Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Isnin, 16 Jun 2014

1 HARI 1 AYAT - SOLAT, SABAR KUNCI IMAN DAN HIDUP CEMERLANG

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk."(Surah al-Baqarah: 45). Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya, Allah SWT memerintahkan hambanya yang bercita-cita untuk mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat dengan memohon pertolongan dengan sabar dan solat. Solat adalah jalan terbaik bagi memperkuatkan azam dan kemahuan ketika solat seorang hamba sedang melawan kepentingan diri dan hawa nafsu atau dengan kata lain sedang menentang tentera syaitan yang sentiasa berusaha memesongkan manusia dari jalanNya.

Di antara faedah solat dari sudut keagamaan ialah membina hubungan antara seorang hamba dan Tuhannya, menzahirkan pengabdian dan penyerahan diri hanya kepadaNya dan ia jalan kejayaan dan kecermelangan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (Surah Al-Mu'minun: 1-2).


Faedah solat dari sudut kekuatan peribadi ia akan mendekatkan seseorang kepada Allah, menguatkan kehendak diri dan meraih ketenangan luar biasa. Faedah dari segi kemasyarakatan pula ia lambang keteguhan pada dasar akidah iaitu mengambil berat sesama insan apatah lagi jika solat itu dilakukan secara berjemaah. Sabda Rasulullah SAW kepada Bilal bin Rabah bermaksud: "Wahai Bilal! Rehatkan kami dengan sembahyang."(Riwayat Imam Ahmad). Ini menunjukkan sembahyang yang khusyuk itu menjadikan jiwa tenang, tenteram dan reda.


Abu al-Darda berkata khusyuk itu ialah mengagungkan kedudukan sembahyang, menumpukan sepenuhnya apa yang dibaca yakin dengan sepenuhnya dan menghimpunkan segala cita-cita. Imma al-Ghazali ketika memberi komentar mengenai khusyuk dalam sembahyang berkata, orang yang sedang sembahyang itu adalah munajat kepada Tuhannya seperti hadis Rasulullah SAW.


Imam al-Fakhru al-Razi berpendapat orang yang khusyuk dalam sembahyangnya tidak dapat tidak mesti ada perkara yang berkaitan dengan hati iaitu benar-benar merendah diri dengan sepenuhnya kepada yang disembah iaitu Allah SAW, hati dan perasaan tidak terlintas kecuali mengagungkan kepadaNya. Harus diingat bahawa tuntutan supaya kita khusyuk bukan terhad ketika sembahyang saja.

Setiap daripada kita dituntut supaya berada di dalam keadaan khusyuk atau tunduk kepada Allah SWT walaupun di luar sembahyang disebabkan khusyuk itu bukan perkara akal atau fikiran atau meditasi tapi khusyuk itu adalah perkara hati, jiwa dan roh.


Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW akan segera bersolat apabila menghadapi sesuatu masalah. Selain itu terdapat riwayat yang menyatakan Ibnu Abbas mengucapkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang."(surah al-Baqarah: 45). Beliau berbuat demikian dalam satu perjalanan iaitu sebaik saja diberitahu berita kematian puterinya. Sejurus kemudian beliau pun mencari satu sudut dan segera bersolat.


Kesan daripada khusyuk ini akan membuat seseorang menghadirkan keagungan Allah SWT dan merasakan dirinya begitu kerdil di hadapan Allah SWT di sampng menyedari apa saja yang ada di sisinya boleh hilang sekelip mata kerana kita hidup di dunia yang sentiasa menerima perubahan. Justeru kita perlu taat dan merendah diri kepada Allah Tuhan yang sentiasa kekal dan tidak berubah.


Hati yang khusyuk akan menumpukan sepenuhnya pada kebesaran Allah SWT dan melihat kelemahan diri sendiri akan menjadi ringan kepada seseorang untuk mengerjakan ibadah solat tetapi hati yang keras tidak bersedia untuk melihat kebesaran Allah SWT. Sesungguhnya solat itu tidak berat bagi orang yang khusyuk yang sememangnya merindukan pertemuan dengan Allah SWT pada hari pembalasan dan perhitungan nanti. Begitu juga solat itu ringan dan mudah bagi orang yang taat kepada Allah dan takutkan pembalasan seksaan yang berat. Selain daripada solat yang khusyuk setiap mukmin yang mengikut manhaj Islam memerlukan pertolongan daripada Allah SWT dengan cara bersabar untuk memikul dirinya beban manhaj dan menahan dirinya daripada nafsu syahwat yang diharamkan oleh Allah SWT.


Kesabaran yang sebenar hanya akan berlaku dengan cara mengingati janji Allah bagi dan berjaya melawan hawa nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang. Umumnya perkara yang dilarang oleh Allah SWT itulah yang menjadi kecenderungan kepada manusia untuk melakukannya. Atas sebab itu mereka perlu bersabar dengan cara berfikir semua musibah itu berlaku mengikut takdir Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cabaran) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada ? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncang (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersamanya; ' Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."(Surah al-Baqarah: 214)


Maksud sabar dalam kontek amalan hati ialah menahan nafsu daripada dipengaruhi gelora hati, perasaan, ransangan yang menimbulkan rasa marah atau memberontak, gelisah, sugul, kecewa atau putus asa akibat kesusahan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau diingini. Kesabaran harus meliputi 4 tindakan iaitu: 
1. Tabah dan tekun melakukan ketaatan
2. Menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran
3. Memelihara diri daripada godaan dunia, nafsu dan syaitan
4. Tenang atau teguh hati menghadapi cubaab musibah


Jelas sekali bahawa al-Quran sebagai sumber hidayah dan inpirasi kepada manusia menunjukkan jalan kepada kita bagaimana cara untuk meraih kebahagian hidup dunia dan akhirat. Dua kunci utama sumber kecemerlangan yang di sebut dalam ayat 45 daripada surah al-Baqarah iaitu solat dan sabar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...