sudah tidak menguntungkan dirinya. Dia sudah berada jauh daripada Allah disebabkan kelalaiannya. Janganlah kita berasa iri hati atau dengki melihat nasib atau takdir yang baik yang ditentukan Allah terhadap orang lain sehingga berusaha untuk mendapatkannya. Walhal apa yang diperuntukkan Allah kepada seseorang hamba itu pasti tidak sama dan tidak dapat dimiliki oleh hambaNYA yang lain yang tidak tersenarai sebagai penerima takdir itu. Meskipun dia berusaha bermati-matian untuk mencapai dan mendapatkannya.

Apa yang patut yang dilakukan oleh setiap hamba ialah redha menerima segala ketentuan atau takdir Allah sama ada yang dianggap baik atau tidak. Ini kerana pada hakikatnya setiap yang ditakdirkan dan ditentukan Allah adalah baik. Cuma yang membezakan baik atau tidak itu ialah hawa nafsu dan hati dianggap baik. Sebaliknya apa sahaja yang menyusahkan dan menyeksa nafsunya dikatakan tidak baik. Janganlah kita mengukur ikut hawa nafsu yang tidak lain hanya mengajak kita ingkar dan memusuhi Allah. Ikutilah nilaian dan ukuran Allah. Jika kita dapat menghadapi setiap  takdir dengan banyak berserah, berharap dan takut pada kemurkaanNYA tentulah setiap takdir itu menguntungkan kita. Hasilnya kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan sentiasa optimis dalam segala tindakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...