Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers
Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers

Selasa, 1 Julai 2014

1 HARI 1 AYAT - TINGKATKAN GANJARAN RAMADAN

Marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih bernafas dan dikurniakan kesihatan hingga dapat melaksanakan kewajipan berpuasa pada tahun ini. Marilah kita bermuhasabah dengan melihat kedudukan hati kita dalam tempoh menempuh ibadah puasa yang mana tanda beriman seorang Mukmin itu adalah terpaut hatinya pada Ramadan dengan perasaan gembira dan ceria kerana pada bulan inilah ia dapat mempertingkatkan iman serta takwanya kepada Allah.


Seterusnya Mukmin itu melihat Ramadan adalah bulan untuk melipat gandakan pahala di samping berharap Allah mengampunkan segala dosa-dosanya yang lalu. Hakikatnya, Ramadan mempunyai tingkat ganjaran dan amalan berdasarkan hadis Rasululah SAW diriwayatkan Abu Hurairah bermaksud: "Awal Ramadan adalah rahmat dan kasih sayang Allah SWT, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya pembebasan dari api neraka."


Antara rahmat Allah SWT diberikan kepada hambaNya yang berpuasa ialah disediakan pintu masuk ke syurga yang tidak dilalui sesiapapun kecuali mereka yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang dinamakan Rayyan: masuk dari mana-mana pintu itu mereka yang berpuasa pada hari Kiamat tidak ada yang masuk dari pintu itu selain dari mereka lalu diserukan 'Manakah mereka yang berpuasa?' maka berdirilah mereka yang berpuasa dan tidak ada seorangpun yang masuk pintu kecuali mereka yang tergolong daripada orang yang berpuasa dan apabila mereka sudah masuk maka pintu syurga segera tertutup dan tidak ada seorangpun yang dapat masuk selepas mereka."(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Maka di sinilah letaknya keistimewaan orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan yang mana kualiti puasa mereka dapat menjamin menjadi ahli syurga. Puasa juga adalah proses menyempurnakan tuntutan rohani yang memerlukan benteng dalaman yang kuat sebagai persediaan menghadapi pengaruh dunia yang mencabar.


Prof Dr. Yusof al-Qardhawi berkata "Demikianlah manusia terdiri daripada roh dan jasad. Jasad mempunyai tuntutan dari jenis dunianya yang rendah sedangkan roh mempunyai tuntutan dari jenis dunianya yang tinggi. Dari sisi inilah Allah SWT mewajibkan puasa agar manusia dapat membebaskan diri daripada dominasi gharizahnya (penguasaan nafsu), terkeluar daripada penjara jasmaninya, sanggup mengalahkan syahwatnya menguasai kehendak kebintangannya yang rendah itu dan dapat menempatkan dirinya mirip dengan kedudukan malaikat sehingga tiada hairan kalau roh orang berpuasa itu dapat meningkat dan menghampiri makam rohani yang tinggi."


Justeru umat islam perlu menganggap Ramadan kali ini adalah yang terbaik akan kita laksanakan dalam kerangka mencari keredaan Allah SWT. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Jika hamba itu mengetahui apa dia Ramadan nescaya umatku berangan-angan setahun itu semuanya Ramadan."Rasulullah SAW meninggalkan amalan dan ajaran yang harus direbut umatnya ketika Ramadan sama ada pada waktu siang atau malam.


Kebiasaannya, Baginda SAW akan mempertingkatkan amalan sepanjang Ramadan berbanding bulan lain. Antaranya ialah solat sunat tarawih dan solat sunat tahajud yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda SAW. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berdiri (beribadah) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (Riwayat Muslim)


Solat sunat seumpama ini amat dituntut dikerjakan oleh seorang Mukmin yang mana kekuatan solat tahajud dapat membina hubungan hati dengan Allah SWT. Solat malam adalah amalan ulama dan orang yang soleh bagi meningkatkan martabat mereka di sisi Allah SWT. Mereka mendapat kekuatan rohani melalui solat malam yang menjadi sunnah Baginda SAW serta motivasi tinggi dalam penjagaan kesihatan.


Maka dengan rahmat Allah yang diturunkan kepada hambaNya terutama dalam bulan Ramadan, ia membuka jalan kepada kita untuk dimasukkan ke dalam syurga dengan izinNya. Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya: "Amal soleh seseorang di antara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api neraka kecuali denagn rahmat Allah SWT."(Riwayat Muslim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...